Ad

Showing posts with label BELASUNGKAWA. Show all posts
Showing posts with label BELASUNGKAWA. Show all posts

Monday, 4 April 2016

S. Jibeng sukar dicari ganti

ARKIB : 08/02/2006
Oleh ABD. AZIZ ITAR (WARTAWAN UTUSAN)
SEMALAM persada seni suara tempatan kehilangan sebutir bintang apabila penyanyi pop yeh yeh, S. Jibeng menghembuskan nafasnya yang terakhir.

S. Jibeng atau nama sebenarnya Jaafar Sidek, 64, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana masalah sesak nafas.

Pemergian Allahyarham ke rahmatullah bukan sahaja dirasai oleh teman-teman rapatnya tetapi juga para peminatnya.

Kehilangan penyanyi yang popular dengan lagu Inai Di Jari ini amat dirasai kerana beliau antara penyanyi era tahun 1960-an yang masih aktif menyanyi dan mempunyai ramai peminat sehingga ke hari ini.

Rakan seperjuangan Allahyarham, Datuk A. Rahman Hassan, berasa sedih dengan pemergian penyanyi buta itu yang dianggapnya sukar untuk dicari ganti.

``Bagi saya, tidak ramai penyanyi buta yang berbakat seperti Allahyarham yang mampu pergi jauh dalam bidang nyanyian.

``Cacat penglihatan tidak menghalang Allahyarham untuk memenuhi undangan menyanyi di merata-rata tempat.

``Saya kenal Allahyarham sejak tahun 1965. Ketika itu kami sama-sama muda dan selalu mengadakan persembahan pentas.

``Konsert terbesar yang pernah kami sertai adalah Konsert Himpunan 60-an yang diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 1985,'' katanya kepada Utusan Malaysia sewaktu dihubungi semalam.

Malam Isnin lalu para peminat berpeluang melihat kemunculan Allahyarham buat kali terakhir di TV1 menerusi program Ogy & Salih.

Program satu jam dari pukul 10 hingga 11 malam yang diacarakan oleh Ogy Ahmad Daud dan Salih Yaccob itu mengundang Allahyarham sebagai tetamu jemputannya.

Menurut Salih Yaccob, 45, dia tidak menyangka kemunculan Allahyarham melalui program televisyen yang diacarakannya itu adalah kali yang terakhir.

``Kami menjemput Allahyarham untuk muncul dalam segmen `Dia Datang' di mana rakaman itu dibuat pada September tahun lalu.

``Dalam segmen itu, saya lihat Allahyarham cukup ceria sewaktu menyampaikan lagu popularnya yang berjudul Selamat Tinggal Pujaan.

``Saya tengok cara dan gaya Allahyarham menyanyi cukup bersemangat seolah-olah hendak melepaskan geram.

``Allahyarham juga banyak bercerita tentang pengalaman pahit manisnya sejak terbabit dalam bidang nyanyian.

``Antaranya Allahyarham menceritakan, bapa komposer Ramli M.S. adalah orang yang banyak memberi perangsang kepadanya untuk menjadi penyanyi,'' ujar Salih.

Sementara itu, Ramli M.S. sewaktu dihubungi pula tidak menafikan bahawa Allahyarham memang amat rapat dengan bapanya, Mohamad Salleh Said, 68.

Pentas

``Sewaktu tahun 1960-an, bapa saya selalu menyanyi bersama Allahyarham di pertunjukan-pertunjukan pentas sekitar Johor Bahru dan Singapura.

``Malah, saya juga mengenali Allahyarham sejak kecil di mana hubungan kami amat rapat macam bapa dan anak. Walaupun sudah lama tidak jumpa tetapi Allahyarham masih mengenali saya.

``Sejak dari kecil, saya suka tarik baju Allahyarham dari belakang. Itu adalah perbuatan yang sering saya lakukan kalau berjumpa dengannya.

``Oktober tahun lalu, saya bertemu Allahyarham untuk rakaman program Melodi Raya TV3 di Kuala Lumpur dan saya sekali lagi tarik bajunya dari belakang.

``Ternyata dia tetap tahu bahawa sayalah yang melakukannya walaupun dia tidak nampak,'' kata Ramli mengimbau kenangannya bersama Allahyarham yang tidak dapat dilupakannya.

Walaupun popular tetapi pendapatan Allahyarham sebagai penyanyi yang tidak menentu menyebabkan beliau sanggup menyanyi di mana-mana juga demi menyara keluarganya.

Allahyarham misalnya, pernah menyanyi bersama beberapa pemuzik jalanan di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya pada Mei 1997 yang mendapat perhatian ramai.

Selain mengadakan persembahan pentas, Allahyarham juga aktif menyanyi di majlis-majlis perkahwinan bersama kumpulannya iaitu Arjuna Dua sekitar tahun 1986 hingga pertengahan 1990-an.

Sepanjang bergelar penyanyi, Allahyarham pernah menghasilkan 25 album termasuk album kompilasi.

Antara lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham pada tahun 1960-an berjudul Jandaku, Musafir Di Aidilfitri dan Selamat Tinggal Pujaan.

Kali terakhir Allahyarham mendapat peluang merakamkan lagu berjudul Takwa Dan Iman yang pernah dipopularkan oleh Ahmad Jais dan berduet bersama kumpulan Raihan pada 2003.

Allahyarham pernah berlakon dalam filem A Go Go 67 dan juga pernah merakamkan album atas inisiatif Allahyarham M. Shariff berjudul Masih Ada Yang Sayang Istimewa Buat S. Jibeng pada 1995.

Sumbangan Allahyarham dalam bidang seni suara mendapat perhatian Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) apabila persatuan itu menghulurkan pencen sebanyak RM500 sebulan sepanjang hayat beliau sejak tahun lalu.

Selain itu, Allahyarham juga pernah menerima sumbangan sebuah unit rumah pangsa bernilai RM65,000 daripada sebuah syarikat pemaju perumahan pada 1997 selepas berpuluh tahun tinggal di rumah setinggan Kampung Dewata, Johor Bahru.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Maznah Jida, 50, lima orang anak iaitu Saadiah, Osman, Rubiah, Normala dan Zaharuddin serta tujuh cucu.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru, Johor selepas solat Zohor semalam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz44ql4b2oO © Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, 15 August 2014

Belasungkawa Maidin Ibrahim (1938 - 2014): Terkenal lawak dialek utara

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Seorang demi seorang anak seni meninggalkan kita dan terbaru, kematian mengejut pelakon dan pelawak Maidin Ibrahim pada usia 76 tahun kelmarin sememangnya mengejutkan peminat.

Artis veteran ini meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menunaikan solat Zuhur di rumahnya di Kampung Pokok Tai, Pendang, Kedah.Maidin atau mesra dengan panggilan Pak Tam atau Mamu yang dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang pada 1938 memulakan karier sebagai anak seni pada 1950 dengan menganggotai kumpulan boria di kampungnya.

Ketika era persembahan pentas popular di seluruh pelosok negara, namanya dikenali menerusi gandingan bersama pelawak Pie dengan gaya lawak dialek utara.
Foto
KARAKTER Maidin di dalam dan luar filem disenangi ramai.


Gandingan Maidin dan Pie adalah antara duo komedi pentas paling mantap pernah dilahirkan sebelum kemunculan gabungan pelawak seperti Imuda dan Allahyarham Ahmad Busu, Jozan, Shiro dan Jambu.


Pembabitan Allahyarham bukan setakat itu kerana turut aktif membintangi banyak drama dan filem.

Dengan kelebihan menguasai dialek utara, Maidin memainkan peranan besar dalam filem berkaitan masyarakat India Muslim atau ‘anak mami’ yang tinggal di Pulau Pinang seperti Anak Mami The Movie, Nana Tanjung dan Mami Jarum Junior.

Filem genre komedi sememangnya amat dekat dengan Maidin dan dia akhirnya menerima penghargaan terbesar apabila menggondol anugerah Aktor Pembantu Terbaik menerusi drama Pinang Durian pada Anugerah Skrin 2001.

Selain berlakon drama dan filem, Maidin juga popular menerusi sitkom Salam Pantai Timur.

Sesuai dengan perwatakannya yang sentiasa ceria, arwah sememangnya disenangi oleh semua pihak kerana sering berlawak.

Justeru, berita kematian Maidin disambut dengan perasaan sedih oleh pelakon Kartina Aziz yang menganggapnya seperti abang sendiri.

“Kali terakhir kami berjumpa ialah ketika terbabit dalam sebuah program sebelum Ramadan lalu.

“Saya lihat dia macam kepenatan dan bertanyakan perkara itu. Arwah menjawab biasalah penat sikit-sikit, tapi dalam masa sama dia senang hati kerana duit yang diperoleh menerusi bidang ini digunakan untuk menyara keluarga dan beli rumah.

“Arwah juga pesan pada saya agar jangan membazir duit dan sentiasa berjimat cermat untuk masa depan. Saya tahu dia ada masalah jantung dan sering berulang-alik dari Kedah ke IJN (Institut Jantung Negara) Kuala Lumpur untuk buat pemeriksaan,” katanya.

Kartina berkata, Maidin suka bergurau, namun tanpa disangka gurauan mereka berdua sebelum ini membawa petanda tersendiri.

“Saya memang menangis apabila diberitahu dia sudah tiada kerana sebelum ini kami suka bergurau mengenai keadaan kulitnya.

“Kami bergambar bersama dan saya kata tak nampak dia kerana gelap. Dia jawab, ‘sat lagi hang tak nampak aku terus’. Tak sangka akhirnya ini tanda-tanda dia nak meninggal dunia.

“Selain itu, arwah juga selalu sebut, ‘orang lain semua sudah pergi. Aku pun mungkin tak lama lagi ikut jejak depa’,” katanya yang pernah bergandingan membuat persembahan pentas bersama Maidin.

Pengarah filem bertema anak Mami, Profesor A Razak Mohaideen turut mengakui terkejut menerima berita kematian Maidin.

Baginya, arwah seorang pelakon versatil dan kehilangannya sukar dicari ganti.

“Arwah mempunyai idea komedi yang tersendiri dan sering cari kelainan dalam karakternya. Paling utama, dia seorang yang berdisiplin dan komited dalam kariernya.

“Saya sebenarnya sudah merancang nak ambil dia berlakon drama Anak Mami Nasi Kandar yang akan jalani penggambaran bulan depan.

“Kebetulan saya dah lama tak hasilkan drama tema Anak Mami, jadi saya bercadang nak hasilkan semula.

“Bagaimanapun, apa boleh buat kerana kami tiada rezeki untuk bekerjasama buat kali terakhir.

“Yang saya tahu, Pie pun sedang sakit sekarang, tapi tak sangka Maidin yang terlebih dulu meninggalkan kita.

“Apapun projek ini akan diteruskan juga. Karakter ini memang dihasilkan untuk arwah, tapi saya kenalah pinda supaya sesuai dengan pelakon lain,” katanya yang mengakui bukan mudah mencari pelakon seperti Maidin.

Razak berkata, biarpun mempunyai karakter komedi, arwah ada sisi serius sekiranya bercakap berkenaan hal perniagaan dan keduniaan.

Namun dia sememangnya berupaya menghiburkan semua di lokasi biarpun penggambaran berlangsung pada tengah malam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Habirah Rahim, 59, empat anak perempuan dan seorang lelaki serta 13 cucu.Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Sri Jerai, Gurun selepas solat Isyak malam kelmarin.
Sumber-

Artikel ini disiarkan My Metro pada : 2014/08/15