Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Pemain pertahanan Kelantan FC, Zubir Azmi
Kuala Lumpur: Pertahanan kiri Kelantan FC, Zubir Azmi mengakui hampir pasti ingin bersara bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga sebelum akhirnya mendapat tawaran daripada Kelantan FC untuk beraksi pada baki saingan Liga Perdana, musim ini.
Selepas berjauhan dengan keluarga ketika beraksi bersama Sabah pada musim lalu, pemain berusia 30 tahun ini pada awalnya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai ejen Takaful dan enggan lagi terbabit dalam kancah bola sepak.
Namun, selepas ditawarkan untuk bersama Kelantan FC, Zubir mengakui perasaan rindu untuk beraksi hadir semula sekali gus menutup kembali niat untuk bersara sepenuhnya pada tahun ini.
Apa yang penting, dia semakin bersemangat untuk membuktikan kudratnya masih berbisa bagi membantu pasukan itu mencapai prestasi terbaik pada musim ini.
"Pada mulanya memang saya rasa nak berhenti terus daripada bermain bola sepak sebab saya sudah kembali bersama keluarga, jadi rasa berat hati nak tinggalkan mereka.
"Selepas itu, saya mula membantu isteri dengan menjadi ejen Takaful dan tidak terlalu fikirkan untuk kembali ke padang.
"Tetapi semangat saya ada semula selepas mendapat tawaran bersama Kelantan, dan daripada situ saya rasa masih mampu untuk buktikan kemampuan saya di atas padang.
"Jadi, saya rasa selepas ini saya memang akan terus bermain selagi masih diperlukan dan tekad ingin beraksi cemerlang di Kelantan." katanya.
Zubir sebelum ini pernah mencuri tumpuan dan antara watak penting dalam skuad negara selain pernah menjadi sebahagian daripada pemain skuad kebangsaan dalam aksi Piala AFF 2012 dan 2014.
Menjelang aksi pertama berdepan Perak FC II yang juga perlawanan tertunda pada Sabtu ini, dia percaya pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk meraih kemenangan.
Apa yang mengagumkan pemain kelahiran Terengganu ini ketika berlatih bersama pasukan, adalah kelibat pemain-pemain muda yang berpotensi besar untuk kembali meletakkan The Red Warriors di tahap terbaik.
Aksi tertunda membabitkan Perak FC II dan Kelantan FC akan berlangsung Sabtu ini di Stadium Perak, Ipoh.
Kelantan FC kini di tangga ketujuh Liga Perdana selepas mengumpul 14 mata.
Disiarkan pada: Julai 13, 2021 @ 6:10pm.1
______________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730170/zubir-hampir-bersara-sebelum-dilamar-kelantan
No comments:
Post a Comment