Ad

Wednesday 30 June 2021

Ratusan lembu mati kerana harimau ajar anak memburu

Rosli Ilham

am@hmetro.com.my



RAKAMAN harimau bersama empat anak dirakam melalui kamera Infrared Perhilitan. FOTO ihsan FB Dr Azman Ibrahim

Dungun: Sebanyak 240 ekor lembu milik penternak di Felda Kerteh 4, dekat sini, ditemui mati akibat serangan harimau sejak 2019 hingga 17 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya percaya tindakan harimau itu semata-mata untuk mengajar anak-anaknya memburu.

Menurutnya, sebahagian besar lembu yang ditemui mati terdapat banyak kesan cakaran di kepala, badan dan belakang tetapi tidak dimakan.

"Kamera infrared yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merakam ibu harimau bersama empat anaknya yang berusia sekitar dua tahun.

"Berdasarkan rakaman itu, kita percaya ibu harimau itu hanya mengajar memburu kepada anak-anaknya dan setakat ini tiada laporan haiwan itu menyerang peneroka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Azman berkata, di kawasan Felda Kerteh 4 itu terdapat kira-kira 1,000 ekor lembu membabitkan 60 penternak.

SEBAHAGIAN lembu yang diternak di kawasan Felda Kerteh 4. FOTO Rosli Ilham

"Kita percaya lembu yang diternak secara integrasi dalam ladang menarik kunjungan pak belang ke kawasan itu.

"Kawasan ternakan itu terletak berdekatan dengan hutan dan kita percaya ada berbelas ekor harimau di hutan itu," katanya.

Katanya, kesan daripada serangan harimau itu menyebabkan penternak mengalami kerugian yang besar.

"Saya bersama Perhilitan serta beberapa agensi kerajaan lain sudah mengadakan perjumpaan dengan penternak bagi mencari tindakan penyelesaian.

"Unit khas Perhilitan sudah mengambil langkah memantau kawasan ternakan 24 jam termasuk memasang kamera dan perangkap, "katanya.

Dr Azman berkata, hasil pertemuan dengan penternak terbabit, pihaknya mengambil keputusan mengehadkan kemasukan penduduk ke kawasan itu."Masyarakat luar juga dinasihatkan supaya tidak pergi berkelah ke kawasan air terjun yang terletak berhampiran dengan kawasan itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap semua penternak dapat mengurung ternakan sebelum waktu senja.

"Kerajaan negeri juga bersetuju membantu penternak yang kerugian melalui Tabung Bencana Pertanian," katanya.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 12:04pm.1

___________________________________

1https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/724979/ratusan-lembu-mati-kerana-harimau-ajar-anak-memburu

Pilihan Mancini cetus tanda tanya

Agensi



MANCINI perlu membuat keputusan terbaik siapa yang diturunkan dalam kesebelasan utama. FOTO Agensi

Munich: Jurulatih Itali, Roberto Mancini harus menyelesaikan teka-teki yang bermain di fikirannya menjelang aksi suku akhir berdepan Belgium awal pagi Sabtu ini.

Adakah dia akan terus mempercayai bintang di dalam skuadnya atau memilih pemain yang beraksi cemerlang selepas menentang Austria?.

Matteo Pessina membandingkan prestasi Itali di Euro 2020 ibarat lukisan Vincent van Gogh selepas mereka berjaya melepasi pusingan kedua berdepan Austria dan sekarang kita akan lihat sama ada Mancini mampu menghasilkan satu karya agung.

Pemain tengah Atalanta itu adalah salah seorang daripada beberapa pilihan yang membuatkan Mancini sakit kepala untuk mempersiapkan Azzurri berdepan Belgium di Munich.

Itali tidak mempunyai pemain sehebat Kevin De Bruyne, Eden Hazard atau Romelu Lukaku namun mereka mempunyai kekuatan di bahagian tengah.

Hanya tiga daripada sembilan gol dijaringkan oleh pemain yang diletakkan dalam kesebelasan utama.

Masalah Mancini ialah Federico Chiesa, Matteo Pessina dan Manuel Locatelli yang beraksi cemerlang tidak sesuai dengan taktikal asal berbanding Domenico Berardi, Nicolo Barella dan Marco Verratti.

Jika dilihat dari segi prestasi, beliau harus membuat keputusan sama ada memilih sekurang-kurangnya dua pemain iaitu Chiesa, Locatelli dan Pessina atau terus mempercayai, Berardi dan Barella.

Berardi dan Barella gagal menyerlah di Wembley sebelum digantikan dengan Chiesa dan Pessina.

Apa yang pasti Mancini akan melakukan sedikit perubahan, dengan ketua pasukan, Giorgio Chiellini dijangka diturunkan menggantikan Francesco Acerbi jika pemain veteran itu melepasi ujian kecergasan selepas mengalami kecederaan betis.

Mancini percaya kejayaan Itali bergantung kepada pemain yang mendengar arahannya.

Ia adalah mentaliti klasik Itali, walaupun sudah memecahkan tradisi dengan corak permainan lebih menyerang dengan formasi 4-3-3.

"Mancini mempercayai kami dan kami merasai kepercayaan itu. Beliau membuatkan kami berasa yakin dan menghulurkan tangan untuk membantu baik di dalam mahupun luar padang.

"Beliau sentiasa berada rapat di samping kami sepanjang perjalanan ini. Kami harus percaya kepada diri sendiri," kata pemain tengah Chelsea, Jorginho, yang melakukan penampilan lebih banyak berbanding pemain lain di bawah kepimpinan Mancini.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 9:16am.1

______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/724939/pilihan-mancini-cetus-tanda-tanya

Switzerland sedia terus lakar kejutan

AFP



XHAKA tidak dapat beraksi menjelang pertemuan dengan Sepanyol. FOTO AFP

Saint Petersburg: Switzerland akan meneruskan elemen kejutan sama seperti mereka lakukan terhadap juara Piala Dunia, Perancis menjelang pertemuan dengan Sepanyol tengah malam esok selepas mereka layak ke suku akhir di kejohanan utama buat kali pertama dalam tempoh 67 tahun.

Pasukan bimbingan Vladimir Petkovic bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengheret Perancis ke masa tambahan dan penentuan penalti sebelum wira Piala Dunia 2019, Kylian Mbappe gagal menyempurnakan sepakan terakhir.

Sekarang Switzerland berharap dapat melakukan satu lagi kejutan berdepan Sepanyol, pasukan yang meledak 10 gol dalam dua perlawanan selepas permulaan perlahan di peringkat kumpulan.

Rekod jelas sekali memihak kepada Sepanyol berbanding Switzerland, apabila mereka hanya tewas sekali dalam 22 pertemuan, kekalahan 0-1 di Afrika Selatan yang membuatkan mereka bangkit sebelum menjuarai Piala Dunia 2010.

"Selepas pertemuan dengan Perancis, saya tidak boleh bercakap langsung. Saya kehilangan suara," kata Petkovic, bekas pekerja amal yang dilantik membimbing pasukan pada 2014.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menurunkan ketua pasukan, Granit Xhaka, yang dilayangkan kad kuning ketika berdepan Perancis.

Aksi antara kedua-dua pasukan akan terus diadakan di Saint Petersburg seperti yang dirancang walaupun bandar berkenaan mencatatkan peningkatan jumlah kes Covid-19.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 10:55am.1

_____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/724961/switzerland-sedia-terus-lakar-kejutan

Kaya hanya 4 hari

Agensi



WANG yang dimasukkan ke dalam akaun isteri James. FOTO Agensi

Baton Rouge: Seorang wanita di Louisiana menjadi bilionair segera apabila wang berjumlah AS$50 bilion (kira-kira RM207 bilion) dimasukkan secara tidak sengaja di dalam akaunnya.

Ini menjadikan isteri kepada Darren James sebagai individu ke-25 terkaya di dunia namun gelaran itu hanya bertahan selama empat hari.

Lelaki berusia 47 tahun dalam temu bual bersama Fox berkata, dia terkejut apabila mengetahui wang sebanyak itu didepositkan ke dalam akaun isterinya, awal bulan ini.

"Saya amat terkejut apabila isteri menunjukkan baki dalam akaun banknya. Kami menjadi bilionair sekelip mata," katanya.

Menurutnya, dia dan isteri terfikir mengenai pemilik duit berkenaan kerana tidak mengenali sesiapa yang mempunyai wang sebanyak itu.

Dia juga ada terfikir mungkin ini adalah peninggalan bapa saudara yang kaya kepadanya.

Jika benar, ini menjadikan dia sekeluarga berada di kedudukan lebih tinggi daripada bilionair yang juga pengasas Nike iaitu Phil Knight dalam senarai individu terkaya Forbes.

"Perasaan ini sesuatu yang menakjubkan kerana melihat banyak angka sifar di dalam akaun bank," katanya.

Isterinya kemudian menghubungi Chase Bank selepas wang itu terus berada di dalam akaunnya selama empat hari.

"Ia sangat mengujakan walaupun saya tidak dapat berbuat apa-apa dengan wang berkenaan," katanya.

Katanya, dia dan keluarga bagaimanapun sedar bahawa wang berkenaan bukan kepunyaan mereka.

Mereka juga boleh didakwa sebagai pencuri jika menggunakan wang berkenaan.

Dalam pada itu, Chase Bank memaklumkan isu berkenaan sudah selesai dan berlaku disebabkan masalah teknikal sistem.

"Kami menghadapi masalah teknikal minggu lalu menyebabkan beberapa kesilapan berlaku," katanya.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 6:30am.1

___________________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/724873/kaya-hanya-4-hari

Pickford buktikan dia penjaga gol terbaik

AF



PICKFORD belum melepaskan sebarang gol setakat ini. FOTO AFP

London: Penjaga gol England, Jordan Pickford menutup mulut pengkritik apabila membuktikan dia yang menjadi orang terakhir di barisan pertahanan berjaya mempamerkan aksi mengagumkan apabila masih belum melepaskan sebarang gol menjelang perlawanan suku akhir menentang Ukraine.

Kejayaan pertama England mengatasi Jerman di pusingan kalah mati selepas 55 tahun disahkan oleh jaringan Raheem Sterling dan Harry Kane di Wembley pada Selasa lalu.

Aksi Pickford yang sering dikritik itu menjadi pembakar semangat untuk dia beraksi cemerlang dan menang 2-0 seterusnya menempah tempat ke suku akhir di Rom Sabtu ini.

Pemain berusia 27 tahun itu menyelamatkan percubaan Timo Werner pada babak pertama dengan berada di tempat yang tepat untuk menampan percubaan lawan selain menyelamatkan percubaan Kai Havertz.

Ketika England mendahului satu kosong, Pickford keluar garisan untuk mengalihkan perhatian Thomas Mueller membuatkan Jerman kehilangan peluang keemasan menyamakan kedudukan.

"Saya berlatih bersungguh-sungguh sepanjang minggu untuk menjadi yang terbaik agar boleh disenaraikan.

"Saya fikir saya menyelamatkan dua percubaan merbahaya setakat ini."

"Suasana sangat mengagumkan. Ia memberikan kami satu keinginan besar Sabtu ini. Ia satu lagi peluang. Kami akan bersedia untuk apa saja yang mereka lakukan menentang kami."

Kecekapan Pickford amat melegakan ketika 'penjaga gol itu berada di dalam tekanan setahun lalu kerana kesilapan yang dilakukan ketika bersama Everton.

Carlo Ancelotti yang ketika itu mengendalikan Everton, memberi amaran bahawa dia perlu memperbaiki kelemahan dan mengenepikannya ketika perlawanan Liga Perdana menentang Newcastle pada November.

Keupayaan Pickford di luar padang turut dipersoalkan apabila dia terbabit dengan pergaduhan di jalanan apabila tunangnya diganggu ketika mereka keluar malam di Sunderland pada 2019.

Lagi berita berkaitan Euro 2020

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 10:43am.1

____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/724956/pickford-buktikan-dia-penjaga-gol-terbaik

Belgium bergelut persiapkan Hazard, De Bruyne

AFP



HAZARD (kanan) mengalami kecederaan hamstring ketika bertemu Portugal di pusingan kedua Euro 2020. FOTO AFP

Munich: Belgium dengan sabar menunggu tahap kecergasan bintang mereka, Kevin De Bruyne dan Eden Hazard menjelang aksi suku akhir Euro 2020 berdepan Itali awal pagi Sabtu ini.

Jaringan Thorgan Hazard berjaya membawa Belgium mara ke suku akhir selepas mengetepikan penyandang juara, Portugal namun tahap kecergasan abangnya, Eden dan De Bruyne menjadi perhatian utama sebelum berdepan Azzurri di Munich.

De Bruyne terpaksa dikeluarkan awal pada separuh masa kedua ketika menentang Portugal kerana mengalami kecederaan buku lali, sementara ketua pasukan Belgium, Hazard mengalami kecederaan hamstring di hujung perlawanan.

Kedua-duanya tidak turun berlatih semalam dengan staf perubatan Belgium bertungkus-lumus untuk memastikan mereka berdua cergas berdepan Itali.

Jurulatih, Roberto Martinez mengakui tidak ada pemain yang berada pada tahap 100 peratus di Munich namun akan cuba setiap hari bagi memastikan semuanya kembali cergas secepat mungkin.

Pemain tengah City, De Bruyne adalah tonggak harapan untuk membantu Belgium mara ke separuh akhir berdepan sama ada Sepanyol atau pun Switzerland.

Martinez sedang menilai pilihan alternatif untuk diletakkan di bahagian tengah menyerang.

Pemain Atletico, Yannick Carrasco mungkin akan menggantikan Hazard, manakala penyerang Napoli, Dries Mertens mengisi tempat De Bruyne.

Martinez menjangkakan Itali akan terus melancarkan serangan dari awal dan kelihatan sangat tersusun, oleh itu beliau memerlukan De Bruyne di bahagian tengah bagi membolehkan Belgium melakukan serangan balas pantas.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 9:57am.1

_______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/724948/belgium-bergelut-persiapkan-hazard-de-bruyne

Schick berpeluang pintas Ronaldo

Agensi



Penyerang Republik Czech, Patrik Schick sandaran pasukan. FOTO AFP

London: Penyerang Republik Czech, Patrik Schick berpeluang memintas bintang Portugal, Cristiano Ronaldo bagi anugerah Kasut Emas di Euro 2020.

Schick penyerang Bayern Leverkusen meledak gol kedua ketika membantu Czech mara ke peringkat suku akhir selepas mengejutkan Belanda, 2-0 Isnin lalu di Budapest.

Malah rembatannya dari jarak jauh ketika menentang Scotland boleh dikatakan antara gol terbaik pada kempen kali ini.

Dia kini mengumpul empat jaringan dengan perbezaan satu gol berbanding penyerang Juventus, Ronaldo yang memperoleh lima gol sebelum kempen pemain itu berakhir selepas tersingkir pada Belgium di peringkat 16 terakhir.

Schick sekali lagi menjadi sandaran pasukannya dan berpeluang menambah jaringan ketika berdepan Denmark pada saingan suku akhir, Sabtu ini di Baku.

Turut berpeluang penyerang Switzerland, Haris Seferovic yang meledak tiga gol diikuti bintang England, Raheem Sterling dan penyerang Belgium, Romelu Lukaku yang masing-masing meledak tiga gol.

Beberapa pemain yang mampu menambah koleksi jaringan antaranya pemain Sepanyol, Pablo Sarabia dan Ferran Torres, bintang Itali, Ciro Immobile masing-masing mengumpul dua gol selain kapten England, Harry Kane yang dilihat mula menemui sentuhan menerusi jaringan pertama ketika membantu Three Lions menyingkirkan Jerman.

Lagi berita berkaitan Euro 2020

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 10:35pm.1

________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724818/schick-berpeluang-pintas-ronaldo

Southgate kini dalam dilema

Agensi



SOUTHGATE perlu membuat percaturan yang betul dalam memilih pemain. FOTO Agensi

Kiev: Gareth Southgate menghadapi dilema dalam membuat pilihan pemain menjelang perlawanan penting iaitu suku akhir Euro 2020 menentang Ukraine berikutan masalah disiplin dan kecergasan.

Harry Maguire, Declan Rice, Kalvin Phillips dan Phil Foden semuanya mengutip kad kuning dan berpotensi berdepan penggantungan di separuh akhir.

Perkara itu membuatkan Southgate perlu membuat keputusan sama ada mahu berdepan risiko untuk menurunkan mereka pada perlawanan menentang Ukraine nanti.

Mason Mount dan Jordan Henderson antara pemain yang akan mendapat kelebihan jika Southgate memutuskan untuk menggunakan formasi yang sama ketika mereka melakarkan kemenangan yang tidak mungkin dilupakan ke atas Jerman.

Di sebalik kebimbangan Southgate berhubung masalah disiplin pemain, Mount berusaha keras untuk berada dalam skuad utama selepas bebas daripada kuarantin namun tidak dapat memulakan perlawanan ketika pasukan menang ke atas skuad Joachim Low.

Begitupun Henderson boleh diserapkan ke dalam pasukan untuk menggantikan Phillips atau Rice jika Southgate tidak mahu mempertaruhkan satu daripada mereka.

Selain daripada berdepan penggantungan di separuh akhir - Phillips beraksi penuh dalam kejohanan ini setakat ini dan Southgate mungkin memilih untuk merehatkan pemain Leeds itu.

Henderson pula dimasukkan dua kali sebagai pemain gantian setakat ini, beraksi 45 minit ketika menentang Republik Czech dan kemudiannya menentang Jerman.

Southgate mungkin kurang cenderung untuk melakukan perubahan di bahagian pertahanan memandangkan England masih belum melepaskan sebarang gol di kejohanan ini.

Namun difahamkan pemain pertahanan Kieran Trippier kini mengalami masalah otot dan pertembungan menentang Ukraine dalam waktu terdekat ini memberi peluang kepada Southgate merehatkan bintang Atletico Madrid itu.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 8:13am.1

______________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/724933/southgate-kini-dalam-dilema

Dulu dibenci, kini disayangi

Agensi



STERLING kini menjadi nadi di bahagian serangan England. FOTO AFP

London: Adakah Raheem Sterling pemain paling menyerlah buat England di Euro 2020 setakat ini? Terdapat sedikit keraguan mengenai perkara itu.

Tiga gol selepas empat perlawanan, menyaksikan karier Sterling di peringkat antarabangsa terus berubah sejak aksi mengecewakan di Euro 2016.

Dia beraksi buruk lima tahun lalu dan meninggalkan Perancis dengan memperoleh gelaran berbeza berbanding sekarang, 'paling dibenci'.

Sekarang dia tidak dibenci lagi, kerana menjadi harapan seluruh rakyat England dan nadi di bahagian serangan pasukan bimbingan Gareth Southgate.

Pasukan England dilihat sangat baik jika Sterling berada di atas padang, dengan 15 gol dalam 20 penampilan terakhir bersama England sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya.

Harry Kane dianggap sebagai pemain paling penting dalam skuad England, namun prestasi dan statistik setakat ini memberikan gambaran berbeza.

"Dia seorang pejuang, memiliki ketahanan dan kemahuan yang sangat luar biasa. Dia sudah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu untuk menjaringkan gol.

"Sejak aksi pertama ketika bola melintasi kotak penalti, dia akan berada di depan pintu gol. Dia mampu mencari ruang dengan baik sekali. Kami tahu perjalanan yang dilaluinya bersama England dan saya gembira melihat prestasi yang sudah dia buktikan.

"Dapat menggembirakan hati penyokong di Wembley adalah sangat istimewa buat dia. Jaringan yang dilakukan sangat baik, jadi tolong terus bertanyakan soalan apa saja mengenai dia," kata Southgate.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 7:23am.1

_______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/724920/dulu-dibenci-kini-disayangi

Percaturan berisiko Southgate kecewakan Jerman

AFP



JURULATIH England, Gareth Southgate mengendalikan latihan di St George's Park menjelang perlawanna suku akhir dengan Ukraine. FOTO AFP

London: England mengimpikan muncul juara Euro 2020 selepas akhirnya menewaskan musuh lama, Jerman di pusingan kalah mati kejohanan utama dan kini pasukan pilihan apabila bertemu Ukraine di suku akhir.

Kemenangan 2-0 ke atas juara dunia empat kali itu di Wembley, semalam, menerusi jaringan lewat Raheem Sterling dan Harry Kane, menjadi pengiktirafan terhadap pendekatan jurulatih, Gareth Southgate, yang dikritik kerana terlalu berhat-hati di peringkat kumpulan.

Southgate sedar perlu mengatasi kegagalan sering dialami England di tangan Jerman, termasuk kejohanan utama di tempat sendiri.

Malah, dia gagal menyempurnakan sepasukan penalti penentuan di Euro 96, menyebabkan Jerman melangkah ke perlawanan akhir.

Selepas 25 tahun berlalu, England masih menjadi kejuaraan pertama sejak 1966 apabila menewaskan Jerman di final Piala Dunia, tetapi kini sekurang-kurangnya mampu menjadi pencabar konsisten.

Pasukan the Three Lions melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia dan kejohanan sulung Liga Negara.

Malah, jika berlaku kejutan terbesar dan tewas kepada Ukraine di suku akhir Euro 2020 di Rome, Sabtu ini, peluang mereka ke separuh akhir akan musnah.

Gaya bersahaja Southgate di tepi padang di Russia mengundang sanjungan, tetapi pada masa sama, dia berani memperjudikan nasib dengan keputusan kurang popular.

"Anda tahu apabila perlu merombak bentuk pasukan, anda perlu memilih pemain tertentu dan jika tersilap langkah, anda akan mati," katanya selepas menukar formasi kepada 3-4-3 untuk menyaingi permainan bek sayap diterapkan Jerman.

Keputusan itu bermakna Jack Grealish, Phil Foden, Jadon Sancho, Marcus Rashford dan Mason Mount terpaksa berada di bangku simpanan.

Walaupun memiliki rangkaian pemain serangan menarik, Southgate sebaliknya fokus kepada membina benteng kebal dan hasilnya mereka tidak bolos selepas empat perlawanan iaitu pencapaian kali pertama sejak 1966.

Keputusan Southgate itu bermakna England memiliki beberapa pemain yang boleh dimasukkan sebagai senjata pemusnah untuk menentukan keputusan perlawanan.

Grealish jelas mengubah keputusan perlawanan kerana selepas dimasukkan untuk 20 minit terakhir, dia memainkan peranan untuk kedua-dua gol sambil keyakinan jurulatih itu kepada Raheem Sterling dan Harry Kane akhirnya berbalas.1

_______________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724810/percaturan-berisiko-southgate-kecewakan-jerman

Messi cipta rekod penampilan ke-148



Oleh Meja Sukan

30 Jun 2021, 11:45 am

CUIABA, BRAZIL: Ikon Argenti­na, Lionel Messi menjadi pema­in terbanyak membuat penam­pilan buat negaranya ketika dia memimpin pasukannya untuk menang mudah 4-1 ke atas Bolivia dalam perlawanan kelima Kumpulan A, Copa Ame­rica 2021 di Arena Pantanal, sema­lam.

Penampilan ke-148 itu menjadikan pemain berusia 34 tahun itu mendahului bekas kap­ten, Javier Mascherano yang ju­ga bermain bersamanya di Bar­­celona dan mempunyai 147 pe­nampilan buat Argentina.

Messi juga merupakan penjaring gol terbanyak Argentina sepanjang masa dengan 75 gol – melepasi rekod catatan lagenda, Gabriel Batistuta dengan 54 gol pada tahun 2016.

Walaupun cemerlang, penye­rang itu bagaimanapun belum pernah memenangi kejohanan antarabangsa utama bersama ne­­garanya, setelah tewas di pe­ring­kat akhir Piala Dunia 2014 dan edisi Copa America 2007, 2015 serta 2016.

Pemain itu yang meng­ula­ngi bahawa salah satu tujuan utamanya adalah untuk me­mimpin negaranya ke piala antarabangsa, mendapat liputan be­rita sejak setahun lalu menge­nai masa depannya dengan Barcelona berikutan kontraknya sekarang berakhir Jun (hari ini).

Dalam pasukan ini, hanya ada satu pemain yang mengesahkan tempat di kesebelasan utama dan semua orang tahu siapa dia. Selebihnya harus men­­dapatkannya.

Bagi kami, adalah penting agar tidak ada yang santai dan mereka terus menunjukkan pe­ningkatan permainan demi perlawanan. Mereka sangat me­ngetahuinya,” kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni.

Dalam perlawanan semalam, Argentina tidak perlu menunggu lama untuk membolosi benteng lawan apabila hantaran lambung Messi kepada Papu Gomez yang melakukan voli mengatasi penjaga gawang, Carlos Lampe untuk menjadikan 1-0 selepas lima minit perlawanan.

Tiga gol lagi menyusul pada minit 33, 41 dan 65. – AGENSI.1

______________________________________________

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/messi-cipta-rekod-penampilan-ke-148/

EURO: 'Pemain simpanan England pun kuat'

Jun 30, 2021 @ 8:34am



Pemain pertahanan Ukraine, Oleksandr Zinchenko (kanan) meraikan kejayaan pasukannya selepas menewaskan Sweden 2-1 dalam aksi pusingan 16 Euro 2020 di Hampden Park, Glasgow. - Foto AFP

GLASGOW: "Bermula esok, kami perlu memikirkan mengenai England."

Itu tegas pemain tengah Ukraine, Oleksandr Zinchenko menjelang pertembungan dengan England pada aksi suku akhir Euro 2020, awal pagi Ahad ini.

Terdahulu, Ukraine mengesahkan slot ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan Sweden 2-1 yang bermain dengan 10 orang dalam aksi pusingan 16 terbaik, awal pagi tadi.

Zichenko yang juga pemain tengah Manchester City dianggap watak penting terhadap kejayaan pasukan itu selepas dia meledak gol pertama, sebelum membuat hantaran bagi membolehkan rakan sepasukan, Artem Dovbyk menanduk masuk gol kemenangan pada masa tambahan.

England pula mara ke suku akhir selepas menewaskan musuh tradisi, Jerman 2-0 di Wembley, awal pagi tadi.

Oleksandr Zinchenko (kiri) dikasari pemain tengah Sweden, Sebastian Larsson. - Foto A

"England mempamerkan prestasi yang baik dalam kejohanan kali ini dan dianggap sebagai satu daripada pasukan kebangsaan terbaik di dunia. Kami akan melakukan apa saja bagi mara ke pusingan seterusnya.

"Saya menyaksikan hampir semua perlawanan England pada Euro kecuali hari ini. Saya kenal hampir semua pemain mereka kerana beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

"England sebuah pasukan yang hebat dengan pilihan pemain yang menakjubkan. Jika anda lihat di bangku simpanan, mereka memiliki pemain berkualiti seperti tiga pasukan kebangsaan Ukraine.

"Namun, ia tidak menggentarkan kami, sebaliknya memberikan kami motivasi. Secara peribadi, saya akan berjuang habis-habisan bagi mencipta kemenangan pada pertemuan dengan England," katanya. - AGENSI.1

____________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833776/euro-pemain-simpanan-england-pun-kuat

Gol Supermokh diiktiraf Fifa

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Mokhtar cukup digeruni ketika eranya. FOTO File NSTP

Kuala Lumpur: "Tiap-tiap pemain harus mempunyai semangat yang tinggi dan harus memikirkan yang mereka ini mewakili negara dan sekiranya apa terjadi nama negara akan terjejas".

Itu antara nasihat dan pesanan yang pernah ditinggal legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari buat pemain-pemain kebangsaan agar sentiasa menyematkan semangat cintakan negara setiap kali menyarung jersi Malaysia.

Mokhtar antara penyerang terbaik di Asia menitipkan pesanan itu menerusi satu rakaman video pada tahun 1987 yang kini kembali tular di media sosial.

Menerusi video selama 30 saat itu, Allahyarham berkongsi tips bagaimana beliau berjaya memberikan aksi terbaik setiap kali turun beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Katanya, semangat dan keinginan tinggi untuk mengharumkan negara adalah penyebab mengapa beliau sering berjaya mengatasi pertahanan lawan sekali gus menjaringkan gol.

"Tiap tiap pemain harus mempunyai semangat yang tinggi dan harus memikirkan yang mereka ini mewakili negara dan sekiranya apa terjadi nama negara akan terjejas"

"Dan saya rasa dengan semangat itu lah, dan berpegang pada pedoman itu, maka saya selalu dapat mengatasi pihak-pihak lawan saya," katanya.

Lantas, nasihat berkenaan boleh dijadikan panduan buat pemain-pemain negara ketika ini yang dikritik hebat sebelum ini ekoran aksi longlai di kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mei lalu.

Pasukan negara bimbingan Tan Cheng Hoe sekadar menamatkan aksi kelayakan di tempat ketiga Kumpulan G di belakang UAE dan Vietnam.

Untuk rekod, Mokhtar atau turut dikenali dengan gelaran Super Mokh muncul antara tiga penjaring terbanyak sepanjang zaman dan ia diiktiraf Fifa.Badan induk dunia itu mengesahkan Mokhtar meledak 89 gol antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya sepanjang kariernya dari 1972-1985.

Berdasarkan rekod terbabit, Mokhtar berjaya memintas pencapaian legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas yang menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan.Pendahulu senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kini dikongsi pemain Iran, Ali Daei dan Cristiano Ronaldo dari Portugal yang meledak 109 gol.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 7:44pm.1

_______________________________________

Cunha, Kone tambah sengat NSFC

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Jurulatih K Devan memberi arahan kepada pemain. FOTO Ihsan NSFC

Kuala Lumpur: Pengendali Negeri Sembilan (NS) FC, K Devan mempunyai asas tersendiri mendapatkan dua pemain import terbaharu iaitu Arthur Cunha dan Francis Kone yang dijangka bakal menyuntik kekuatan tambahan buat skuad Hoben Jang Hoben bagi mencabar kejuaraan Liga Perdana.

Jelas Devan, Cunha adalah pemain pertahanan yang mempunyai kelebihan daripada segi komunikasi kerana mampu berbahasa Indonesia selepas lima tahun beraksi di sana sementara Kone, mempunyai pengalaman bermain di Liga Malaysia apabila membantu Kuala Lumpur, musim lalu.

"Kita buat pertukaran di pertahanan tengah kerana nampak di pusingan awal, Fernando Barbosa ini kurang berkomunikasi dengan pemain yang lain serta persefahaman tidak mencapai seperti mana yang kita harapkan.

"Tujuan kita mahu mendapatkan pemain import di pertahanan adalah untuk mengawal bahagian bawah serta menjadi ketua kepada semua pemain di benteng, kedua-dua fungsi ini tidak dapat dijalankan oleh Fernando.

"Jadi, kami mengambil Artur Cunha yang lama berada di Indonesia dan mampu memahami bahasa Melayu kerana boleh bertutur bahasa Indonesia malah dia seorang yang mampu bergaul dengan baik dengan pemain tempatan.

"Manakala Kone seperti kita tahu pernah bermain di sini dan saya rasa dia akan pantas menyesuaikan diri bagi menggantikan Rafael Gomes yang tidak begitu efektif apabila sekadar menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan selepas 11 perlawanan.

"Kone mempunyai kualiti yang baik dalam aspek perebutan bola di udara, satu situasi yang akan berikan kita pilihan dalam cuba menjaringkan gol semasa situasi set piece selain dia mampu menjadi pengumpan yang baik, " katanya.

Selain itu, Devan menyatakan kehadiran bekas pemain, Abdul Halim Zainal, adalah untuk menambahkan lagi pilihan di barisan tengah selepas mereka hanya mempunyai empat sahaja pemain di posisi terbabit.

Biarpun sudah menjangkau usia 33 tahun, pengalaman Halim yang juga anak jati Negeri Sembilan dijangka mampu membantu Devan jika pasukan berdepan masalah kecederaan atau penggantungan pemain.

"Negeri Sembilan musim ini memiliki skuad yang kecil sahaja iaitu 22 pemain termasuk tiga penjaga gol dan kami memasukkan dua pemain Piala Presiden, yang menjadikan 24 secara keseluruhan.

"Daripada senarai itu, kami hanya ada Barath Kumar, Saiful Ridzuwan, Bae Beom Geun dan Fahmi Faizal boleh bermain di bahagian tengah dan berdasarkan pengalaman selepas lalui 11 perlawanan, kami memerlukan seorang lagi pemain di posisi ini.

"Jadi, Halim Zainal menjadi pemain paling sesuai berdasarkan pengalamannya serta dia mampu cepat menyesuaikan diri dan saya rasa kami tidak boleh mendapat pemain sekualitinya pada pintu perpindahan kedua ini, " katanya.

Seorang lagi pemain tempatan yang disambar Negeri Sembilan adalah bekas pemain Kedah Darul Aman, Penang dan UiTM, Zulkhairi Zulkpely yang beraksi di posisi pertahanan.

Mengenai persaingan Liga Perdana bersama Sarawak United, Devan menyatakan sasaran utama adalah untuk memburu slot ke Liga Super sebelum memikirkan kejuaraan.

"Liga Super adalah sasaran kami dan harap pada baki saingan kali ini, kami akan terus dapat bermain dengan baik namun dalam masa sama, jika ada peluang meraih tempat pertama, kami akan cuba.

"Saya optimis Negeri Sembilan ada kualiti bersaing dengan Sarawak dan harap pemain mampu sentiasa fokus dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan, " katanya.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 6:55pm.1

_________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724724/cunha-kone-tambah-sengat-nsfc

United gembira Perancis kalah awal

Agensi



POGBA berjalan keluar dari lapangan terbang Le Bourget ketika pasukan bola sepak kebangsaan itu kembali ke Perancis. FOTO EPA

London: Kekalahan awal Perancis di Euro 2020 memberi khabar gembira buat Manchester United yang kini boleh merancang pembelian pemain dengan lebih cepat.

The Red Devils mendapat kelebihan hasil kekalahan mengejut Les Bleus pada pusingan kedua itu di tangan Switzerland.

Kekalahan Perancis itu bermakna, masa depan Paul Pogba yang menjadi tumpuan utama dalam pertandingan itu dengan impak mengagumkan sepanjang Euro 2020 kini sudah boleh dibincangkan dengan United boleh memulakan rundingan untuk khidmat pemain itu.

Sementara itu pemain Real Madrid dan Perancis, Raphael Varane yang sebelum ini memberi fokus kepada komitmennya di peringkat antarabangsa kini boleh mengalihkan tumpuannya kepada kelab lebih awal daripada apa yang dijangkakan.

Manakala Ole Gunnar Solksjaer mula membuat perkiraan menjelang jendela perpindahan berharap dapat menemui gandingan terbaik bersama kapten pasukan Harry Maguire yang mengalami kecederaan pada akhir musim lalu dan mendedahkan beberapa kelemahan di barisan belakang United.

Kehilangan Maguire, prestasi Victor Lindelof dan Eric Bailly tidak banyak membantu seterusnya menyebabkan pencarian pemain perlu dipertingkatkan seterusnya menstabilkan kedudukan disamping kapten Red Devils itu.

Beberapa nama dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, seperti pemain Villarreal, Pau Torres – pemain berusia 24 tahun itu mempamerkan bakatnya ketika pasukan itu bertemu di final Liga Europa musim lalu.

Ben White dari Brighton yang dikagumi Maguire, rakan pasukan di peringkat antarabangsa mampu menghasilkan kombinasi terbaik di lapangan juga dalam rada United.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 1:43pm.1

______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724561/united-gembira-perancis-kalah-awal

England bagaikan julang Piala Dunia [VIDEO]

Agensi



PENYOKONG England di Trafalgar Square. FOTO Agensi

London: Penyokong England berpesta meraikan kemenangan sensasi 2-0 ke atas Jerman pada pusingan kedua Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Puluhan ribu penyokong memenuhi Central London sambil melaungkan 'It's Coming Home' selepas jaringan Raheem Sterling dan Harry Kane memastikan England ke suku akhir.

Skuad Gareth Southgate akan menentang Ukraine di Rom selepas anak buah Andriy Shevchenko mengejutkan Sweden dalam masa tambahan.

Central London dipenuhi penyokong yang bergembira meraikan kejayaan England ke atas musuh lama dengan Trafalgar Square ditakluki mereka yang kebanyakannya memakai jersi Three Lions.

Ada yang melaungkan 'It's coming home' beramai-ramai di Soho dan ada yang membaling tin minuman ke udara di Leicester Square.

GELAGAT penyokong England di Wembley. FOTO AFP

Puluhan penonton pula memanjat Shaftesbury Fountain di Piccadilly Circus sambil menyanyikan "Que sera, sera, whatever will be, will be, we're going to Wembley, que sera, sera".

Putera William, Putera George dan Kate Middleton antara 45,000 penyokong di Wembley yang menyaksikan skuad Gareth Southgate mara ke pusingan seterusnya.

Kemenangan England itu yang pertama ke atas Jerman di kejohanan utama sejak 1966 dan berdepan laluan cerah ke final apabila bakal menentang sama ada Denmark atau Republik Czech di separuh akhir.

Jika mara ke final menunggu mereka ialah pasukan pilihan Belgium, Itali, Sepanyol atau Switzerland di Wembley pada 12 Julai.

Lagi berita berkaitan Euro 2020

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 2:13pm.1

_____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724578/england-bagaikan-julang-piala-dunia-video

EURO: Ia amat menyakitkan - Mueller

Jun 30, 2021 @ 6:04pm



Penyerang Jerman Thomas Mueller kecewa selepas rembatannya tersasar untuk gol penyamaan ketika menentang England dalam aksi 16 terakhir Euro 2020 di Wembley. - Foto AFP

BERLIN: Thomas Mueller mengakui percubaannya yang tersasar untuk gol penyamaan di Wembley ketika kekalahan 2-0 kepada England sesuatu yang amat menyakitkan.

Ketika England mendahului 1-0 hasil jaringan Raheem Sterling, Mueller berjaya melepasi benteng pertahanan lawan ketika permainan berbaki sembilan minit, tetapi sepakan lencongnya tersasar ke kiri gawang.

"Untuk mendapat peluang begitu dan kemudian mensia-siakannya, ia amat menyakitkan.

"Ini dia, saat yang akan kekal dalam ingatan anda akhirnya, yang akan membuat anda tidak boleh tidur.

"Saat itu ketika hanya anda berpeluang membawa pasukan ke masa tambahan dan menggembirakan peminat di seluruh negara," kata Mueller di laman Instagram.

England memastikan kemenangan dengan jaringan Harry Kane sekali gus menyingkirkan Jerman daripada kempen Euro 2020.

Ia adalah perlawanan terakhir Mueller untuk Jerman, begitu juga dengan pengendalinya Joachim Loew yang sudah bersama pasukan itu sejak 15 tahun lalu.

Mueller pernah menjaringkan gol di Wembley, dan berpeluang meledak gol ke-40 dalam 107 penampilan antarabangsanya, tetapi kini dia kekal tanpa jaringan di tiga Kejuaraan Eropah berturut-turut. - AFP.1

____________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/834036/euro-ia-amat-menyakitkan-mueller

Khalid gesa pulihkan segera 'Messi Malaysia'

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 30, 2021 @ 1:30pm

zulfaizan@bh.com.my



Khalid Ali (kiri) dan Safawi Rasid.

KUALA LUMPUR: Usah biarkan Safawi Rasid tenggelam!

Itu luahan yang cuba disampaikan legenda bola sepak negara, Khalid Ali selepas dia meminta kemerosotan prestasi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu segera dipulihkan.

Menganggap Safawi memiliki kelebihan seakan sama dengan bintang dunia, Lionel Messi, Khalid yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan Safawi memerlukan jurulatih dan pakar psikologi untuk memulihkan semula prestasinya.

Katanya, Safawi memerlukan satu program yang betul dan jurulatih perlu mengkaji segala kekuatan dimilikinya bagi memastikan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu lebih mantap dalam semua aspek termasuk tahap kecergasan.

"Kelemahan Safawi adalah untuk bermain penuh 90 minit. Jika kecergasan dia berada pada tahap terbaik sepenuhnya iaitu boleh beri komitmen 90 minit dalam sesuatu perlawanan, saya rasa dia memang tidak boleh digugat dan boleh dikatakan dia antara pemain terbaik di Asia.

"Dia masih pemain sayap terbaik di Malaysia dan saya tak nampak kecacatan pada diri Safawi. Tapi tiada orang yang nak keluarkan (kelebihan) dia. Messi boleh dikatakan agak perlahan juga, tapi kekuatan dia adalah berlari dengan bola dan itulah Safawi.

"Jurulatih kena kaji, maksudnya Safawi bukan pemain yang boleh bermain seperti pemain lain iaitu berlari satu padang. Dia main macam Messi, Messi boleh dikatakan bermain dalam satu zon yang mana apabila dia dapat peluang dia akan terus bergerak ke depan dan inilah Safawi," katanya kepada BH Sukan.

Kemerosotan prestasi Safawi menjadi perhatian terutama selepas pulih dari kecederaan yang dialami pada Mac lalu dengan dia dilihat gagal memberikan impak besar buat skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan ini.

Mengulas lanjut, Khalid mengakui Safawi memerlukan masa dan bantuan untuk mengembalikan semula prestasinya kepada tahap terbaik.

"Sebenarnya Safawi ini mudah kecewa, dia bukan main tak bagus. Dia kecewa bila dia buat tak jadi, itu kena ada satu jurulatih dan psikologi untuk membetulkan cara dia.


"Kalau di liga tempatan memang keyakinan dia tinggi, letaklah dia menentang Terengganu, Selangor atau sebagainya dia memang yakin. Cuma tahap keyakinan dia untuk aksi antarabangsa tidak sampai lagi.

"Macam saya dulu bermain di posisi pertahan kanan, lepas itu (jurulatih Harimau Malaya) Karl-Heinz Weigang letak saya main penyerang dan tengah, saya tak boleh tapi dia asah saya sampai saya menjadi pemain yang boleh dikatakan terbaik dalam kelayakan ke Sukan Olimpik," katanya.1

______________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833897/khalid-gesa-pulihkan-segera-messi-malaysia

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 4:00pm.JDT harus bangkit

Rizar Mohd Noor

rizar@mediaprima.com.my



Tonggak JDT, Safawi Rasid menjalani latihan menjelang aksi berdepan Pohang Steelers esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan bertemu sekali lagi FC Pohang Steleer pada aksi pusingan kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, esok bakal membuat rombakan kecil di posisi pertahanan.

Ini berikutan dua pemainnya Mauricio Dos Santos dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham terpaksa diketepikan pengendali JDT, Benjamin Mora apabila berdepan kelab dari Korea Selatan selepas mengumpul dua kad kuning.

Apapun Mora sedar kekalahan 1-4 kepada skuad kendalian Kim Gi-dong pada aksi Isnin lalu, beri kesan terhadap prestasi barisan pemainnya namun ia dapat diatasi selepas proses pemulihan dan latihan yang lebih tersusun untuk berdepan sekali lagi kelab dari Korea Selatan pada perlawanan timbal balik.

"Ya.. kami tidak dapat turunkan Mauricio kerana di gantung satu perlawanan tapi kami sudah kenal pasti pemain yang akan mengisi kekosongan tempatnya untuk bergandingan bersama Shane (Lowry) malah posisi Azrif (Nasrulhaq Badrul Hisham) juga ada pengganti.

"Kali kedua kami menentang Pohang dan ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan yang dilakukan pada aksi pusingan pertama dan memperbaiki corak permainan yang lebih konsisten. Malah kami tahu cara mereka beraksi.

"Kami bersaing di pentas ACL semestinya mahu buktikan sesuatu dan ia bukan sekadar melengkapkan jadual perlawanan dan pasti akan turun dengan lebih mantap pada tiga aksi bermula dengan menentang kelab dari Korea Selatan," katanya.

Menurut Mora, selepas mengharungi tiga perlawanan yang sukar terutama tekanan pada aspek fizikal dan mental ia adalah keadaan luar biasa kerana belum pernah beraksi dalam saingan ACL dengan jadual yang padat namun proses pemulihan yang tersusun nyata membuat pemain tampak kembali bersedia mengharungi perlawanan seterusnya.

Sementara itu, kapten JDT Farizal Marlias bertekad untuk bangkit bersama rakan sepasukan memburu kemenangan apabila sekali lagi menentang Pohang Steelers dan ia peluang terbaik bagi membalas dendam kekalahan 1-4, baru-baru ini.

"Ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan lalu. Kami berada di landasan terbaik untuk menang pada aksi lalu selepas mendahului 1-0 namun tiga sepakan penalti yang diberikan kepada pasukan lawan meranapkan segala harapan.

"Itulah bola sepak namun aksi kali kedua merupakan episod berbeza kerana kami perlu raih mata untuk kekal bersaing di pentas ACL dan harapan kami mahu lakar kejutan," kata Farizal.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 4:00pm1

_____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724626/jdt-harus-bangkit