Ad

Sunday, 18 July 2021

Lambakan tonggak import pinggir bakat tempatan

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



IFEDAYO Olusegun (kiri) muncul penjaring terbanyak setakat ini dengan 13 gol. FOTO Owee Ah Chun

Kuala Lumpur: Lambakan penyerang import dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini menyebabkan pemain tempatan khususnya di posisi penyerang tidak mendapat tempat atau peluang yang sewajarnya untuk memperagakan sentuhan mereka.

Malah, ketiadaan had buat kuota ayam tambatan luar menyaksikan senario itu bertambah buruk di mana anak tempatan dilihat hilang minit permainan sekali gus memberi kesan kepada skuad kebangsaan.

Situasi itu diakui bekas penyerang negara, Safee Sali yang berkata tiada seorang pun pemain tempatan boleh dilabelkan sebagai penyerang tulen sebenar ketika ini.

Menjawab persoalan peminat di ruang Story Instagram miliknya, bekas pemenang Kasut Emas Piala AFF 2010 itu berkata, masalah utama penyerang tempatan adalah ketiadaan minit permainan.

"Tiada tempat dan minit yang secukupnya di dalam liga kita sendiri," tulisnya selain menambah, 'harus ada 'limit'. Kena ada sistem perancangan untuk memberi ruang kepada bakat tempatan," katanya.

Jawabnya lagi, pemain tempatan dilihat lebih menyerlah di bahagian sayap kerana ketika ini posisi itu jarang didominasi tonggak import.

"Tiada (tiada penyerang tempatan). Sekarang ramai sayap yang kerap menjaringkan gol. Sebab posisi itu jarang ada pemain import," katanya.

Untuk rekod, senarai lima penjaring terbanyak Liga Super didominasi pemain import iaitu Ifedayo Omosuyi dengan 13 gol dari pasukan Selangor FC, diikuti Bergson da Silva (JDT 11 gol), Kpah Sherman (Kedah 9 gol), Casagrande (Penang FC 7 gol) dan Paulo Josue (KL City 7 gol).

Begitupun, kedudukan itu amat jauh dengan penjaring tempatan di mana jaringan paling banyak diraih Amri Yahyah (Sabah FC), Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Hakimi Abdullah (Terengganu FC) dengan masing-masing meledak empat gol setakat ini.

Nasib sama turut dikongsi penyerang naturalisasi dari Brazil, Guilherme De Paula yang hanya mencetak empat gol ketika bersama Perak FC sebelum berpindah ke JDT pada jendela perpindahan kedua pemain Mei lalu.

Jelas Safee lagi, untuk meraih kepercayaan jurulatih bagi memberi peluang kepada penyerang tempatan adalah dengan perlu berusaha menjaringkan sebanyak gol bermula dalam latihan.

"Kena jaringkan gol dengan banyak. Walaupun dalam latihan mahupun dalam perlawanan persahabatan. Biar jurulatih itu percaya pemain tempatan juga boleh," katanya.

Disiarkan pada: Julai 17, 2021 @ 5:34pm.1

_____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/731768/lambakan-tonggak-import-pinggir-bakat-tempatan

No comments:

Post a Comment