Ad

Sunday, 18 July 2021

Bukti Liga Super laku keras

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



AKSI antara JDT dan Kuala Lumpur FC sebelum ini. FOTO Azhar Ramli

Kuala Lumpur: Penyokong Liga Malaysia melahirkan rasa bangga dengan jumlah tontonan siaran langsung saingan Liga Super 2021 yang berjaya mencatat lebih 21 juta sekali gus mengakui semakin teruja untuk menanti sepak mula pada 24 Julai ini.

Ia memberi isyarat jelas bahawa ramai penyokong masih memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk terus menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi di platform yang disediakan iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM ketika mereka tidak dibenarkan hadir ke stadium.

Menurut penyokong setia Kuala Lumpur City FC, Khairul Nizam Arifin, angka 21 juta penonton itu pastinya bukan hanya hadir dalam kalangan penyokong Malaysia saja, malah turut sama menarik minat penyokong dari luar seperti Indonesia khususnya.

"Saya berpuas hati dengan jumlah yang diumumkan oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia) kerana ini menunjukkan ramai rakyat Malaysia yang sebenarnya mengikuti dan menyokong bola sepak tempatan.

"Jadi, dengan angka yang kita ada ini membuktikan Liga Malaysia ini mempunyai nilai tinggi dan tidak pernah hilang kerancakannya," katanya.

Bagi penyokong Penang FC, Mohd Azhar Nordin pula, dia percaya dengan jumlah tontonan yang ada ini turut sama beri semangat positif kepada pasukan bagi membuktikan sokongan penyokong sentiasa ada di belakang mereka walaupun tidak berada di stadium.

"Boleh dikatakan semua penyokong tidak sabar lagi untuk menantikan Liga Malaysia bersambung kerana sudah lama berehat dan sekarang pun kita masih dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi tidak la rasa bosan sangat bila dapat tengok bola," katanya.

Sementara itu, Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid pula tetap berharap khabar gembira akan diterima agar penyokong yang sudah divaksin dibenarkan untuk hadir ke stadium semula bagi menyaksikan perlawanan.

"Kalau kita tengok, kejohanan di negara luar sudah menerima penonton hadir ke stadium dan bagaimana mereka memastikan kelancaran saingan itu berlangsung," katanya.

Sebelum ini, MFL mengumumkan sejumlah 21,814,979 penonton menyaksikan perlawanan siaran langsung bermula aksi pertama Liga Super pada 5 Mac sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei lalu.

Disiarkan pada: Julai 18, 2021 @ 5:29pm.1

___________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/732118/bukti-liga-super-laku-keras

No comments:

Post a Comment