Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. FOTO File NSTP
Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersedia membantu bekas pemain skuad Harimau Malaya, Khalid Jamlus bagi meneruskan perniagaan yang diusahakannya sejak tahun lalu.
Khalid yang juga bekas penyerang negara dan Perak itu terpaksa menutup gerainya di Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat ekoran ketiadaan pelanggan yang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, pihaknya bersedia membantu Khalid bagi meneruskan perniagaannya yang terjejas itu.
Namun katanya, bantuan itu bukanlah dari 'poket' Yakeb kerana organisasi itu hanya menyediakan bantuan dari sudut kesihatan kepada ahlinya.
Bekas pemain bola sepak, Khalid Jamlus di hadapan gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api di Sijangkang. FOTO Asyraf Hamzah
Bagaimanapun, pihaknya boleh membantu dengan menjadi orang tengah memohon sokongan kewangan daripada beberapa agensi kerajaan untuk meringankan beban bekas atlet.
Antara agensi yang diyakini mampu menghulurkan bantuan kepada ahli Yakeb adalah pinjaman Tekun yang sebelum ini sudah membantu beberapa bekas atlet yang mengusahakan perniagaan.
"Kita di Yakeb tidak menyediakan dari segi perniagaan tetapi kita ada hubungan yang baik bersama pihak-pihak seperti Tekun.
"Jika Khalid mahu bantuan itu, Yakeb boleh membantu memudahkan urusan permohonan itu. Jumlah yang boleh dipohon saya kira boleh membantunya.
"Kalau dia sudah daftar SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) untuk perniagaan sebelum ini, dia boleh mohon sehingga RM10,000-RM20,000.
"Paling minimum pun boleh dapat dalam RM5,000 dan saya rasa jumlah itu memadai buatnya untuk meneruskan perniagaannya itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.Menurut Noorul Ariffin lagi, Khalid juga boleh menyertai program kemahiran anjuran Yakeb di mana ia mampu meningkatkan kualiti dan inovasi dalam perniagaan.Menerusi laporan Harian Metro, bekas pemenang kasut emas Liga Malaysia musim 2002 itu mengakui sedia berniaga di tepi jalan selepas ini dan ia tidak menjadi masalahnya demi meneruskan kelangsungan hidup.
Kata Khalid, kerugian yang terpaksa ditanggung sejak dua bulan lalu mencecah hampir RM8,000 menyebabkan wang simpanannya ketika ini boleh dikatakan sudah licin dan sukar untuk memperoleh modal pusingan.
Disiarkan pada: Jun 29, 2021 @ 6:48pm.1
_______________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724237/yakeb-sedia-bantu-khalid-jamlus
No comments:
Post a Comment