Julai 12, 2021 @ 7:20am
Kapten England, Harry Kane tunduk kecewa selepas menerima medal naib juara susulan kekalahan pasukannya kepada Itali pada aksi final Euro 2020 di Wembley. - Foto AFP.
LONDON: Kapten England, Harry Kane mengakui kekalahan penentuan penalti di tangan Itali pada final Euro 2020 adalah perasaan paling teruk dalam dunia.
Hanya Kane dan Harry Maguire menyempurnakan sepakan untuk England dalam kekalahan 3-2 penentuan penalti itu selepas terikat 1-1 di Wembley.
Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan mereka, sekali gus membuatkan England kempunan lagi untuk menjulang trofi utama sejak Piala Dunia 1966.
"Penalti adalah perasaan paling teruk dalam dunia apabila anda tewas. Sesiapa saja boleh gagal. Penalti adalah penalti.
"Kami sedang melalui proses. Pemain-pemain sudah memberikan apa yang mereka mampu, cuma ia bukan malam kami," kata Kane.
Luke Shaw meletakkan England di depan seawal minit kedua untuk rekod gol terpantas di final Euro.
Namun England menjadi pasukan kedua terbaik sepanjang permainan sehingga Leonardo Bonucci menyamakan kedudukan di babak kedua.
Penyerang Tottenham, Kane mengakui England tersilap langkah apabila terlalu berhati-hati selepas mendahului permainan.
"Kami berdepan pasukan yang amat bagus. Kami bermula sempurna, mungkin merosot sedikit pada satu ketika. Mereka mengawal bola sepanjang masa.
"Kami sebenarnya dapat mengawal keadaan apabila mereka tidak banyak mencipta peluang. Mereka mendapat gol hasil situasi bola mati dan selepas itu 50-50.
"Kami menang bersama, kalah bersama. Kami akan belajar dan memperbaikinya. Pemain-pemain akan bangkit di Piala Dunia tahun depan.
"Anda perlu berbangga. Kami mengharungi kejohanan yang hebat," katanya.- AFP.1
___________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/838390/euro-perasaan-paling-teruk-dalam-dunia-kalah-penalti
No comments:
Post a Comment