Ad

Saturday, 10 July 2021

EURO: Hoddle berjaya kesan kelemahan Itali

Julai 10, 2021 @ 10:06am



Bekas pengendali England, Glenn Hoddle. - Foto ihsan The Independent.

LONDON: Glenn Hoddle berada di Wembley dua minggu lalu ketika dia menyaksikan titik kelemahan Itali. Selepas sejam pertembungan dengan Austria di peringkat 16 terakhir, Itali dibolosi buat pertama kali dalam kempen ini.

Tandukan Marko Arnautovic pada minit ke-65 disahkan pengadil selepas dua minit penilaian video bantuan pengadil (VAR) untuk memastikan sama ada ofsaid atau tidak.

Selepas jaringan itu, Itali mula goyah dan Hoddle - bekas pengendali England - melihat titik kelemahan skuad kendalian Roberto Mancini.

"Saya lihat mereka panik. Mereka belum pernah dibolosi dan mereka menjadi panik. Dalam tempoh 15 minit mereka hampir dikalahkan oleh pasukan yang lebih baik.

"Mereka adalah skuad muda dan emosi mudah menguasai mereka, mereka kehilangan rentak. Itulah titik kelemahan Itali yang belum diketahui.

"Jika bukan kerana Jorginho, yang mengharungi kejohanan dengan cemerlang, mereka mungkin bergelut. Menarik apabila mereka dalam masa tambahan, Austria lebih bagus dan cergas. Tetapi Itali kembali mengawal emosi dan mereka menang," kata Hoddle.

Jaringan Federico Chiesa dan Matteo Pessina dalam masa tambahan - sebelum Sasa Kalajdzic merapatkan jurang untuk Austria - membawa Itali ke suku akhir.

Selepas menyingkirkan Belgium dan kemudian Sepanyol, mereka kini berdepan England untuk menentukan kejuaraan di Wembley.

Hoddle mempunyai banyak kenangan berdepan Itali - yang paling menarik ketika dia menjadi pengendali ialah keputusan seri 0-0 di Rom pada tahun 1997 untuk England layak ke Piala Dunia 1998.- AGENSI.1

_____________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/837747/euro-hoddle-berjaya-kesan-kelemahan-itali

No comments:

Post a Comment