BERNAMA
Tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. FOTO File NSTP
Kuala Lumpur: Saranan menjadikan perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai medan terakhir menguji potensi calon pemain naturalisasi untuk bersama skuad negara tidak semudah yang disangka.
Malah, kaedah pelaksanaannya yang hanya dibenarkan menerusi aksi persahabatan berstatus perlawanan pertunjukan atau perlawanan ujian, mencetuskan tanda tanya adakah aksi itu yang tidak memberikan manfaat kepada pungutan mata ranking dunia, sesuatu yang relevan pada waktu ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata tidak banyak pasukan berada di ranking lebih baik cenderung untuk bermain perlawanan sedemikian terutama pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Apabila soal perlawanan bola sepak antarabangsa, hanya segelintir pihak mahu bermain kerana mereka mahu membuat penampilan terbaik dalam jendela FIFA, jadi bukan saja soal kita dan pihak lawan mahu, ia juga soal berkaitan melakukannya ketika dalam tempoh penting apabila terdapat kiraan mata (ranking FIFA) untuk turut direbut," katanya.
Mengambil contoh perlawanan ujian skuad kebangsaan menentang Kuwait pada 24 Mei lalu, Stuart berkata keutamaan kedua-dua pasukan adalah untuk menurunkan seberapa ramai mungkin pemain bagi melihat tahap prestasi dan persefahaman mereka.
"Jadi ia melibatkan soal jumlah pertukaran yang boleh dibuat yang sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan ketetapan perlawanan persahabatan Kelas 1, jadi dalam konteks ini pihak lawan juga perlu menerima pelawaan bermain perlawanan ujian," tambah beliau.
Sebelum ini terdapat saranan FAM menjadikan perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai medan terakhir menilai potensi pemain asing sebelum memutuskan untuk menaturalisasikan mereka beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Saranan itu dibuat supaya kesesuaian dan keberkesanan kehadiran pemain asing dalam corak permainan pasukan kebangsaan dapat dilihat lebih jelas berbanding hanya memilih berdasarkan prestasi dalam saingan liga domestik.
Sehingga kini, tiga pemain iaitu Mohamadou Sumareh dari Gambia, Liridon Krasniqi (Kosovo) dan De Paula (Brazil) berada dalam Program Naturalisasi FAM dalam usaha merealisasikan misi skuad kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Jumlah itu mungkin bertambah dalam masa terdekat apabila dua pemain import Liga M antaranya tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos (Penang FC) kini dikaitkan bakal menjadi pemain naturalisasi terbaru pasukan negara.
Disiarkan pada: Jun 27, 2021 @ 11:02pm.1
_____________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723457/menilai-pemain-naturalisasi-bukan-mudah
No comments:
Post a Comment