Oleh Rizar Mohd Noor - Jun 29, 2021 @ 12:06am
rizar@mediaprima.com.my
Arif Aiman Hanapi (depan) diasak dua pemain Pohang pada aksi Liga Juara-Juara Asia di Bangkok. - Foto ihsan JOHOR Southern Tigers
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal dalam misi memburu kemenangan kedua selepas dibelasah 1-4 oleh Pohang Steelers FC pada aksi pusingan pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.
Kekalahan itu meletak skuad Harimau Selatan turun ke tangga ketiga dengan kekal tiga mata dan kelab dari Korea Selatan itu melonjak ke tangga kedua selepas mengumpul enam mata, manakala Nagoya Grampus kekal selaku pendahulu kumpulan selepas membelasah Ratchaburi FC 4-0 pada aksi pertama.
Kesilapan Leandro Velazquez, Mauricio Dos Santos dan Matthew Davies yang menghadiahkan sepakan penalti pada babak pertama dan babak kedua walaupun di awal perlawanan Velazquez mencipta jaringan buat JDT untuk mendahului 1-0 nyata meranapkan impian Harimau Selatan memburu kemenangan.
Beraksi di padang yang basah tampak tidak beri masalah buat Pohang Steelers menghadirkan cemas di kubu JDT pada minit ke-11 berpunca daripada kesilapan Velazquez yang mengumpan bola ke belakang dan sempat di sambar Borys Tashti yang menyusup masuk ke dalam kotak dan merembat bola leret namun sempat diselamatkan penjaga gol, Farizal Marlias.
Walaupun sering diasak namun skuad Harimau Selatan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-16 selepas Velazquez bijak merampas bola daripada Lee Soo-bin sebelum merembat bola leret yang terbias di kaki Gwon Wan-gyu menyaksikan penjaga gol, Kang Hyeon-mu tergamam melihat bola menerjah jaring.
Namun jaringan itu tidak tidak bertahan lama selepas kesilapan Velazquez yang didakwa menjatuhkan Goh Young-jun pada minit ke-26 dan pengadil dari Australia, Shaun Evans tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.
Tashti yang ditugaskan mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Farizal apabila merembat kencang tepat ke penjuru kiri gol bagi menyamakan jaringan 1-1.
Malang buat JDT apabila Evans sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti selepas Mauricio Dos Santo melakukan terjahan keras terhadap Mario Kvesic di dalam kotak penalti pada minit ke-34.
Walaupun pada awalnya sepakan Kang Sang-woo berjaya ditepis Farizal namun Evans mengarahkan sepakan semula selepas mengesan penjaga gol JDT itu terlebih dahulu bergerak dan sepakan kedua Sang-woo pada minit ke-35 berjaya meletak Pohang Steelers mendahului 2-1.
Bersambung babak kedua, peluang terbaik JDT untuk menyamakan jaringan pada minit ke-55 tidak kesampaian selepas bola sepakan lintang Ariff Aiman Hanapi gagal ditanduk kemas Natxo Insa tatkala bola melepasi palang gol.Anak didik Gi-dong menambah derita JDT pada minit ke-81 selepas bola umpanan pemain gantian, Lee Seung-mo berjaya mengelirukan benteng skuad Harimau Selatan yang membolehkan Kwon Ki-pyo mudah menewaskan Farizal.
Pohang Steelers dihadiahkan sepakan penalti ketiga dalam perlawanan itu selepas Matthew Davies mengasari Alex Grant pada minit akhir perlawanan dan Lim Sang-hyub tidak berdepan masalah untuk memastikan kemenangan bergaya 4-1 memihak kelab dari Korea Selatan itu.1
_____________________________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833303/jdt-tumbang-angkara-tiga-penalti
No comments:
Post a Comment