Ad

Sunday 18 July 2021

Skuad muda Selangor ikat Sarawak United



PEMAIN Selangor FC II, Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan (kanan) cuba diasak pemain Sarawak United dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Manjung petang tadi. - UTUSAN/IHSAN TWITTER SELANGOR FC

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

17 Julai 2021, 7:45 pm

LUMUT: Selepas lebih dua bulan berehat, saingan Liga Perdana yang bersambung hari ini menyaksikan skuad muda Selangor II mengejutkan pendahulu, Sarawak United dengan mengikat perlawanan 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi.

Seperti melepas ‘gian’ lama tidak beraksi, pemain Selangor melancarkan serangan bertali arus dan menguasai awal babak pertama, namun pengalaman Sarawak mengecewakan anak-anak buah Michael Feichtenbeiner.

Peluang terbaik Selangor II hadir pada minit ke-43 menerusi T. Saravanan, namun rembatan kaki kanannya sedikit tersasar di tepi tiang gol.

Ketika Selangor II ghairah melancarkan serangan, Sarawak membalas menerusi hantaran jauh Lee Chang Hoon dari tengah padang yang tiba tepat di kaki Uche Agba.

Agba melakukan larian solo sebelum memperdayakan penjaga gol Selangor II, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan mudah menolak bola ke dalam gawang.

Gol itu menaikkan semangat pasukan pelawat yang hampir menambah gol kedua tetapi percubaan D. Jayaseelan menerjah ke luar tiang kanan gol.

Kelebihan Sarawak United bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Selangor II selaku tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti George Attram empat minit selepas babak kedua bersambung.

Nik Umar Nik Azizi hampir berpeluang menambah gol Selangor FC II pada minit ke-82 namun rembatannya ditampan penjaga gol Sarawak United, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Tiga minit kemudian Chang Hoon pula berpeluang menambah jaringan Sarawak, namun sepakan lambungnya dari sudut kiri hanya mencecah atas jaring gawang gol. Kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan sehingga wisel penamat.

Sarawak kekal di tangga teratas liga dengan 24 mata, dua mata mengatasi Negeri Sembilan, manakala Selangor naik ke kedudukan kelima menerusi 16 mata. – UTUSAN.1

______________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/skuad-muda-selangor-ikat-sarawak-united/

No comments:

Post a Comment