Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SAFEE mengumpul 76 penampilan bersama pasukan kebangsaan dari 2006 hingga 2017 dan sudah meledak sejumlah 23 gol buat negara. FOTO NSTP
Kuala Lumpur: Jiwa dan semangat bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali masih menebal untuk menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya walaupun usianya kini sudah mencecah 37 tahun.
Menerusi sesi soal jawab di ruang Story Instagram miliknya, bekas pemenang Kasut Emas Piala AFF 2010 itu mengakui masih membuka pintu untuk dipanggil mewakili negara jika khidmatnya diperlukan.
Bagaimanapun, perkara utama buat penyerang Kuala Lumpur City FC itu ketika ini adalah untuk merebut minit permainan bersama kelab terlebih dulu yang kini bersaing di Liga Super.
"Kalau dapat peluang dan minit bermain bersama kelab, InsyaAllah (mewakili negara)," katanya menjawab pertanyaan peminat di laman sosialnya itu.
Untuk rekod, Safee mengumpul 76 penampilan bersama pasukan kebangsaan dari 2006 hingga 2017 dan sudah meledak sejumlah 23 gol buat negara di peringkat antarabangsa.
Memori paling manis sudah pastinya ketika membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF pada 2010 di mana pemain kelahiran Kajang, Selangor itu turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
Susulan kejayaan muncul penjaring terbanyak serantau ketika itu, Safee mendapat perhatian banyak kelab yang berminat untuk mendapatkan sentuhannya dan akhirnya dia memilih kelab Pelita Jaya di Indonesia sekali gus beraksi selama dua musim di negara jiran itu.
Pada musim 2013, bekas pemain Selangor itu berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bermain sehingga 2017 yang menyaksikan dia menjuarai pelbagai trofi termasuklah Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih dan paling gemilang ialah Piala AFC.
Sementara itu, Safee turut mengakui berhasrat untuk menyarung jersi pasukan Perak FC di mana, di negeri itulah dia dibesarkan dan didedahkan dengan dunia bola sepak pada peringkat awal.
"Bermain dengan pasukan (Perak FC) tempat saya banyak membesar," katanya yang sudah bersiap sedia terjun ke dunia kejurulatihan apabila sudah memiliki sijil awalan jurulatih bola sepak.
Disiarkan pada: Julai 18, 2021 @ 1:56pm.1
___________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/732030/safee-masih-bernafsu-wakili-harimau-malaya
No comments:
Post a Comment