Ad

Wednesday, 30 June 2021

Pilihan Mancini cetus tanda tanya

Agensi



MANCINI perlu membuat keputusan terbaik siapa yang diturunkan dalam kesebelasan utama. FOTO Agensi

Munich: Jurulatih Itali, Roberto Mancini harus menyelesaikan teka-teki yang bermain di fikirannya menjelang aksi suku akhir berdepan Belgium awal pagi Sabtu ini.

Adakah dia akan terus mempercayai bintang di dalam skuadnya atau memilih pemain yang beraksi cemerlang selepas menentang Austria?.

Matteo Pessina membandingkan prestasi Itali di Euro 2020 ibarat lukisan Vincent van Gogh selepas mereka berjaya melepasi pusingan kedua berdepan Austria dan sekarang kita akan lihat sama ada Mancini mampu menghasilkan satu karya agung.

Pemain tengah Atalanta itu adalah salah seorang daripada beberapa pilihan yang membuatkan Mancini sakit kepala untuk mempersiapkan Azzurri berdepan Belgium di Munich.

Itali tidak mempunyai pemain sehebat Kevin De Bruyne, Eden Hazard atau Romelu Lukaku namun mereka mempunyai kekuatan di bahagian tengah.

Hanya tiga daripada sembilan gol dijaringkan oleh pemain yang diletakkan dalam kesebelasan utama.

Masalah Mancini ialah Federico Chiesa, Matteo Pessina dan Manuel Locatelli yang beraksi cemerlang tidak sesuai dengan taktikal asal berbanding Domenico Berardi, Nicolo Barella dan Marco Verratti.

Jika dilihat dari segi prestasi, beliau harus membuat keputusan sama ada memilih sekurang-kurangnya dua pemain iaitu Chiesa, Locatelli dan Pessina atau terus mempercayai, Berardi dan Barella.

Berardi dan Barella gagal menyerlah di Wembley sebelum digantikan dengan Chiesa dan Pessina.

Apa yang pasti Mancini akan melakukan sedikit perubahan, dengan ketua pasukan, Giorgio Chiellini dijangka diturunkan menggantikan Francesco Acerbi jika pemain veteran itu melepasi ujian kecergasan selepas mengalami kecederaan betis.

Mancini percaya kejayaan Itali bergantung kepada pemain yang mendengar arahannya.

Ia adalah mentaliti klasik Itali, walaupun sudah memecahkan tradisi dengan corak permainan lebih menyerang dengan formasi 4-3-3.

"Mancini mempercayai kami dan kami merasai kepercayaan itu. Beliau membuatkan kami berasa yakin dan menghulurkan tangan untuk membantu baik di dalam mahupun luar padang.

"Beliau sentiasa berada rapat di samping kami sepanjang perjalanan ini. Kami harus percaya kepada diri sendiri," kata pemain tengah Chelsea, Jorginho, yang melakukan penampilan lebih banyak berbanding pemain lain di bawah kepimpinan Mancini.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 9:16am.1

______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/724939/pilihan-mancini-cetus-tanda-tanya

No comments:

Post a Comment