Agensi
SOUTHGATE perlu membuat percaturan yang betul dalam memilih pemain. FOTO Agensi
Kiev: Gareth Southgate menghadapi dilema dalam membuat pilihan pemain menjelang perlawanan penting iaitu suku akhir Euro 2020 menentang Ukraine berikutan masalah disiplin dan kecergasan.
Harry Maguire, Declan Rice, Kalvin Phillips dan Phil Foden semuanya mengutip kad kuning dan berpotensi berdepan penggantungan di separuh akhir.
Perkara itu membuatkan Southgate perlu membuat keputusan sama ada mahu berdepan risiko untuk menurunkan mereka pada perlawanan menentang Ukraine nanti.
Mason Mount dan Jordan Henderson antara pemain yang akan mendapat kelebihan jika Southgate memutuskan untuk menggunakan formasi yang sama ketika mereka melakarkan kemenangan yang tidak mungkin dilupakan ke atas Jerman.
Di sebalik kebimbangan Southgate berhubung masalah disiplin pemain, Mount berusaha keras untuk berada dalam skuad utama selepas bebas daripada kuarantin namun tidak dapat memulakan perlawanan ketika pasukan menang ke atas skuad Joachim Low.
Begitupun Henderson boleh diserapkan ke dalam pasukan untuk menggantikan Phillips atau Rice jika Southgate tidak mahu mempertaruhkan satu daripada mereka.
Selain daripada berdepan penggantungan di separuh akhir - Phillips beraksi penuh dalam kejohanan ini setakat ini dan Southgate mungkin memilih untuk merehatkan pemain Leeds itu.
Henderson pula dimasukkan dua kali sebagai pemain gantian setakat ini, beraksi 45 minit ketika menentang Republik Czech dan kemudiannya menentang Jerman.
Southgate mungkin kurang cenderung untuk melakukan perubahan di bahagian pertahanan memandangkan England masih belum melepaskan sebarang gol di kejohanan ini.
Namun difahamkan pemain pertahanan Kieran Trippier kini mengalami masalah otot dan pertembungan menentang Ukraine dalam waktu terdekat ini memberi peluang kepada Southgate merehatkan bintang Atletico Madrid itu.
Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 8:13am.1
______________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/724933/southgate-kini-dalam-dilema
No comments:
Post a Comment