Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Luqman (tengah) diturunkan dalam aksi pramusim KVK. FOTO Ihsan FB Luqman Hakim Shamsudin
Kuala Lumpur: Penyerang sensasi negara di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin terus mengumpul minit permainan apabila beraksi selama 25 minit pada aksi pramusim berdepan KSV Oudenaarde dengan kelabnya, KV Kortrijk (KVK) mencatat kemenangan 6-1 di tempat lawan awal pagi tadi.
Kemenangan terbabit adalah yang kelima buat KVK dalam tujuh aksi pramusim di mana Luqman sudah merekodkan sejumlah 117 minit secara keseluruhan dalam empat aksi yang diturunkan.
Jumlah minit melebihi 100 minit permainan itu sememangnya cukup baik buat Luqman atau lebih dikenali dengan panggilan Luqie oleh rakan sepasukan dan peminat bola sepak KVK.
Walaupun tidak berjaya meledak sebarang gol dalam tempoh minit aksi itu, gerakan pantas menerusi larian deras serta kawalan bola menarik sering mencetuskan keadaan kelam kabut di depan kubu lawan sekali gus membuka peluang buat rakan sepasukan meledak gol.Berdasarkan statistik, Luqman sudah bermain dalam lima aksi dengan kesemuanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60 ke atas kecuali ketika aksi menentang kelab terkemuka Belgium, Club Brugge yang menyaksikan dia dimasukkan pada minit ke-84.
Begitupun apa yang menarik, dalam lima aksi yang Luqman bermain itu KVK berjaya mencatat semua kemenangan, manakala dua aksi yang berakhir seri dan tewas pula bermain tanpa sentuhan pemain Harimau Malaya itu.
Pengendali KVK, Luka Elsner tampak mula mempercayai akan kemampuan Luqman dan ia dapat dilihat ketika aksi berdepan Sparta Petegem apabila Elsner tetap memasukkan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu meskipun dia dilaporkan mengalami sedikit kecederaan ringan sebelum perlawanan.
Dengan perkembangan positif Luqman ketika ini, tidak mustahil aksinya akan bertambah matang dan mampu muncul antara penyerang harapan KVK selain skuad Harimau Malaya dalam aksi antarabangsa selepas ini.
KVK dijadual mengakhiri aksi pramusim dengan menentang juara Ligue 1 Perancis musim lalu, LOSC Lille awal pagi ini sebelum membuka tirai Liga Belgium musim ini bertemu RFC Seraing di Stadium Guldensporen, pada 25 Julai.
Disiarkan pada: Julai 17, 2021 @ 12:49pm.1
___________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/731638/kelincahan-luqman-curi-perhatian
No comments:
Post a Comment