Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
CHENG Hoe mahu Harimau Malaya terbabit dengan beberapa aksi persahabatan selepas ini.
Kuala Lumpur: Enjin skuad Harimau Malaya sudah berada pada gear empat dan kini ia perlu ditingkatkan kepada gear lima dengan beberapa aksi persahabatan pada jendela perlawanan antarabangsa pada September, Oktober dan November ini.
Menurut pengendali negara, Tan Cheng Hoe, selepas kembali mengadakan latihan dan mengharungi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan lalu, momentum itu perlu diteruskan bagi memastikan tahap keserasian pemain tidak terganggu.
Katanya, keputusan yang diraih skuad negara di UAE dengan menamatkan saingan Kumpulan G di tangga ketiga harus dilihat dari pelbagai sudut termasuk ketiadaan latihan pusat selama hampir dua tahun berikutan pandemik Covid-19.
Untuk rekod, skuad negara tidak berlatih bersama sejak November 2019 sebelum kembali dikumpulkan pada awal tahun ini bagi mengharungi kelayakan yang berlangsung bulan lalu. "Saya bukan nak bagi alasan tetapi kita boleh lihat perbezaan kita masa 2019 dan selepas dua tahun tidak berlatih dan kembali bermain di kelayakan.
"Secara keseluruhan kita baik (di UAE) tapi selepas lama tak beraksi di peringkat antarabangsa mungkin beberapa keserasian itu sedikit hilang. Sebab itu, kita perlu teruskan latihan dan perlawanan (aksi persahabatan) untuk memastikan momentum pasukan.
"Saya harap kita boleh buat perlawanan tapi kalau tak ada kita akan buat kem latihan saja memandangkan kita masih lagi dalam situasi Covid-19," katanya kepada Arena Metro.
Menurutnya, pihaknya bersama sekretariat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berusaha memikirkan jalan terbaik bagi mempersiapkan pasukan menjelang saingan Piala AFF hujung tahun ini dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 Februari tahun depan.
"Kita sentiasa mengikuti saranan dari pihak kerajaan dan bukan mudah untuk kita pergi ke luar negara untuk mengadakan perlawanan. Kalau nak adakan dalam negara pun susah sebab pintu sempadan kita tak dibuka untuk orang luar masuk.
"Apapun kita kena fokus dan perlu buat latihan pada jendela Fifa untuk pastikan pemain bersedia apabila bertanding nanti," katanya.
Berdasarkan kalendar Fifa untuk aksi antarabangsa, terdapat tiga jendela iaitu dari 30 Ogos hingga 7 September, 4-12 Oktober dan yang terakhir untuk tahun ini pada 8-16 November depan.Disiarkan pada: Julai 14, 2021 @ 9:52pm.1
____________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730673/harimau-malaya-perlu-gear-lima
No comments:
Post a Comment