Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
BENJAMIN Mora menerima kritikan penyokon Harimau Selatan. FOTO FB Johor Southern Tigers
Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus mempertahankan pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora biarpun dikritik hebat penyokong setia skuad Harimau Selatan itu.
Kegagalan JDT melepasi peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, Thailand nyata mengundang rasa tidak senang peminat yang mendesak agar Mora dipecat.
Bagaimanapun, desakan itu tidak diendahkan Tunku Ismail yang juga pemilik JDT apabila menyoal mengapa tidak dirinya yang dipecat.
"Siapa lantik Mora? Saya...kenapa tiada orang suruh saya out (keluar dari JDT)? Saja nak tanya," katanya di laman Instagram untuk menjawab beberapa kritikan di media sosial.
Jelasnya lagi, semua pihak perlu berpijak di bumi yang nyata, di mana tahap saingan ACL cukup tinggi dan bukan mudah mana-mana kelab dari Malaysia untuk bersaing di peringkat itu.
Malah katanya, JDT adalah satu-satunya pasukan yang konsisten beraksi di ACL sejak tiga musim lalu dan ia penghormatan buat juara tujuh kali berturut-turut Liga Super itu untuk mengibar bendera negara di pentas Asia.
"Tahun ini sudah ada satu piala betul? Setiap tahun dari 2014 ada satu atau dua piala betul? Ini ACL. Kita pernah menang perlawanan ACL, kita seri, kita kalah.
"Lawan kelab Jepun kita pernah menang, lawan kelab Korea kita pernah menang. Sekarang tahap kita belum cukup tinggi untuk ACL. Tetapi untuk bersaing di ACL adalah satu penghormatan. Kita satu-satunya kelab dari negara ini main ACL.
"Bagus untuk ada cita-cita tetapi cita-cita dengan khayalan berbeza. Pertama sedar diri tahap kita kelab Malaysia, kedua baru bermimpi, ketiga jangan berputus asa dan terus perbaiki diri," katanya.
Pada saingan di Bangkok itu, JDT hanya sekadar menamatkan cabaran di tangga ketiga Kumpulan G dengan mengumpul empat mata daripada enam aksi.
Wakil negara itu hanya mampu mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab Thailand, Ratchaburi FC pada aksi pertama sebelum diikat tanpa jaringan di aksi kedua dengan selebihnya tewas kepada kelab Korea Selatan, Pohang Steelers dan pasukan Jepun, Nagoya Grampus.
Untuk rekod, ini adalah penampilan ketiga Mora di ACL sejak membimbing skuad itu pada 2018 dengan kesemuanya gagal melepasi pusingan awal.
Disiarkan pada: Julai 8, 2021 @ 3:38pm.1
__________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/728021/kandas-di-acl-tmj-pertahan-mora
No comments:
Post a Comment