Ad

Friday, 27 December 2013

Wei Feng bergelut dengan masalah gelanggang

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
 
 Chong Wei Feng beraksi menentang Satheishtharan pada Kejohanan Badminton
Maybank Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir 2013 di Putrajaya, semalam. Wei Feng menang 25-27, 21-12, 21-8.
PUTRAJAYA - Hari pertama tirai Kejohanan Maybank Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir 2013 yang dibuka semalam menyaksikan pemain badminton perseorangan negara, Chong Wei Feng terpaksa bergelut dengan masalah keadaan gelanggang.

Wei Feng yang menang menentang R. Satheishtharan 25-27, 21-12, 21-8 berkata, keadaan kipas penghawa dingin yang kuat sedikit sebanyak mempengaruhi rentak permainannya.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu melahirkan rasa kecewa dan menganggap perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan kejohanan tersebut merupakan siri terakhir.

"Saya agak kecewa dengan cara pengendalian gelanggang ini sebab kipas penghawa dingin sangat kuat. Kalau kita lihat, ketika bermain, bola tangkis seperti menukar arah.

"Contohnya ketika bola lambung, bola itu jatuh dengan lebih laju dan kadang-kadang kita tidak dapat mengagak kelajuan bola tersebut.

"Ini menyebabkan para pemain tidak dapat membaca pergerakan bola. Di dalam permainan badminton, pengaruh angin memang menjejaskan situasi bola tangkis.

"Saya harap pihak penganjur dapat perbaiki masalah ini dan dapat selesaikan dengan kadar segera. Sebab hari ini hari pertama. Kita akan bermain sehingga Isnin depan," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan pertama di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, semalam.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Kedah turut berhasrat mahu menebus kembali kekecewaan ketika beraksi dalam Sukan SEA Myanmar tempoh hari dan melakukan sebaik mungkin untuk menjuarai kejohanan ini.

"Buat masa ini saya tidak penat walaupun baru pulang dari Myanmar. Sebenarnya, saya memang berharap untuk menang dalam kejohanan ini kerana ingin tebus kembali kekecewaan saya yang gagal membawa pulang sebarang pingat meskipun menjadi sandaran buat skuad badminton," katanya.

Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula semalam sehingga 30 Disember ini bakal menyaksikan Wei Feng berentap dalam Kumpulan A bersama Loh Wei Sheng dan Chong Li Qun bagi mengisi slot ke suku akhir.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131228/su_04/Wei-Feng-bergelut-dengan-masalah-gelanggang#ixzz2oimNMhkx © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment