Ad

Sunday 27 June 2021

EURO: 'Ini pertarungan Belgium lawan Portugal, bukan Ronaldo'

Jun 27, 2021 @ 7:12am



Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo tiba di Hotel Barcelo Sevilla Renacimento, Sepanyol menjelang perlawanan menentang Belgium pada aksi pusingan 16 terbaik saingan Euro 2020 di Seville. - Foto EPA.

SEVILLE, Sepanyol: Fokus Belgium tidak hanya tertumpu kepada Cristiano Ronaldo ketika pasukan yang dikenali dengan julukan The Red Devils itu sedang bersiap sedia menentang Portugal dalam pertembungan 16 terbaik di Euro 2020, awal pagi esok waktu Malaysia.

Ronaldo mengungguli carta penjaring terbanyak di Euro dengan meledak lima gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan namun pertahanan Benfica, Jan Vertonghen akan sentiasa berwaspada dengan 'serangan' legenda bola sepak itu di saat Belgium sedang memburu gelaran pertama mereka di kejohanan utama antarabangsa.

"Dia adalah pemain paling ternama dalam sejarah Portugal dan kami menghormatinya dan saya juga menghormatinya. Namun esok, ia bukan mengenai Belgium menentang Ronaldo, ia perlawanan Belgium menentang Portugal dan mereka mempunyai ramai pemain yang bagus," kata Vertonghen.

"Dia seorang penyerang yang hampir menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan dia sudah banyak kali membuktikannya. Dia seorang yang fenomena. Dia berusaha gigih dan berlatih di sepanjang masa. Dengan apa yang dilakukannya setakat ini, dia layak dan mungkin bermain sehingga berusia 40 tahun."

Vertonghen turut memuji bintang Belgium, Romelu Lukaku yang ketinggalan dua jaringan di belakang Ronaldo dalam carta namun, ketika ini berada di tahap prestasi terbaik dalam kariernya.

"Satu-satunya gambaran untuk dirinya, dia adalah antara seorang daripada penyerang terbaik di dunia," kata Vertonghen.

"Saya mengenalinya sejak dia berusia 16 tahun dan dia berdepan banyak kritikan terhadap permainannya. Tetapi cara dia memajukan diri daripada menjadi seorang budak yang kuat dan pantas kepada seorang penyerang terbaik di dunia."Ttu adalah sesuatu yang terbaik pernah saya lihat dalam karier saya."1

_____________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/832518/euro-ini-pertarungan-belgium-lawan-portugal-bukan-ronaldo

No comments:

Post a Comment