Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 28, 2021 @ 2:10pm
zulfaizan@bh.com.my
Jamal anggap Harimau Malaya bukan punca prestasi Safawi merosot.
KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya tidak wajar dipersalahkan susulan kemerosotan prestasi Safawi Rasid.
Justeru, Jamal tidak bersetuju dengan kenyataan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa prestasi Safawi merudum kerana latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini.
Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan semua kelab, bukan sahaja JDT perlu menyalahkan diri sendiri sekiranya pemain mereka yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan gagal mempamerkan persembahan cemerlang.
"Tugas FAM adalah membentuk pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, bukan tugas mereka membuat latihan yang intensiti rendah atau tinggi. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai bekas pemain, pengurus pasukan dan pengurusan dalam persatuan bola sepak.
"Apa saja berkaitan intensiti, tahap kecergasan atau sebagainya terpulang kepada kelab masing-masing. Pasukan kebangsaan hanya membentuk persefahaman pemain dan bagi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini Harimau Malaya tidak cukup masa terutama kerana COVID-19.
"Saya tak menyalahkan FAM kerana mereka hanya memilih pemain terbaik dari kelab untuk mewakili negara. Jadi, kalau pemain bermain tak bagus, jangan salahkan bahawa latihan FAM tak betul."Lahirnya seseorang pemain adalah dari kelab bukan FAM. Saya cakap fakta, saya tak cakap suka-suka. Bukan saya tak suka TMJ (Tunku Ismail) atau JDT, tidak. Saya komen dari segi kenyataan, yang mesti kita terima hakikat," katanya kepada BH Sukan, semalam.
Selain itu, Jamal menganggap punca utama kemerosotan prestasi Safawi adalah disebabkan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak mendapat minit permainan yang kompetitif mencukupi.
Beliau turut menyifatkan tindakan JDT meminjamkan Safawi ke kelab Portimonense sebelum ini juga sebagai satu kerugian selepas dia tidak beraksi sebarang perlawanan dalam Liga Portugal.
"Bola sepak memerlukan minit permainan dan perlawanan kompetitif. Kalau setakat pergi (ke Portugal) untuk berlatih tiada guna, ia memberi kesan (kepada persembahan pemain) kerana bola sepak ini seni.
"Safawi merosot bukan sebab siapa-siapa, dia merosot sebab tak cukup permainan kompetitif. Kalau kerana kecederaan, kita sudah ada doktor dan fisioterapi pasukan untuk memastikan sama ada dia layak atau tidak untuk dibawa (bersama pasukan)," katanya.1
__________________________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833062/jdt-perlu-bertanggungjawab-prestasi-
hambar-safawi
No comments:
Post a Comment