Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Darren Lok masih mengalami kecederaan dan terpaksa disisihkan untuk aksi Liga Super akan datang.
Kuala Lumpur: Lebih sebulan terpaksa 'meninggalkan' isteri dan anak selain sudah lama tidak menjenguk ibu serta ayah di kampung menjadi antara cabaran yang dihadapi barisan pemain PJ City berikutan terpaksa berkorban menjalani latihan secara gelembung sukan demi mengekang penularan Covid-19.
Walaupun perkara dilihat agak remeh namun sebenarnya situasi itu menjejaskan moral dan semangat pemain dalam persiapan menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia hujung bulan ini.
Pengurus pasukan PJ City K Rajendran berkata, situasi berkenaan sememangnya melanda kem PJ City FC namun barisan pemain masih lagi kental dan cekal menjalani latihan seperti biasa.
Beliau berkata, ketika ini semua pemain termasuk pegawai pasukan tidak dibenarkan keluar daripada hotel atau berjumpa dengan individu lain bagi mengekang penularan pandemik.
"Antara perkara yang sering diperkatakan oleh pemain adalah mereka rindu kepada keluarga terutama isteri dan anak kerana perlu menjalani latihan secara gelembung sukan sejak sebulan lalu.
"Mereka cukup profesional kerana tetap menjalani latihan seperti biasa tanpa sebarang masalah cuma perkara terbabit dibangkitkan ketika ini.
"Setakat ini, tiada pemain yang melanggar arahan terbabit dan mereka hanya duduk di hotel dan ke padang latihan saja sebagai persiapan menjelang perlawanan Liga Malaysia," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Selain itu, Rajen turut mengesahkan penyerang pasukan Darren Lok masih lagi tidak dapat beraksi apabila tirai Liga Super kembali bersambung.
"Darren masih lagi dalam tempoh rawatan dan hanya menjalani latihan ringan sekali gus terlepas beberapa perlawanan Liga Super nanti.
"Situasi berkenaan tidak memberi tekanan atau masalah kepada kami kerana ada beberapa pemain lain seperti Mahali Jasuli dan R Kogileswaran yang dilihat boleh menggantikan tempat Darren," katanya.
Disiarkan pada: Julai 16, 2021 @ 3:07pm.1
________________________________________
No comments:
Post a Comment