Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Pemain Kelantan United, Alfusainey Gassama (kiri) diasak pemain TFC II, Allif Zakaria pada aksi perlawanan Liga Perdana. FOTO File NSTP
Kuala Lumpur: Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menangguhkan saingan Liga Perdana nyata diterima semua pasukan yang mengakui penundaan itu amat tepat ketika negara masih mencatatkan kes harian Covid-19 yang tinggi.
Ketua jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan juga menghormati keputusan terkini yang dikeluarkan MFL sambil menyifatkan segala arahan atau saranan yang ditetapkan oleh kerajaan perlu dihormati.
"Kita sudah semestinya perlu mengikut apa diputuskan oleh kerajaan kerana kita semua kena bersama-sama membantu tambahan kes harian Covid-19 ini masih tinggi.
"Bagi pihak Sarawak, kami akan menunggu terlebih dahulu jadual terbaharu yang akan dikeluarkan oleh MFL sebelum membuat sebarang keputusan mengenai latihan pasukan.
"Banyak aspek perlu dilihat kerana pasukan sudah mengeluarkan belanja yang tinggi dan dalam masa sama kita kena tengok bila Liga Malaysia dapat dimulakan kerana ada kemungkinan 'total lockdown' ini akan bersambung lagi dua minggu atau lebih lama lagi," katanya yang berjaya meletakkan pasukan di puncak liga.
Ketua jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan.
Nada sama turut diluahkan pengendali PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail yang menerima dengan hati terbuka terhadap arahan yang dikeluarkan namun dalam pada masa sama turut mengambil berat terhadap kesihatan mental pemain-pemain.
"Kita akur dengan arahan diberikan pihak kerajaan dan mungkin hikmahnya kepada kita memberikan ruang lebih baik bagi buat persiapan lebih jitu untuk hadapi baki dalam sembilan perlawanan lagi.
"Saya akan bersikap positif dan apa yang akan dibuat selepas ini adalah untuk mengatur semula program latihan yang kita telah rangka dan kemungkinan saya akan bagi ruang kepada pemain untuk berehat.
"Aspek mental pemain juga perlu dijaga memandangkan mereka sudah hampir sebulan mengadakan latihan secara berpusat atau 'camp based' tetapi perkara ini akan diputuskan dalam satu mesyuarat dengan pihak pengurusan.
"Mungkin pemain-pemain akan diberi cuti lima hari bagi berjumpa dengan ahli keluarga dan apabila mereka mahu pulang balik untuk mengadakan latihan, kita akan mengikut kembali SOP (prosedur standard operasi) yang ditetapkan iaitu membuat RT-PCR terhadap semua pemain, " katanya Wan Rohaimi.
PDRM sepatutnya berdepan Kelantan United pada 3 Julai ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur namun berdasarkan penangguhan diumumkan MFL, satu tarikh baharu akan ditetapkan.
Pindaan yang diumumkan turut membabitkan perlawanan tertunda di antara Perak FC II bertemu Kelantan FC di Stadium Ipoh, Perak yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 29 Jun 2021 manakala Selangor FC 2 menentang Sarawak United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun ini.
Disiarkan pada: Jun 27, 2021 @ 8:12pm.1
_________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723400/kelab-sambut-baik-langkah-tunda-liga-perdana
No comments:
Post a Comment