TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
27 Jun 2021, 11:00 am
JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuding jari terhadap skuad kebangsaan yang melakukan latihan berintensiti rendah sehingga menjadi punca ayam tambatannya, Safawi Rasid hilang taring.
Tunku Mahkota Johor memberitahu, perkara sama turut berlaku kepada pemain lain apabila pulang ke pasukan setelah dipanggil menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.
Biarpun dikritik hebat selepas bergelut untuk memberikan persembahan yang terbaik, Tunku Ismail tetap mempertahankan Safawi dan menjelaskan JDT dalam proses membantu memperbaiki prestasi pemain kelahiran Terengganu itu.“Lepas pulang daripada Portugal, dia banyak menjaringkan (gol). Dalam aksi pertama iaitu perlawanan Sumbangsih dia sudah menjaringkan gol. Selepas itu dia alami kecederaan, namun masih temui sentuhan penyudah selepas pulih.
“Belum pulih 100 peratus daripada kecederaan, jurulatih (Tan Cheng Hoe) mengambilnya untuk sertai Harimau Malaya. Kesan daripada latihan intensiti rendah, sampai sekarang prestasinya masih menurun.
“Sekarang kami kena perbaiki dia macam kami kena bantu setiap pemain menyertai pasukan kebangsaan bagi menjalani latihan pusat macam pergi makan angin,” kata Tunku Ismail.
Tunku Ismail berkata demikian menerusi komen di Instagram ekorharimaumalaya yang menyifatkan persembahan Safawi kurang memberangsangkan pada aksi Liga Juara-Juara bertemu Ratchaburi, semalam.
Pada perlawanan itu, Safawi masuk sebagai pemain gantian menggantikan Akhyar Rashid namun kemasukannya dilihat gagal memberi impak.
Ketika menyertai skuad kebangsaan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), penyerang berusia 24 tahun itu menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti membantu pasukan menang 1-0 ke atas Thailand. – UTUSAN.1
_____________________________________________
1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/latihan-skuad-kebangsaan-berintensiti-rendah-tmj/
No comments:
Post a Comment