Julai 11, 2021 @ 11:35am
Final Euro 2020 di Wembley akan menyaksikan pertembungan antara dua gergasi bola sepak Eropah, England dan Itali. - Foto ihsan Sky Sports.
LONDON: Gareth Southgate menegaskan England sudah bersedia untuk melakar sejarah pada final Euro 2020, awal pagi esok waktu Malaysia, dengan mereka mengejar trofi utama pertama dalam tempoh 55 tahun.
Bagaimanapun, Itali berada dalam suasana terbaik untuk merosakkan pesta di Stadium Wembley itu.
Skuad Southgate meletakkan negara itu dalam kegilaan selepas mara ke final kejohanan Eropah pertama, dengan hanya satu kemenangan lagi memisahkan mereka dari gelaran pertama sejak menjuarai Piala Dunia 1966.
Bersama 60,000 peminat bertuah di Wembley, jutaan orang di seluruh England akan menyaksikan final di televisyen dengan beberapa sekolah dan perniagaan, esok akan dibuka lewat bagi membolehkan penyokong menikmati perlawanan itu.
Johnson menghiasi bahagian luar kediaman rasminya di Downing Street dengan berpuluh-puluh bendera St George.
Selepas England diberi semangat, dengan peminat berbaris di jalanan dari St George's Park ke hotel pasukan pada Sabtu, Southgate mendesak England untuk menjadikan segala tindakan yang penuh emosi itu sebagai formula meraih kemenangan di final.
"Sangat menakjubkan apabila mendapat surat dari Ratu dan surat dari Perdana Menteri kepada semua pasukan. Ia membuktikan bahawa pemain dan semua kakitangan sudah melakukan tugas ini dengan cara yang betul," kata Southgate.
"Kami mendapat sambutan yang luar biasa ketika kami meninggalkan St George's Park. Semua penduduk setempat keluar untuk berbaris di jalan dan orang ramai memberikan sokongan hingga anda terfikir mengenai apa yang sedang berlaku di luar gelembung yang kami lalui.
"Pemain perlu merasai kehangatan dan sokongan itu. Ia pasti membantu memberi inspirasi kepada kami. Kami berada di final dan kami di sini untuk menang. Sekarang kami mahu pergi dan membawa pulang piala untuk semua orang."
Southgate melakukan revolusi bola sepak Inggeris sejak memikul tugas pada tahun 2016 dan pasukannya mempamerkan prestasi mengagumkan di peringkat kalah mati Euro ketika berdepan Jerman, Ukraine dan Denmark.
England berdepan keecewaan apabila kalah di tangan Croatia pada separuh akhir Piala Dunia 2018 dan hanya kemenangan di final menentang Itali pasti cukup untuk memuaskan mereka ketika ini.
"Ia adalah cabaran sekarang. Kami mengatasi rintangan dalam perjalanan tetapi kami harus pergi ke sana dan memenanginya," kata kapten England, Harry Kane.
Tidak semua orang gembira dengan demam patriotik yang sedang melanda England ketika ini.
England bermain enam daripada tujuh perlawanan Euro mereka di Wembley. Malah ada beberapa negara pesaing mendakwa Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengatur baki kejohanan yang memihak kepada skuad Three Lions.1
__________________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/838068/euro-england-sudah-sedia-lakar-sejarah
No comments:
Post a Comment