Ad

Wednesday, 14 July 2021

Pertahanan skuad B-20 makin ampuh

 Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Jurulatih skuad B-20 kebangsaan, Brad Maloney. FOTO File NSTP

Kuala Lumpur: Pertahanan skuad bawah 20 (B-20) tahun negara yang akan menyertai Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia pada hujung Oktober ini dijangka bertambah ampuh pada saingan itu nanti.

Ia selepas seorang tonggak pertahanan muda negara yang beraksi bersama kelab SGV Freiburg di Jerman, V Annil akan dipanggil pada kem latihan pusat skuad negara pada September dan Oktober ini.

Mendedahkan perkara itu kepada Arena Metro, pengendali pasukan, Brad Maloney berkata, Annil yang beraksi di saingan divisyen kelima Jerman antara pemain baharu yang akan diuji pada latihan itu nanti.

Katanya, pada latihan Julai tahun lalu, Annil sepatutnya menyertai pasukan namun disebabkan beberapa masalah seperti kuarantin dan pelepasan kelabnya, ia terpaksa ditangguhkan.

"Kali ini kita akan panggil dia dan beri peluang buat Annil untuk menunjukkan potensinya.

"Walaupun dia beraksi di Jerman, itu bukan laluan khas untuknya sertai pasukan kerana dia perlu tunjukkan kemampuannya. Namun pengalaman bermain di sana adalah kelebihan buatnya apabila bersaing nanti," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menghantar skuad B-20 tahun bagi menghadapi pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 itu.

Keputusan menghantar skuad B-20 itu adalah sebahagian pelan jangka panjang FAM untuk menyediakan pasukan ini menghadapi kejohanan lebih besar seperti Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 serta Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 pada 2023 dan dua temasya Sukan Sea iaitu di Vietnam 2022 dan Kemboja 2023.

Selain pasukan Mongolia selaku tuan rumah, Malaysia turut bakal berdepan dua lagi pesaing lain dalam Kumpulan J iaitu Laos dan Thailand dengan masing-masing memburu kedudukan juara kumpulan untuk layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada Jun tahun depan di Uzbekistan.

Jelas Maloney lagi, selain Annil dan Luqman Hakim Shamsudin, terdapat beberapa lagi pemain berpangkalan di Eropah akan dipanggil seperti Omar Raiyan Kama Azlan dan Adam Hamid.

"Omar dan Adam pula memang kami sedang monitor dan kami juga berhubung dengan salah seorang ejen mereka. Saya pernah lihat Omar sebelum ini manakala Adam pernah berlatih bersama kami dalam satu 'call up' sebelum ini," katanya.Disiarkan pada: Julai 13, 2021 @ 10:10pm.1

___________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730277/pertahanan-skuad-b-20-makin-ampuh

No comments:

Post a Comment