Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI-fazli.yadi@kosmo.com.my
IMBAS KEMBALI... Skuad Harimau
Malaya meraikan kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010.
SABAN tahun, bola sepak menutup
kalendar sukan tempatan kekal dengan tradisi sebagai sukan No. 1 tanah air.
Biarpun Harimau Malaya kerap
dibayangi dengan prestasi hambar, penyokong-penyokong tetap 'gila bola' dan
masih sanggup memenuhi stadium.
Sepanjang tahun 2013, prestasi
skuad Harimau Malaya sentiasa menjadi topik utama di setiap dada akhbar
tempatan.
Apa yang pasti, 2013 bukanlah
tahun yang diimpikan buat peminat serta penyokong setia bola sepak tempatan
melihat prestasi skuad Harimau Malaya.
Era kejatuhan Harimau Malaya
SENTUHAN Datuk K. Rajagobal
yang mula membimbing skuad Harimau Malaya sejak 2009 pasti melekat di benak
fikiran peminat-peminat fanatik tempatan.
Magis Rajagobal ketika membantu
Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki 2010 selain menamatkan kemarau 20 tahun
pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Loas menjadi kemuncak prestasi kariernya
sebagai pengendali Harimau Malaya.
Begitupun, sentuhan luar biasa
Rajagobal itu dilihat serba tidak menjadi sepanjang tahun lalu sehingga
menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menyambung kontraknya
yang tamat secara rasmi semalam.
Kemuncak kepada keputusan itu
dibuat apabila Harimau Malaya gagal layak secara automatik ke pusingan akhir
Piala Asia 2015 selaku dua pasukan terbaik dalam Kumpulan D.
Kini Harimau Malaya perlu
mengharapkan keajaiban untuk mencuri satu slot Piala Asia 2015 selaku pasukan
ketiga terbaik peringkat kumpulan.
Sebagai rekod, kali terakhir
Harimau Malaya merakamkan kemenangan ialah ketika menewaskan kelab Australia,
Sydney Olympic 4-0 pada aksi persahabatan Jun lalu.
Prestasi Harimau Malaya semakin
dikecam selepas mereka tewas 0-5 kepada pasukan bertaraf kelab iaitu kelab
Jepun, Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy pada Julai lalu.
Seperti biasa, FAM terus
menjadi 'medan' oleh pengkritik-pengkritik sebagai platform menghentam prestasi
hambar Harimau Malaya.
Sejurus keputusan tersebut, FAM
akhirnya mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang
gagal menepati Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) iaitu layak ke pentas Piala Asia
2015 di Australia.
Jurulatih Harimau Muda A, Datuk
Ong Kim Swee diberikan mandat oleh FAM untuk membimbing sementara Harimau
Malaya yang akan mengharungi aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia 2015 menentang
Yemen Mac depan.
Bagi pengkritik sukan tanah
air, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, beliau menyifatkan tindakan FAM
yang tidak melanjutkan kontrak Rajagobal bukan bersifat peribadi.
Kay Kim berkata, setiap jasa
dan pengorbanan Rajagobal tetap dikenang.
"Setiap permulaan tetap
akan berakhir dengan penutup. Perkara itu tidak terkecuali buat Rajagobal.
"Tidak dapat dinafikan,
sumbangan Rajagobal kepada bola sepak negara cukup besar tetapi mungkin sudah
tiba masanya FAM mencari jalan lain untuk meningkatkan tahap keupayaan bola
sepak negara.
"Jika statistik
menceritakan situasi sebenar skuad negara, FAM harus bertindak. Saya percaya
FAM tidak memiliki sentimen lain (selepas tidak melanjutkan kontrak Rajagobal).
"Pada masa sama, FAM
semakin terdesak untuk mencari calon-calon lebih sesuai untuk mengemudi skuad
kebangsaan.
"Pada pendapat saya, kita
tidak boleh lagi nak melakukan 'eksperimen' kerana kita membawa nama naik
negara di pentas antarabangsa.
"Mungkin sudah tiba
masanya Rajagobal berehat seketika. Paling mustahak, para penyokong harus kekal
memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi
Kosmo! baru-baru ini.
Harimau Malaya perlu nafas
baharu
BEKAS pemain kebangsaan, Khalid
Ali turut menggesa FAM mencari calon tepat untuk mengemudi skuad Harimau Malaya
mulai tahun ini.
Selepas menyaksikan lebih
banyak rekod buruk Harimau Malaya tahun lalu, Khalid percaya sudah tiba masanya
pasukan kebangsaan diberikan nafas baharu dalam dalam usaha memperbaiki ranking
dunia.
Khalid percaya Harimau Malaya
memerlukan taktikal baharu dan beliau menyifatkan pengambilan jurulatih asing
dilihat mampu memperkasakan skuad kebangsaan.
"Buat masa ini, kita
memerlukan satu strategi baharu yang mana FAM perlu berbelanja sedikit untuk
mendapatkan jurulatih-jurulatih yang berkualiti.
"Bukan saya mengatakan
jurulatih kita tidak bagus tetapi buat masa ini, pengalaman mereka (pengendali
import) membeza status kelas antara jurulatih tempatan.
"Jika kita masih berminat
untuk mencabar kuasa-kuasa besar Asia seperti Australia, Jepun atau Korea
Selatan, sudah tiba masanya kita mengorak langkah.
"Boleh dikatakan kita
memiliki ramai pemain-pemain muda yang berkualiti dan dengan tunjuk ajar
jurulatih-jurulatih ternama dunia, saya yakin kita mampu mencabar tiga kuasa
besar Asia itu," katanya.
KOSMO ONLINE 1.1.2014
No comments:
Post a Comment