Ad

Friday, 25 June 2021

Southgate cekal, siap siaga pasukan: Henderson

2021-06-26T00:30:02+08:00



HENDERSON

LONDON: Jordan Henderson berkata respons Gareth Southgate kepada kegagalan beliau menyempurnakan penalti pada Euro 1996 ketika tewas kepada Jerman, menunjukkan kekuatan mental yang diserapkan ke dalam generasi semasa ketika mereka membuat persediaan untuk bertemu dengan musuh lama.

SOUTHGATE

Southgate, jurulatih England ketika ini, adalah pemain berusia 25 tahun apabila menjadi salah seorang penendang sepakan penalti yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Jerman, Andreas Kopke ketika penentuan sepakan penalti pada perlawanan separuh akhir Euro 1996 di Stadium Wembley.

Ia adalah penamat mengecewakan yang masih diingati oleh penyokong England selepas kemaraan bergaya ke peringkat separuh akhir.

Southgate bangkit dari kekecewaan itu untuk bermain bersama England untuk lapan tahun, menikmati satu kerjaya panjang dalam Liga Perdana Inggeris bersama Aston Villa dan Middlesbrough sebelum beralih ke bidang pengurusan.

Dengan Jerman akan bertemu England di pusingan 16 akhir Euro 2020 Selasa ini, kekuatan Southgate memberikan beliau satu peluang untuk menebus semula kekecewaan pada 1996.

Dan Henderson percaya contoh yang diterapkan oleh jurulatih ialah seorang pemain seharusnya tidak terlalu memberi tumpuan kepada perlawanan penting itu.

Ia satu contoh baik. Saya boleh bayangkan perasaan beliau ketika itu,” kata Henderson semasa sidang media pada Khamis.

Perkara seperti ini, anda harus menanganinya, meneruskan kehidupan dan cuba untuk menjadi seorang yang lebih kuat. Jika anda bercakap kepada jurulatih, saya pasti beliau akan berkata begitu.

Ramai pemain sudah mengharungi banyak cabaran dalam kehidupan kami. Kadang-kadang ia digunakan sebagai motivasi untuk menjadi lebih bagus.“Ia adalah di mana anda berkembang dan kekuatan mental adalah benar-benar penting. Anda belajar dari pengalaman silam.”

Satu bahagian dari proses Southgate menangani kekecewaan itu sememangnya tidak popular.

Beliau dikritik kerana memperlekeh kesilapannya dalam satu iklan Pizza Hut, bersama-sama Stuart Pearce dan Chris Wadle, yang turut gagal menyempurnakan penalti di peringkat separuh akhir Piala Dunia 1990, juga ketika menentang Jerman.

Ditanya tentang aspek pemulihan Southgate itu, Henderson berkata beliau tidak menyedari tentang kontroversi iklan pizza itu.

Sejak menewaskan Jerman di final Piala Dunia 1966, England sudah tersingkir beberapa kali oleh Jerman dalam kejohanan besar, yang terakhir ialah di pusingan kedua Piala Dunia 2010.

Tetapi Henderson menegaskan sejarah tidak akan terlintas di fikirannya apabila England bertemu dengan Jerman sekali lagi Selasa ini.

Bagi kami sebagai pemain, kami tidak mahu terlalu memikirkan tentang sejarah. Ia adalah tentang ketika ini. Apa kekuatan Jerman dan bahagian yang boleh dieksploitasi. Apa yang boleh kami lakukan untuk menyakitkan mereka,” kata beliau.

Perkara yang boleh kami lakukan dalam perlawanan dan sebagainya. Kami tidak mahu terlalu memikirkan tentang sejarah.

Kami memiliki skuad muda dan ia boleh menjadi sesuatu yang positif. Mereka boleh menikmati permainan mereka dan menunjukkan betapa bagusnya mereka.”

Henderson juga menyedari kekuatan bola sepak Jerman selepas berada di bawah bimbingan jurulatih dari Jerman di kelabnya, Liverpool, iaitu Jurgen Klopp selama enam tahun.

Klopp adalah antara mereka yang paling awal menghantar ucapan tahniah sebaik sahaja England melangkah ke pusingan 16 akhir.

Jawapannya ialah ya, beliau adalah orang yang terawal. Sejujurnya, sebaik sahaja wisel penamat ditiup pengadil, beliau (Klopp) menghantar pesanannya,” kata Henderson. — AFP.1

________________________________________

1https://www.utusanborneo.com.my/2021/06/26/southgate-cekal-siap-siaga-pasukan-henderson

No comments:

Post a Comment