AFP
GAMBAR kombinasi kapten England, Harry Kane (kiri) bersama bintang Jerman, Thomas Mueller menjelang perlawanan kedua-dua pasukan di Wembley, esok. FOTO AFP
London: Pengurus England, Gareth Southgate mengakui berdepan keputusan sukar selepas Mason Mount dan Ben Chilwell kembali daripada pengasingan diri menjelang pertarungan dengan Jerman di pusingan kedua Euro 2020, hari ini.
Dua pemain Chelsea itu tidak beraksi ketika England menang 1-0 ke atas Republik Czech di peringkat Kumpulan D, Selalu lalu kerana terpaksa dikuarantin selama 10 hari.
Mereka menjadi kontak rapat kepada pemain Scotland, Billy Gilmour yang diuji positif Covid-19 selepas seri 1-1 dengan England pada 18 Jun lalu.
Berikutan kedua-duanya hanya berlatih sendiri dan tersisih daripada latihan bersama pasukan, Southgate membayangkan Mount dan Chilwell mungkin tidak diturunkan menentang Jerman di Wembley.
"Mereka datang berasingan dengan pasukan dan berlatih sendiri minggu ini. Mereka hanya menyertai kami pada sesi latihan tidak penuh," kata Southgate, hari ini.
"Ini adalah perkara asas apabila perlu membuat keputusan. Mulai tengah malam ini, barulah mereka bebas kuarantin dan boleh menyertai semula pasukan.
"Jelas, memang sukar kerana ada taktikal yang perlu diterapkan selain aspek fizikal untuk perlawanan ini. Kami hanya bermesyuarat menerusi Zoom dan mereka berada di bilik berlainan.
"Keseluruhan pengalaman buat mereka termasuk datang sendiri malam ini, memang sukar.
"Ini keputusan perlu saya buat untuk melihat bagaimana mereka berlatih dan beberapa perkara lain."
Southgate dilaporkan mahu menurunkan Mount di bahagian tengah, seperti dilakukannya pada dua perlawanan awal, tetapi Chilwell mungkin tidak diturunkan selepas Kieran Trippier dan Luke Shaw berkongsi tempat di Euro 2020 setakat ini.
Sama ada dua pemain Chelsea itu terbabit atau tidak, Southgate sedar England memiliki peluang keemasan untuk mencipta sejarah di kejohanan ini.
England tidak pernah menang Kejuaraan Eropah dengan pencapaian terbaik mereka adalah tewas di separuh akhir di tangan Jerman di Euro 96.
Jika menewaskan anak buah Joachim Loew esok, ia adalah kemenangan di peringkat kalah mati kedua England di kejohanan itu.
"Ia adalah rekod yang luar biasa. Ia adalah perkara utama yang kami bincangkan sebagai satu pasukan sejak empat tahun lalu," kata Southgate.
"Kami ada peluang. Dalam era terdahulu, kami selalu bercakap mengenai pencapaian silam, pasukan, rekod dan sebagainya. Kami kini perlu melepasi lawan kental dengan pengalaman hebat," kata Southgate yang gagal menyempurnakan sepakan penalti penentuan ketika tewas kepada Jerman 25 tahun lalu.
Lagi berita berkaitan Euro 2020
Disiarkan pada: Jun 29, 2021 @ 3:25am.1
_____________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723929/southgate-pening-kepala-pilih-kesebelasan-england
No comments:
Post a Comment