Ad

Sunday 18 July 2021

Pahlawan memburu komunis meninggal dunia

Oleh Nor Azizah Mokhtar - Julai 18, 2021 @ 10:28pm

bhnews@bh.com.my



Warga PDRM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Leong Chee Woh. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Pahlawan negara, bekas ketua Pasukan Rahsia Cawangan Khas (Pasukan E3F) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membanteras pemberontakan pengganas komunis, Datuk Dr Leong Chee Woh meninggal dunia, hari ini.

Mendiang yang berusia 92 tahun meninggal dunia di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor petang tadi.

Berita kematian mendiang disahkan melalui satu hantaran di Facebook rasmi PDRM, hari ini.

Chee Woh dilahirkan pada 11 November 1929 di Taiping, Perak dan mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 Disember 1950.

Selepas berkhidmat selama 34 tahun dalam PDRM, beliau bersara dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Cawangan Khas Bukit Aman dengan pangkat Senior Asisten Komisioner 1 (SAC 1).

Ketokohan Chee Woh sebagai seorang pegawai polis yang cekap dan berani terserlah apabila dilantik mengetuai Pasukan E3F atau lebih dikenali sebagai Pasukan F yang ditubuhkan pada 1971.

Misi utama penubuhan Pasukan F membanteras pengganas komunis ketika kebangkitan kedua Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968-1989 di Semenanjung Malaysia serta Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).

Hasil kebijaksanaan beliau mengemudi Pasukan F, seramai 48 orang pengganas PKM berjaya dibunuh, 171 lagi berjaya ditahan bersama 1,432 orang tali barut.

Kejayaan Pasukan F melumpuhkan pemberontakkan pengganas PKM di negara ini turut menjadi faktor utama termeterainya Perjanjian Hatyai 1989 sehingga membawa kepada pembubaran PKM.

Komander Force E3F, Leong Chee Woh (berdiri, kanan) bersama-sama skuadnya ketika operasi dalam hutan Malaya, ketika itu. - Foto KELUARGA DATUK LEONG CHEE WOHKomander Force E3F, Leong Chee Woh (berdiri, kanan) bersama-sama skuadnya ketika operasi dalam hutan Malaya, ketika itu. - Foto KELUARGA DATUK LEONG CHEE WOH

Selain itu, beliau juga individu yang bertanggungjawab memberkas Ketua Malayan People Liberation League Mobile Unit (MPLL) atau dahulunya dikenali sebagai Malayan People's Liberation Union yang membunuh Ketua Polis Perak ketika itu, Tan Sri Khoo Chong Kong dan 16 anggota polis dalam insiden pengeboman di Kem Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Pekeliling di sini.

Atas jasa bakti dan sifat keberaniannya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke XV Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani kepada beliau pada 9 September 2017.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta seluruh warga PDRM, hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

"Selamat berehat buat selama-lamanya, Perwira Negaraku," katanya.

Mendiang Datuk Leong Chee Woh berbual-bual dengan rakannya, Michael Choo di depan Tugu Negara di Kuala Lumpur. - Foto KELUARGA DATUK LEONG CHEE WOH

Mendiang Datuk Leong Chee Woh berbual-bual dengan rakannya, Michael Choo di depan Tugu Negara di Kuala Lumpur. - Foto KELUARGA DATUK LEONG CHEE WOH.1

_________________________________________-

1https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/07/840872/pahlawan-memburu-komunis-meninggal-dunia

Sabah FC berlatih di Johor

Julai 18, 2021 @ 8:32pm



Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto.

KOTA KINABALU: Sabah FC berharap dapat memanfaatkan kem latihan berpusat di Johor bagi mencari keserasian dalam kalangan pemain di samping mengekalkan kecergasan bagi menghadapi baki saingan Liga Super bermula 24 Julai ini.

Ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata mereka tiba di Johor Bahru sejak Jumaat lalu dan sudah mengadakan aksi persahabatan menentang Johor Darul Ta'zim II malam tadi di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos yang berkesudahan skuadnya menang 3-1.

Katanya, Sabah FC dijadual berdepan Johor Darul Ta'zim II sekali lagi dalam perlawanan persahabatan di stadium sama malam esok, dan sesi kem latihan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu diteruskan sehingga aksi menentang PJ City FC pada 24 Julai ini.

"Semua 26 pemain yang dibawa ke Johor Bahru akan diberi peluang bermain dalam perlawanan latihan persahabatan itu nanti agar mereka dapat merasakan tekanan dalam perlawanan sekali gus memperbaiki 'match fitness' masing-masing.

"Perlawanan latihan persahabatan kita lalui ini amat penting bagi mencari keserasian, kelebihan serta kelemahan yang ada sebelum pertemuan menentang PJ City FC nanti," katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Mengulas mengenai dua pemain baharu pasukan iaitu pemain pertahanan import, Risto Mitrevski dan bekas pertahanan kebangsaan Nazirul, Naim Che Hashi yang dipinjam dari Perak FC, Kurniawan berkata mereka telah mula menunjukkan keserasian bersama pasukan.

"Mereka sudah mengerti dan memahami apa yang menjadi 'game plan' kita. Kedua-duanya akan diuji dalam perlawanan latihan persahabatan dan berharap mereka akan cepat faham dan mudah dapat menyesuaikan diri," kata pengendali dari Indonesia itu.1

__________________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/07/17/perak-fc-bangkit-ikat-the-red-warriors/

Skuad muda Selangor ikat Sarawak United



PEMAIN Selangor FC II, Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan (kanan) cuba diasak pemain Sarawak United dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Manjung petang tadi. - UTUSAN/IHSAN TWITTER SELANGOR FC

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

17 Julai 2021, 7:45 pm

LUMUT: Selepas lebih dua bulan berehat, saingan Liga Perdana yang bersambung hari ini menyaksikan skuad muda Selangor II mengejutkan pendahulu, Sarawak United dengan mengikat perlawanan 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi.

Seperti melepas ‘gian’ lama tidak beraksi, pemain Selangor melancarkan serangan bertali arus dan menguasai awal babak pertama, namun pengalaman Sarawak mengecewakan anak-anak buah Michael Feichtenbeiner.

Peluang terbaik Selangor II hadir pada minit ke-43 menerusi T. Saravanan, namun rembatan kaki kanannya sedikit tersasar di tepi tiang gol.

Ketika Selangor II ghairah melancarkan serangan, Sarawak membalas menerusi hantaran jauh Lee Chang Hoon dari tengah padang yang tiba tepat di kaki Uche Agba.

Agba melakukan larian solo sebelum memperdayakan penjaga gol Selangor II, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan mudah menolak bola ke dalam gawang.

Gol itu menaikkan semangat pasukan pelawat yang hampir menambah gol kedua tetapi percubaan D. Jayaseelan menerjah ke luar tiang kanan gol.

Kelebihan Sarawak United bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Selangor II selaku tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti George Attram empat minit selepas babak kedua bersambung.

Nik Umar Nik Azizi hampir berpeluang menambah gol Selangor FC II pada minit ke-82 namun rembatannya ditampan penjaga gol Sarawak United, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Tiga minit kemudian Chang Hoon pula berpeluang menambah jaringan Sarawak, namun sepakan lambungnya dari sudut kiri hanya mencecah atas jaring gawang gol. Kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan sehingga wisel penamat.

Sarawak kekal di tangga teratas liga dengan 24 mata, dua mata mengatasi Negeri Sembilan, manakala Selangor naik ke kedudukan kelima menerusi 16 mata. – UTUSAN.1

______________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/skuad-muda-selangor-ikat-sarawak-united/

Gol cantik Aizat kecewakan The Red Warriors

 



PENYERANG Perak FC II, Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan (kiri) mengawal bola dari pemain Kelantan FC, Christian Intzidis dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Perak di Ipoh hari ini. UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Oleh AZIZAN HASHIM

18 Julai 2021, 12:20 am

IPOH: Jaringan cantik Aizat Safuan Razali membolehkan Perak FC II bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Kelantan FC 1-1 dalam aksi Liga Perdana yang kembali bersambing selepas dua bulan berehat malam tadi.

Selepas ketinggalan menerusi jaringan Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-55, skuad bimbingan Syamsul Mohd. Saad menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Akhirnya pada minit ke-69, Aizat melakukan rembatan dari jarak 30 meter yang bukan saja menewaskan penjaga gol The Red Warriors (TRW), Nik Mohd. Amin Ahmad, malah membuatkan semua pertahanan Kelantan FC terpaku.

Dalam di Stadium Perak, Ipoh itu permainan pantas tuan rumah nyata berkesan untuk menekan pelawat tetapi mereka gagal menyudahkan peluang.

Kelantan FC yang lebih banyak bertahan cuba melancarkan serangan balas yang berjaya dipatahkan oleh benteng tuan rumah.

Babak kedua menyaksikan perubahan corak kedua-dua pasukan yang berbalas serangan.

Kelantan akhirnya berjaya menjaring gol pendahuluan apabila Nurshamil menendang bola jarak dekat selepas menerima hantaran dari sebelah kanan pintu gol.

Gol itu nyata menyentak pemain Perak II yang bangkit melancarkan serangan balas, dan percubaan mereka berhasil apabila Aizat melepaskan tendangan yang tidak diduga menyebabkan pemain Kelantan terduduk.

Keputusan seri tidak banyak membantu Perak II yang kekal di tangga kedua tercorot dengan 10 mata, manakala Kelantan di tempat ketujuh (15 mata).1

__________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/gol-cantik-aizat-kecewakan-the-red-warriors/

Jual Sterling untuk Kane, Grealish

Agensi



England, Raheem Sterling pamer aksi menakjubkan di Euro 2020. FOTO AFP

London: Manchester City dilaporkan meletakkan Raheem Sterling dalam senarai untuk dijual, ketika skuad Citizen berusaha mengumpul dana yang diperlukan untuk menandatangani penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane dan bintang Aston Villa, Jack Grealish pada musim panas ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola dikatakan bersungguh-sungguh untuk memastikan perjanjian Kane dan Grealish mengikut pasaran terkini tetapi perlu menjual beberapa pemain tonggak mereka untuk melaksanakannya.

Menurut The Athletic, juara Liga Perdana Inggeris itu meletakkan Sterling dalam senarai perpindahan, sekalipun penyerang berkenaan beraksi cemerlang bersama England pada Kejohanan Eropah, baru-baru ini.

Pemain berusia 26 tahun itu meledak tiga gol dan menghasilkan satu bantuan gol dalam tujuh penampilan buat Three Lions di Euro 2020, tetapi bergelut mempamerkan prestasi di peringkat kelab pada musim lalu.

Penyerang itu mempunyai baki dua tahun kontrak di Stadium Etihad tetapi bernilai tinggi dalam pasaran perpindahan berdasarkan usia dan kemampuannya.

Sterling menjaringkan 114 gol dan melakukan 87 bantuan gol dalam 292 penampilan buat Man City sejak menyertai kelab itu dari Liverpool pada musim panas 2015.

Disiarkan pada: Julai 17, 2021 @ 11:39am.1

_____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/731617/jual-sterling-untuk-kane-grealish

Lambakan tonggak import pinggir bakat tempatan

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



IFEDAYO Olusegun (kiri) muncul penjaring terbanyak setakat ini dengan 13 gol. FOTO Owee Ah Chun

Kuala Lumpur: Lambakan penyerang import dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini menyebabkan pemain tempatan khususnya di posisi penyerang tidak mendapat tempat atau peluang yang sewajarnya untuk memperagakan sentuhan mereka.

Malah, ketiadaan had buat kuota ayam tambatan luar menyaksikan senario itu bertambah buruk di mana anak tempatan dilihat hilang minit permainan sekali gus memberi kesan kepada skuad kebangsaan.

Situasi itu diakui bekas penyerang negara, Safee Sali yang berkata tiada seorang pun pemain tempatan boleh dilabelkan sebagai penyerang tulen sebenar ketika ini.

Menjawab persoalan peminat di ruang Story Instagram miliknya, bekas pemenang Kasut Emas Piala AFF 2010 itu berkata, masalah utama penyerang tempatan adalah ketiadaan minit permainan.

"Tiada tempat dan minit yang secukupnya di dalam liga kita sendiri," tulisnya selain menambah, 'harus ada 'limit'. Kena ada sistem perancangan untuk memberi ruang kepada bakat tempatan," katanya.

Jawabnya lagi, pemain tempatan dilihat lebih menyerlah di bahagian sayap kerana ketika ini posisi itu jarang didominasi tonggak import.

"Tiada (tiada penyerang tempatan). Sekarang ramai sayap yang kerap menjaringkan gol. Sebab posisi itu jarang ada pemain import," katanya.

Untuk rekod, senarai lima penjaring terbanyak Liga Super didominasi pemain import iaitu Ifedayo Omosuyi dengan 13 gol dari pasukan Selangor FC, diikuti Bergson da Silva (JDT 11 gol), Kpah Sherman (Kedah 9 gol), Casagrande (Penang FC 7 gol) dan Paulo Josue (KL City 7 gol).

Begitupun, kedudukan itu amat jauh dengan penjaring tempatan di mana jaringan paling banyak diraih Amri Yahyah (Sabah FC), Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Hakimi Abdullah (Terengganu FC) dengan masing-masing meledak empat gol setakat ini.

Nasib sama turut dikongsi penyerang naturalisasi dari Brazil, Guilherme De Paula yang hanya mencetak empat gol ketika bersama Perak FC sebelum berpindah ke JDT pada jendela perpindahan kedua pemain Mei lalu.

Jelas Safee lagi, untuk meraih kepercayaan jurulatih bagi memberi peluang kepada penyerang tempatan adalah dengan perlu berusaha menjaringkan sebanyak gol bermula dalam latihan.

"Kena jaringkan gol dengan banyak. Walaupun dalam latihan mahupun dalam perlawanan persahabatan. Biar jurulatih itu percaya pemain tempatan juga boleh," katanya.

Disiarkan pada: Julai 17, 2021 @ 5:34pm.1

_____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/731768/lambakan-tonggak-import-pinggir-bakat-tempatan

Selangor II, Sarawak United kongsi mata

Noor Hidayah Tanzizi

sukan@hmetro.com.my



PEMAIN Selangor FC II, Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan (kanan) dicabar pemain Sarawak United. FOTO Selangor FC

Manjung: Selangor FC II dan Sarawak United FC berkongsi mata apabila seri 1-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, hari ini.

Di awal permainan, kedua-dua pasukan tampil lincah mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan.

Pendahulu Liga Perdana, Sarawak United FC membuka tirai jaringan menerusi Uche Agba yang menyudahkan hantaran Lee Chang Hoon pada masa tambahan babak pertama.

Sebelum itu, peluang terbaik skuad Selangor FC II kendalian Michael Feichtenbeiner muncul pada minit ke-45 namun tendangan T Saravanan yang tidak dikawal dalam kawasan penalti tersasar ke kiri gawang.

Pada babak kedua kegembiraan pasukan pelawat tidak bertahan lama apabila Selangor FC II berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti yang disudahkan George Attram pada minit ke-49.

Anak buah E Elavarasan memperkemaskan permainan namun beberapa percubaan gagal menemui penyudah.

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: Julai 17, 2021 @ 8:42pm.1

___________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/731829/selangor-ii-sarawak-united-kongsi-mata