Ad

Thursday, 8 July 2021

JDT gagal tutup kempen ACL dengan kemenangan



PENYERANG Sensasi JDT, Bergson da Silva tenggelam di saingan Liga Juara-Juara di Bangkok. - IHSAN JOHOR Southern Tigers

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

8 Julai 2021, 12:32 am

PETALING JAYA : Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal menamatkan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan kemenangan selepas terikat 0-0 dengan Ratchaburi FC pada aksi terakhir Kumpulan G, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan yang sudah tersingkir dari saingan ACL turun dengan motivasi tinggi untuk menumpaskan Ratchaburi FC buat kali kedua.

Pada saingan yang berlangsung di Stadium Rajamangala itu, skuad bimbingan Benjamin Mora terlebih dahulu memiliki peluang keemasan pada awal permainan tetapi gagal disempurnakan oleh pemain tengah, Safiq Rahim.

Pemain import, Leandro Velazquez turut dihidangkan peluang tetapi tandukan yang dilakukan pada minit ke-20 tepat menuju ke dakapan penjaga gol pasukan lawan, Kampol Pathomakkakul.

Jentera serangan Ratchaburi yang diketuai oleh Steeven Langil turut melakukan beberapa percubaan bahaya ke gawang JDT tetapi gagal mengatasi penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Bersambung pada babak kedua, Farizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila gerakan cantik yang dilakukan oleh Langil sebelum melakukan rembatan pada minit ke-49 berjaya dinafikan Farizal.

Tersentak dengan itu, Mora memperkemaskan jentera serangan apabila memasukkan Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid untuk menggantikan Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah.

Keputusan itu membolehkan JDT kembali menguasai perlawanan sebelum berjaya memecah kebuntuan hasil ledakan penyerang utama, Bergson da Silva pada minit ke-70.

Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil kerana Da Silva menahan bola menggunakan tangan sebelum melakukan rembatan dan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan JDT kekal menduduki tangga ketiga Kumpulan G selepas mengutip empat mata daripada enam perlawanan manakala Ratchaburi kekal dikedudukan tercorot dengan hanya satu mata.

Sementara itu, kelab Jepun, Nagoya Grampus mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi terakhir bertemu wakil Korea Selatan, Pohang Steelers sekali gus menamatkan saingan dengan kedudukan teratas Kumpulan G.1

________________________________________

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/jdt-gagal-tutup-kempen-acl-dengan-kemenangan/

No comments:

Post a Comment