Ad

Wednesday 14 July 2021

SUKAN



SOUTHGATE mengakui beliau yang menentukan pemain yang mengambil sepakan penalti dan bersedia untuk memikul tanggungjawab penuh ekoran kegagalan England. – AFP

England masih mampu berbangga

Oleh KOSMO!

13 Julai 2021, 12:00 pm

LONDON – Ketua jurulatih England, Gareth Southgate sedia memikul tanggungjawab penuh selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-3 pada penentuan penalti kepada Itali selepas perlawanan terikat 1-1 pada aksi final saingan Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, percaturan Southgate memasukkan Marcus Rashford dan Jadon Sancho sebelum tamat masa tambahan tidak memberi erti apabila kedua-dua pemain itu gagal menyempurnakan tugas penalti yang diberikan.

Malah, keputusan Southgate untuk menyenaraikan pemain muda berusia 20 tahun, Bukayo Saka untuk menjadi pengambil sepakan penalti terakhir juga dikritik hebat selepas sepakan pemain itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Itali, Gianluigi Donnaruma.

Kata Southgate, percaturan mengenai siapa yang mengambil sepakan penalti sudah ditentukan lebih awal berdasarkan prestasi dan tahap keyakinan pemain pada sesi latihan sebelum ini dan semua keputusan itu terletak di tangan beliau.

Saya mengambil risiko dan tanggungjawab penuh atas kegagalan pasukan menjuarai Euro 2020 kali ini selepas tewas menerusi penentuan sepakan pe­nalti. Keputusan untuk memilih pemain adalah berdasarkan keputusan saya.

Saya telah membuat keputusan untuk memasukkan Sancho dan Rashford selepas melihat rekod mereka ketika bersama kelab masing-masing sebelum ini termasuk sepanjang kem latihan pusat kami sejak Piala Dunia 2018 lagi.

Mengenai Saka pula, dia telah memberikan yang terbaik dan mendapat sokongan penuh daripada rakan sepasukan. Saya percaya kekecewaan ini tidak akan merentap semangatnya kerana dia adalah bintang pasukan England pada masa depan,” katanya.

Mengulas mengenai aksi final, Southgate yang telah membim­bing England sejak 2016 percaya pasukannya boleh mendabik dada meskipun gagal menamatkan kemarau 55 tahun untuk menjulang trofi utama selepas Piala Dunia 1966.

Sudah tentu kami kecewa apabila tewas di pentas akhir, namun pujian harus diberikan kepada barisan pemain yang memberikan tentangan cukup sengit sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan dan mereka perlu berbangga dengan apa yang dipamerkan sepanjang kejohanan ini,” katanya. – AGENSI.1

________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/07/13/england-masih-mampu-berbangga/

No comments:

Post a Comment