Ad

Sunday 29 November 2015

2015 musim terbaik JDT

30 November 2015 12:17 AM
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) menenangkan pemain JDT, Luciano Figueroa selepas pasukan itu tewas kepada Felda United dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Larkin, kelmarin. Utusan/NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU – Biarpun gagal memburu kejuaraan treble selepas tersingkir dalam suku akhir Piala Malaysia, namun jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez menyifatkan 2015 tetap musim terbaik buat Harimau Selatan itu.
Kejayaan muncul kelab Malaysia pertama merangkul Piala AFC mengetuai musim gemilang JDT, selain berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super dan memulakan musim baharu dengan dinobat sebagai juara Piala Sumbangsih.
Menurut Gomez, tuah nyata tidak menyebelahi Harimau Selatan ketika ditunjukkan jalan keluar oleh Felda United pada suku akhir kedua kelmarin, apabila melakukan kesilapan yang menghukum diri dan gagal menyempurnakan ba­nyak peluang untuk mencipta jaringan.
Dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Felda Uni­ted melakar kemenangan sensasi 2-1 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Fernandes Augusto di awal permainan selepas bola terkena tangan Harris Harun dalam kotak penalti.
Biarpun Safiq Rahim berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-51, namun jaringan cantik Zah Rahan Krangar pada minit ke-76 memastikan kemaraan The Fighters ke separuh akhir menerusi agregat 3-2, sekali gus meleburkan rekod kebal 40 perlawanan tanpa kalah JDT di Larkin sejak 2013.
“Pemain kami turut menghasilkan beberapa peluang baik, malangnya gol tandukan Hariss dibatalkan pengadil, malah dia tidak menghadiahkan penalti selepas Mahalli (Jasuli) dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.
“Saya tidak mahu meletakkan kekalahan ini atas beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan kerana Felda juga bermain dengan amat baik.
“Kami juga bermain dengan baik, namun tuah tidak memihak kepada JDT. Bagaimanapun, saya berpuas hati dan gembira dengan pencapaian pemain dan ini adalah musim terbaik bagi kami,” kata Gomez.
Pengendali berusia 58 tahun itu menyifatkan musim 2015 sebagai musim terbaik Harimau Selatan selepas mengekalkan kejuaraan Liga Super dua musim berturut-turut dan lebih membanggakan apabila menjulang Piala AFC.
Gomez berikrar untuk memperkuatkan JDT pada musim hadapan dengan membawa masuk pemain import baharu bagi mengharungi musim 2016.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/2015-musim-terbaik-jdt-1.163727#sthash.O1RRVubT.dpuf

Perkembangan Dollah Salleh sebagai jurulatih di Kosmo 2008-2015



Dollah Salleh
JURULATIH Selangor, Dollah Salleh (gambar) berharap permulaan tahun baru 2008 hari ini bakal membawa kejayaan tersendiri buat dirinya dan juga pemainnya.

Biarpun kecewa dengan prestasi anak buahnya ketika dibelasah 2-6 oleh Kedah kelmarin, Dollah bagaimanapun masih menyimpan hasrat agar kekalahan itu dapat ditebus pemainnya pada pertemuan dengan Perlis di Stadium Shah Alam malam ini.

Malah, bagi bekas pemain kebangsaan itu, andai kemenangan dapat dicipta malam ini, sudah pasti tahun 2008 ini bakal menyuntik semangat baru kepada anak buahnya dalam mengharungi cabaran Liga Super musim ini.

“Memang kekalahan kepada Kedah amat mengecewakan. Begitupun, kami perlu lupakannya dan tumpukan perhatian kepada pertemuan dengan Perlis esok (hari ini),” kata Dollah.

“Moral pemain juga saya lihat semakin baik setelah menerima suntikan motivasi daripada pengurus Datuk Satem Diman petang tadi (semalam) dan saya rasa mereka juga tidak sabar mahu membuktikan keupayaan sebenar.

“Jika menang malam esok, saya pasti ia bakal menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk meneruskan cabaran pada tahun 2008 nanti,” kata Dollah semalam.

Begitupun, Dollah masih berteka teki mengenai barisan pemain yang akan diturunkannya pada pertemuan dengan Perlis malam ini.

“Memang terdapat beberapa kelemahan dalam pasukan ketika tewas kepada Kedah dan kali ini saya mungkin akan membuat beberapa perubahan kecil dalam barisan pemain,” kata Dollah.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan di atas kekalahan kepada Kedah tempoh hari kerana bagi saya ia adalah nasib dan perjalanan kita masih lagi panjang.

“Bagi saya, Perlis pula sama hebatnya dengan Kedah dan walaupun mereka tewas pada perlawanan lepas, ia tidak bermakna kita boleh memandang mudah pada pertemuan ini nanti.

“Begitupun saya tetap berharap agar kemenangan dapat dilakar malam esok supaya ia terus menaikkan semangat pemain dalam pasukan ini,” ujarnya lagi.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3swpJdYCI 

Patriotisme 50 tahun

Patriotisme 50 tahun
 
DEMI rasa cinta kepada negara, rakyat negara ini melahirkan kecintaan tersebut dalam pelbagai cara sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50. Tujuh rakyat negara ini menyahut cabaran mendaki Gunung Everest pada bulan Mei lalu dalam satu ekspedisi Merdeka de’ Everest 2007. Bagaimanapun, hanya enam daripada mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang di bumbung dunia itu pada ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut.

Datuk Khalid Yunus, 64, selaku Presiden Persatuan Kembara Negara, merupakan pendaki tertua dalam ekspedisi tersebut bagaimanapun gagal menyempurnakan misi itu.

Setelah berenang selama kira-kira 14 jam, perenang dua beradik, Zahra Masoumah Abdul Halim, 15, dan adiknya Salman Ali Shariati, 10, berjaya menamatkan renangan merentasi Selat Melaka dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dengan catatan tiga rekod. Zahra Masoumah mencatat rekod sebagai perenang perempuan yag pertama berjaya merentasi selat sejauh 46 kilometer itu manakala Salman Ali Shariati mencatat rekod sebagai perenang paling muda.

Sebanyak 2,007 pokok bunga raya ditanam dalam masa 50 saat, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai satu rekod terpantas.

Pokok bunga itu, ditanam oleh 2,100 warga kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di kampus mereka di Bangi sempena menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

Kejohanan Futsal Mahasiswa Merdeka 50 Jam Tanpa Henti 2007 berakhir dengan penuh bermakna apabila cabaran itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai kejohanan futsal paling lama secara berterusan.

Cuma dua kotak biskut seorang, itulah habuan setelah berpenat-penat selama empat hari tanpa henti untuk satu tujuan iaitu mencatat rekod memancing paling lama dalam Malaysia Book of Records (MBR). Ia juga hakikat yang terpaksa diterima oleh 12 pemancing kumpulan Durafishers yang mencatat rekod memancing 99 jam tanpa henti di Kolam Pancing Bai-World, Tasik Puteri, Rawang. Pertandingan yang dianjurkan sempena sambutan 50 tahun merdeka menampilkan semangat patriotik para peserta.

Ahli Putera UMNO, Mohd. Norazmin Abdul Aziz, 23, berjaya melakukan renangan dari Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia ke Teluk Kemang sejauh 65 kilometer dalam masa 24 jam 33 minit. Catatan itu sekali gus memecah rekod dunia yang dicatatkan oleh seorang perenang Jepun pada tahun 1972 yang mencatat masa 25 jam.

Jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin, 40, berjaya menamatkan pendakian terakhirnya bagi melengkapkan Misi Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu yang dicapainya selepas ekspedisi selama 64 hari. Beliau yang kini popular dengan gelaran ‘Mr. Solo’ melangkah ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu untuk mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pendaki pertama yang berjaya mendaki puncak gunung itu sebanyak 50 kali.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Detik_07&pg=d07_03.htm#ixzz3swWKEGFY Hakcipta terpelihara

Kedah 
bantah gol ‘pelik’

Keadaan perlu diperbetulkan sebelum separuh akhir Piala Malaysia
MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI  |  30 November 2015 12:18 AM

KUALA LUMPUR - Biarpun sudah mengesah­kan tiket separuh akhir Pia­la Malaysia 2015, namun insiden pelik yang berlaku dalam aksi suku akhir kedua menentang PKNS di Selayang kelmarin tidak menyenangkan Kedah menjelang pertembungan dengan Felda United, Rabu ini.
Dalam perlawanan tersebut, Lang Merah menang 3-1 dan layak secara agregat 4-2, namun jari­ngan pemain lawan, Mohd. Faiz Isa mengundang tanda tanya ke­rana permainan diteruskan dalam saat Kedah meraikan gol kedua mereka yang dijaringkan Sandro Da Silva.
Pengadil perlawanan, Samsudin Ibrahim mengesahkan jari-ngan itu meskipun dibantah oleh pemain dan pegawai pasukan Lang Merah.
Pengurus Kedah, Datuk Jeffrey Low Hang Chow berkata, pihak­nya akan menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Ma­laysia (FAM) berhubung mutu pengadilan dalam perlawanan di Stadium Majlis Pembandaran Selayang itu.
Walaupun ia tidak akan merubah keputusan perlawanan, apatah lagi Kedah sudahpun meraih tiket separuh akhir, tetapi laporan perlu dihantar kepada badan induk bola sepak negara itu agar perkara yang sama tidak berulang kerana saingan Piala Malaysia masih berjalan.
“Saya tidak pernah tengok gol seperti ini kerana selepas jari-ngan Sandro (da Silva) sebahagian pemain masih meraikan jaringan di tepi padang dan seorang pemain kita (Badrul Bakhtiar) masih berada di kawasan lawan tetapi sepak mula diteruskan dan mereka (PKNS) jaringkan gol.
“Tetapi pengadil menerima jaringan PKNS itu dengan mendakwa Badrul berada di luar padang..pasukan tuan rumah pun sepatutnya mempunyai sikit sema-ngat kesukanan iaitu tunggu dulu pemain kedah selesai raikan jari­ngan itu baru mula tetapi mereka tetap teruskan permainan.
“Betul kami telah layak ke se­paruh akhir, namun saya mengambil tindakan supaya perkara se­perti ini tidak berulang kerana ia menjatuhkan standard mutu pengadilan bola sepak negara..sepatutnya pemilihan pe­ngadil lebih teliti..ini kejohanan paling berprestij dalam arena bola sepak negara,” kata Jeffrey kepada Utusan Malaysia.
Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Selasa lalu, Kedah dan PKNS FC terikat 1-1 sebelum menang 3-1 dalam suku akhir kedua di Selayang.
Tambah beliau, pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan terlebih dahulu meneliti video insiden terbabit sebelum menghantar laporan kepada FAM.
“Kita tidak akan terburu-buru menghantar aduan kepada FAM..teliti dulu video dan apa yang berlaku dalam perlawanan itu serta mendapatkan pandangan daripada beberapa pengadil profesional. Kemudian barulah kita menye­rahkan aduan. Tindakan selanjutnya terserah kepada FAM,” jelasnya.
Menurutnya lagi, KFA sudah mendapatkan rakaman video daripada TV9, input dari sudut lain turut diperlukan, terutama dari video rakaman peminat sendiri yang menyaksikan perlawanan di stadium.
“Mohon kepada semua penyokong yang hadir menghantar kepada admin di mediakfa@gmail.com sebarang video ber­kenaan insiden tersebut untuk kegunaan kajian pasukan dari pelbagai sudut sebagai panduan semua pihak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing,” menurut status yang dimuat naik KFA dalam Facebook rasminya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kedah-8232-bantah-gol-8216-pelik-8217-1.163738#sthash.es5sNbHO.dpuf

Yus Jambu meninggal dunia

30/11/2015 1:53am

KUALA LUMPUR - Pelawak terkenal Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussy Edoo, 39, meninggal dunia di Hospital Selayang, Batu Cave, akibat mengalami sesak nafas tengah malam tadi.

Berita tersebut telah dimuat naik oleh rakan beliau yang juga pelawak, Zamatul Amri Zakaria atau dikenali sebagai Tauke di laman Instagram miliknya.

Yus merupakan juara program Raja Lawak pada tahun 2007.

Sepanjang kerjaya sebagai pelawak, beliau pernah membintangi beberapa buah filem termasuk, Apa Celup Toqq, Hantu Bungkus Ikat Tepi dan Cicakman 3. - K! ONLINE
sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz3svcfB1dy Hakcipta terpelihara


DNA dan asal usul Melayu

DNA 101
PROF. MADYA DR. ZAFARINA ZAINUDDIN  |  29 November 2015 6:36 PM
Persoalan tentang siapakah Melayu dan dari manakah asal usulnya sering kali menjadi perdebatan ramai. Ada yang berpendapat bahawa bangsa Melayu itu sendiri tidak wujud. Melayu dikatakan terlahir daripada perkahwinan campur antara "penduduk tempatan" dengan saudagar-saudagar Cina, India, Arab dan Siam yang singgah di Semenanjung Tanah Melayu untuk berdagang semasa zaman kemahsyuran empayar-empayar di Tanah Melayu. Spekulasi tentang siapakah "penduduk tempatan" inilah yang kerap kali menjadi bahan perdebatan antara ahli akademik, pakar sejarah, ahli politik dan tidak terkecuali para keyboard warriors di laman-laman sosial.

Melayu sebenarnya bukanlah satu bangsa yang hanya wujud di Malaysia tetapi orang Melayu telah wujud sekian lama di Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Kepulauan yang terletak di antara Lautan India dan Lautan Pasifik ini mengunjur sejauh 4,000 batu dari timur ke barat dan 1,300 batu dari utara ke selatan dan merupakan kepulauan yang terbesar di dunia.

Kepulauan Melayu dibentuk oleh beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Borneo, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina dan termasuk juga Semenanjung Malaysia. Sebelum berlakunya banjir besar yang menenggelamkan Pentas Sunda dan tamadunnya lebih kurang 10,000 tahun yang lalu, kumpulan pulau yang terletak di atas Pentas Sunda dipercayai bersambung sebagai satu tanah besar yang memudahkan pergerakan dan interaksi manusia di atasnya.

Akibat daripada kejadian banjir besar ini, sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa berhijrah dan mereka ini dipercayai telah memulakan penempatan baharu di Asia Timur dan Kepulauan Pasifik .

Teori Out of Taiwan oleh Peter Bellwood menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10,000 tahun dahulu dan membawa bersama mereka teknologi penanaman padi. Memandangkan bahasa Melayu merupakan salah satu cabang bahasa Austronesia, maka orang Melayu juga dianggap sebagai berasal dari Taiwan.

Kepercayaan bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan atau selatan negara China juga dipercayai timbul daripada pemahaman bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan seterusnya ke Asia Tenggara (arah pergerakan utara ke selatan).

Populasi lebih awal

Walau bagaimanapun,kepercayaan yang bertapak sekian lama ini telah berjaya digugat apabila bukti daripada kajian DNA menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan Asia Tenggara adalah sebaliknya. Kajian menggunakan Single Nucleotide Polymorphisms (SNPs) yang telah diterbitkan dalam majalah Science yang bertajuk, Mapping Human Genetic Diversity in Asia pada tahun 2009 menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah lokasi terawal kemasukan manusia dari Afrika ke Asia.

Dalam kajian ini, sebanyak 50 peratus haplotype yang ditemui (kumpulan SNPs pada satu kromosom yang diwariskan bersama-sama dipanggil haplotype) dalam populasi Asia Timur hanya terdapat dalam populasi di Asia Tenggara. Ini menunjukkan bahawa Asia Tenggara merupakan sumber utama bagi takungan genetik populasi di Asia Timur seperti China dan Taiwan. Bukti ini seterusnya menyokong bahawa pergerakan manusia di Asia adalah dari arah selatan ke utara.

Analisis filogenetik menggunakan penanda SNPs telah meletakkan Orang Asli Semang dan orang Melayu pada cabang yang lebih awal berbanding populasi di Asia Timur yang secara langsung menunjukkan bahawa Orang Asli Semang dan Melayu adalah satu populasi yang lebih "awal" berbanding populasi di China dan Taiwan.

Selain bukti daripada kajian menggunakan SNPs, penjujukan penuh DNA mitokondria juga telah membuktikan bahawa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Semang) adalah berasal daripada kumpulan manusia moden terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika. Pergerakan ini berlaku lebih kurang 60,000 - 75,000 tahun dahulu melalui jalan darat di sepanjang pesisir pantai melalui India ke Asia Tenggara dan seterusnya ke Australasia (Tajuk penerbitan: Single, rapid coastal settlement of Asia revealed by analysis of complete mitochondrial genome; Science 2005).

Pada zaman ini, kemungkinan besar laluan ke arah utara terhalang oleh cuaca yang ekstrem, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan kawasan gurun. Laluan pantai yang lebih landai dan cuaca yang kurang ekstrem mungkin antara faktor kenapa kumpulan manusia yang bergerak ke arah selatan berjaya tiba di Asia Tenggara.

Kajian serupa yang dilakukan ke atas 10 sub-etnik Melayu (Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang, Mendeleng, Rawa, Champa dan Pattani) menggunakan DNA mitokondria menunjukkan sejumlah orang Melayu juga mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000 tahun (Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) dan turut berkongsi haplogroup (kumpulan DNA mitokondria) yang sama dengan Orang Asli.

Penemuan ini membuktikan bahawa orang Melayu juga berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari Afrika lebih kurang 60,000-75,000 tahun dahulu yang kemudiannya menjadi penghuni terawal di Kepulauan Melayu. Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA telah membuktikan bahawa kesemua sub-etnik Melayu mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi (Edinur et al, 2009; NurWaliyuddin et al., 2014).

Penemuan ini telah mengukuhkan lagi kepercayaan tentang asal usul dan hubung kait antara populasi awal di Kepulauan Melayu. Kesemua sub-etnik Melayu ini ternyata berasal dari susur galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama. Namun demikian, pada hari ini, mereka telah dipisahkan oleh sempadan geografi dan politik dan hasilnya mereka terlihat sebagai populasi yang berbeza.

Pemisahan ini walau bagaimapun tidak dapat menafikan hubungan mereka yang telah dibuktikan secara genetik, sama seperti hakikat kewujudan mereka di Kepulauan Melayu sejak 60,000 tahun dahulu. Mungkin bagi sesetengah pihak, pengetahuan tentang sejarah dan asal usul sesuatu bangsa tidak penting. Kenapa kita perlu bersusah payah memahami kejadian yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu?

Adakah perjalanan dan pengalaman yang dilalui oleh nenek moyang kita masih relevan untuk dipelajari? Harus diingat, pandangan kita tentang sejarah sebenarnya membentuk pandangan kita tentang masa hadapan. Gagal menghayati sejarah bermakna kita gagal menghargai dan menghormati usaha keras nenek moyang kita, sedangkan hasil darinya kita nikmati hari ini.

SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 29 November 2015 6:36 PM

Jelaskan pelbagai aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh penduduk Melaka sebelum abad ke 15M

             Masyarakat Melayu tradisional di Melaka melakukan pelbagai aktiviti ekonomi sebelum abad ke15M. Pada peringkat awal, mereka bertani, menangkap ikan, menternak binatang dan memburu untuk keperluan sendiri. Keadaan ini mengalami perubahan apabila aktiviti ekonomi perdagangan mula bertapak di Melaka.

            Fasal 20 Undang-Undang Melaka membuktikan aktiviti pertanian dijalankan di Melaka melalui aktiviti perhumaan, bendang, sawah dan ladang. Penanaman padi bermula dengan kemasukan orang Minangkabau. Ekoran tidak mampu menampung keperluan penduduknya yang ramai, Melaka terpaksa mengimport beras dari Siam, Palembang dan Jawa. Selain itu, orang Melaka jugabersawah dan berdusun. Tom Pires pernah menyatakan Sultan Iskandar bersama pengikutnya telah menebas hutan untuk menanam pokok dan membuat dusun tebu, pisang dan nenas.

            Masyarakat Melaka juga menjalankan aktivitimenangkap ikan dan hasil laut. Ikan merupakan sumber protein yang penting. Sultan Iskandar Syah sendiri pernah menjadi nelayan ketika di Muar. Orang Laut menjalankan aktiviti ini sebelum pemerintahan Parameswara lagi. Antara peralatan yang digunakan ialah perahu daripada kayu bulat yang ditebuk.

             Bagi menampung kehidupan seharian juga, masyarakat Melaka menjalankan kegiatan berburu yang diwarisi termasuklah golongan Raja-Raja Melaka. Rakyat biasa yang tidak berdagang akan memburu binatang untuk menambah sumber pendapatan.

            Kegiatan perdagangan merupakan aktiviti ekonomi yang diwarisi sejak zaman awal Kerajaan Melayu Langkasuka dan Srivijaya. Aktiviti ini dijalankan secara kecil-kecilan dan besar-besaran. Perdagangan kecil-kecilan merujuk kepada rakyat biasa yang berjaja di pasar atau menggunakan perahu kecil. Golongan pembesar pula menjalankan kegiatan perdagangan melalui wakilnya iaitu kiwi. Perdagangan besar-besaran melibatkan urusan jual beli dengan pedagang luar.

             Aktiviti seterusnya yang dijalankan masyarakat Melaka ialah menternak binatang seperti kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik. Bendahara Seri Maharaja Melaka dikatakan pernah menternak binatang seperti kerbau.

            Kegiatan mengumpul hasil hutan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melaka ketika itu kerana mereka amat bergantung kepada persekitaran seperti sungai, hutan dan tanah pertanian. Antara hasil hutan yang dikumpul ialah rotan, damar dan getah jelutung. Kebetulan, hasil hutan ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pedagang luar.

             Aktiviti pertukangan kayu, besi dan kraf tangan juga dijalankan masyarakat ini. Pertukangan kayu melibatkan pembinaan rumah, istana dan perahu. Mereka juga membuat senjata daripada besi. Antara barang kraf tangan yang dihasilkan ialah bubu. Tikar mengkuang diperbuat daripada rotan, buluh dan kayu.


            Kehidupan masyarakat Melayu tradisional sama seperti masyarakat awal di tempat lain iaitu amat bergantung kepada persekitaran seperti sungai, hutan dan tanah. Mereka telah mengeksploitasi sumber persekitaran ini untuk menampung keperluan seharian mereka.

Ketua negeri tidak bergelar sultan

28 November 2015 6:06 PM
 Yang Dipertaun Besar, Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni
Yang Dipertaun Besar, Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni
Yang Dipertaun Besar, Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Tuanku Antah (1888)
TIDAK seperti ketua pemerintah di negeri lain yang bergelar raja atau sultan, Negeri Sembilan menggunakan gelaran Yang Dipertuan Besar.

Ada pendapat menyatakan kemungkinan gelaran Yang Dipertuan Besar disebabkan pengaruh dari kesultanan Palembang yang wujud dalam masyarakat Minangkabau. Kesultanan Palembang dikatakan mula-mula membahasakan Yang Dipertuan kepada rajanya yang membawa maksud raja yang dituankan itu adalah dijemput.

Penggunaan gelaran itu di Negeri Sembilan menurut Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali ada kisah dan sejarahnya yang selalunya dimulakan dengan kehadiran seorang anak raja dari Minangkabau yang bergelar Raja Melewar.

“Namun, sebelum pertabalan Raja Melewar, sudah ada raja Minangkabau yang menduduki takhta negeri tersebut iaitu Raja Adil, Raja Kasab dan Raja Khatib.

“Sejarah awal kehadiran raja berkenaan ke Negeri Sembilan bagaimanapun tidak jelas namun, ada catatan yang menyatakan mereka sudah berada di negeri tersebut,” katanya.

Menjadi tanda tanya mengapa negeri yang sudah ada raja, penghulu atau undang sebelum ini memerlukan seseorang untuk mengetuai luak-luak ini dan menjadi Yam Tuan (sebelum gelaran Yang Dipertuan) di Negeri Sembilan.

Dalam hal ini, Dr. Abdullah berkata, ia sering kali dikaitkan dengan kebimbangan masyarakat dan pembesar keturunan Minangkabau terhadap perkembangan pengaruh dan kuasa orang Bugis yang bertapak di Linggi bermula pada 1722.

“Opu Bugis lima bersaudara iatu Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi dikatakan membantu nelayan Bugis yang berselisih dengan pengikut-pengikut penghulu Linggi.

“Penghulu Linggi yang menyedari tidak mampu menentang angkatan Bugis lima bersaudara itu kemudian meminta bantuan Raja Kechil yang menduduki takhta kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

“Bagaimanapun, ketika perang di Linggi, Raja Kechil telah dikalahkan dan terpaksa berundur ke Siak sementara Johor ditawan kembali oleh Opu Bugis lima bersaudara. Maka bertapaklah Bugis di Linggi. Oleh sebab itu, sehingga kini kebanyakan yang duduk di Linggi berketurunan Bugis,” katanya.

Penguasaan Bugis di Linggi mencetuskan kebimbangan, sekali gus mendorong Penghulu dan Undang mengambil keputusan menjemput seorang anak raja dari Pagar Ruyung untuk ditabalkan sebagai raja di Negeri Sembilan.

Raja Melewar tiba di Negeri Sembilan dan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan di Penajis, Rembau pada 1773 dan seterusnya bersemayam di Seri Menanti.

“Raja Melewar bagaimanapun tidak menjadi pengasas kepada kerajaan Negeri Sembilan meskipun mempunyai putera, namun keturunannya tidak dilantik sebagai Yang Dipertuan ketika itu.

“Para pembesar bermesyuarat dan membawa seorang lagi anak raja dari Pagar Ruyung yang dikenali sebagai Raja Hitam untuk menduduki takhta kerajaan. Keturunan Raja Hitam juga tidak mewarisi pemerintahan kerajaan itu dan sekali lagi pembesar menjemput anak raja lain dari Pagar Ruyung iaitu Raja Lenggang.

“Raja Lenggang kemudian menjadi pengasas kerajaan Negeri Sembilan kerana puteranya Tunku Radin menjadi Yang Dipertuan Besar (1830) diikuti puteranya yang kedua, Tunku Imam (1861 hingga 1869),” katanya.

Pertabalan Tunku Radin sebagai Yang Dipertuan Besar menggantikan ayahnya menunjukkan berakhirnya penjemputan anak-anak raja dari Minangkabau menduduki takhta di Negeri Sembilan.

SUMBER UTUSAN MALAYSIA ONLINE 28 November 2015 6:06 PM

Tidak mudah putus asa faktor kejayaan Selangor‎

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 NOVEMBER 2015
Mehmet Durakovic
Mehmet Durakovic Mehmet Durakovic - Foto: Foto: Zulfadhli Zaki

JURULATIH Selangor, Mehmet Durakovic menyifatkan semangat tidak mudah putus asa menjadi kunci kejayaan The Red Giants melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2015, semalam.

Juara 32 kali itu mara ke separuh akhir selepas menunjukkan jalan keluar buat Sarawak menerusi agregat, 3-2.

‎Selepas menang 2-1 semalam di Stadium Negeri, Selangor diikat 1-1 dalam aksi kedua suku akhir di Stadium Shah Alam.

Selepas ke suku akhir, kami kini akan beraksi di separuh akhir dan berpeluang untuk ke final.

Satu perkara yang penting dalam pasukan Selangor adalah, para pemain tidak mudah berputus asa sepanjang 90 minit perlawanan. Saya cukup bangga dengan semua pemain,” katanya.

Menurut Durakovic, pencapaian pasukannya dalam saingan Piala Malaysia cukup membanggakan.

Selepas tiga tahun, Selangor kembali menjejakkan kaki ke separuh akhir dan saya cukup gembira dengan pencapaian pemain,” katanya.

Sumber-SINAR HAIAN ONLINE 29.11.2015

Keputusan perlawanan Liga Perdana Inggeris

AHAD, 29 NOVEMBER 2015 @ 1:20 AM

LONDON: Berikut adalah keputusan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berakhir, awal pagi tadi. –
ASTON VILLA 2 WATFORD 3 Gol: Villa - (Richards m41, Ayew m89) Watford - (Ighalo m17, Hutton m69-og, Deeney m85) –
BOURNEMOUTH 3 EVERTON 3 Gol: Bournemouth - (Smith m80, Stanislas m87, 90+8) Everton - (Funes Mori m25, Lukaku m36, Barkley m90+5) –
CRYSTAL PALACE 5 NEWCASTLE 1 Gol: Crystal - (McArthur m14/90, Bolasie m17/47, Zaha m41) Newcastle - (Cisse m10) –
MANCHESTER CITY 3 SOUTHAMPTON 1 Gol: City - (De Bruyne m9, Delph m20, Kolarov m69) Southampton - (Long 49) –
SUNDERLAND 2 STOKE 0 Gol: (Van Aanholt m82, Watmore m84)

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/100810

Saturday 28 November 2015

ANALISA TERKINI SEJARAH ISLAM P2 2015

oleh-AHMAD BIN YAAKOB
SEJARAH  ISLAM (500 - 1918)
1 Masyarakat, Pemerintahan,Pertahanan, dan Perhubungan Luar
1.1  Masyarakat jahiliah
1.2  1.Bincangkan ciri-ciri kehidupan masyarakat Arab Jahiliah sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW-STPM 2013
1.Sejauh manakah masyarakat Arab Jahiliah dianggap sebagai masyarakat tidak bertamadun? [20m] STPM 2015
1.3  Masyarakat Islam
Piagam Madinah
1.4  Sistem pemerintahan Nabi Muhammad SAW (abad ke.7)
Tindakan Nabi Muhammad SAW di Madinah
1.Bincangkan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW selepas baginda berjaya menubuhkan negara Islam di Madinah. STPM 2013
1.5  Kepemimpinan Nabi Muhammad SAW abad ke 7
Ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW
Pemilihan khalifah
Bincangkan pelaksanaan syura dalam pemilihan Khalifah al-Rasyidin STPM2014U
1.Bincangkan kemunculan golongan baharu dalam masyarakat Islam pada zaman khulafa al-Rasyidin.STPM 2013U
Sumbangan khalifah
i.Khalifah Abu bakar
ii.Khalifah Umar al-Khattab
2.Bincangkan pembaharuan politik dan ekonomi yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar al-Khattab semasa pemerintahannya. [20m] STPM 2015
iii.Khalifah Umar Abdul Aziz-STPM 2014
iv.Khalifah Harun al-Rasyid.
1.6  Bentuk pemerintahan
1.6.1        Pemerintahan pusat dan wilayah
Menjelaskan sistem pemerintahan raja/sultan dan amir.
Bincangkan langkah-langkah yang diambil oleh Maharaja Akbar bagi memantapkan sistem pemeintahannya. STPMU 2014.
1.7  Pertahanan dan pembukaan wilayah
Jihad
Peperangan-strategi perang  Khandak, Badar–STPM 2014
Kepimpinan
1.Salahuddin al-Ayyubi
2.Sultan Muhammad al-Fatih. STPM2013U.
1.8  Perhubungan luar
Diplomatik
Bincangkan hubungan diplomatik yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW STPM U2014
Naungan
Perjanjian
2.Pembangunan dan penerokaan
2.1 Ekonomi-
Sistem ekonomi Nabi Muhammad SAW pada abad ke-7
Konsep ekonomi Islam zaman Nabi STPM2014
Sistem ekonomi Abbasiyah abad ke-11-12
Sistem ekonomi Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 –STPM 2013
2.1.2 Institusi ekonomi
i.baitulmal
3.Bincangkan pengurusan sumber baitulmal  pada Zaman Khulafa al-Rasyidin .[20m] STPM 2015
ii.cukai
iii.zakat
2.2 Pendidikan
2.2.1 Falsafah pendidikan Islam.
2.2.2 Perkembangan pendidikan
4.Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam institusi pendidikan dikatakan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Jelaskan. STPM 2015
2.3 Perkembangan intelektual
2.3.1 Perkembangan ilmu
Peranan Acheh sebagai pusat ilmu di Nusantara abad ke-16 STPM2013U
2.3.2 Sumbangan tokoh
b)menilai sumbangan
i.al-Khwarizmi
ii.Ibn Sina –STPM 2013
iii.al-Ghazali
iv.Ibn Khaldun
Nilaikan sumbangan pemikian Ibn Khaldun tentang peradaban manusia.STPMU 2014.
2.4 Penerokaan
Menilai sumbangan tokoh
i.al-Masudi
ii.Ibn Majid STPM U 2013
iii.Ibn Battutah STPM 2014
2.5 Seni bina
Seni bina Andalusia abad ke-13
Seni bina India abad ke-16-17
a.menghuraikan ciri-ciri seni bina.
3 Nasionalisme dan pembentukan Negara Bangsa.
3.1 Perluasan kuasa Barat
Khalifah Uthmaniyah abad ke 18-20
a)membincangkan faktor-faktor perluasan kuasa Barat
i.Faktor politik ii.Faktor ekonomi.
3.2 Reaksi masyarakat tempatan
Reaksi masyarakat tempatan di Mesir
Reaksi masyarakat tempatan di Algeria
a)Menjelaskan reaksi masyarakat tempatan
3.3 Gerakan nasionalisme abad ke 20
Gerakan nasionalisme di Mesir ke 20 STPM U -2013
Gerakan nasionalisme di Syria abad ke 20
a)analisis faktor-faktor kemunculan gerakan nasionalisme di Syria –STPM 2013
menerangkan faktor-faktor kemunculan gerakan nasionalisme di Mesir
i.Pengaruh agama
ii.Peranan bahasa dan kesusasteraan
iii.Pengaruh kewartawanan
iv.Peranan pendidikan
v.Peranan golongan intelektual
Peranan golongan intelektual dalam gerakan nasionalisma di Mesir STPM2014
vi.pengaruh luar
3.4 Perang Dunia Pertama
Khalifah Uthmaniyah abad -20
a)Membincangkan penglibatan Khalifah Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. STPM U-2013
5.Galurkan penglibatan Khalifah Utmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. STPM 2015.
Kejatuhan kerajaan Turki
Faktor politik dan pengaruh luar yang menjatuhkan kerajaan Turki –STPM 2013
5.Bincangkan faktor perluasan kuasa Barat terhadap pemerintahan kerajaan Utmaniyah pada abad ke-18 Masihi hingga abad ke-20 Masihi. STPM 2015.
3.5 Pembentukan negara bangsa.
Pembentukan negara bangsa di Turki abad ke- 20-STPM 2014
Pembentukan negara bangsa di Mesir abad ke- 20
Bincangkan peranan gerakan Islah dalam membangkitkan kesedaran politik di Mesir pada abad ke-19 dan abad ke-20 Masihi. STPMU 2014
a)      Menghuraikan faktor-faktor pembentukan negara bangsa.
Faktor dalaman mempercepatkan negara bangsa di Turki 1856-1918 STPM 2014

Bincangkan faktor luaran yang mempercepatkan kemunculan negara bangsa di Turki. STPMU 2014.

Vardy catat rekod jaringan, bayangi aksi United


 
PENYERANG Leicester City, Jamie Vardy meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Manchester United di Stadium King Power, awal pagi tadi. - Foto REUTERS LONDON: Penyerang Leicester City, Jamie Vardy mencatat sejarah apabila meledak jaringan ke-11 berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris ketika menentang Manchester United di Stadium King Power, awal pagi tadi. Jaringan penyerang England pada minit ke-24 itu menjelma selepas mendapat hantaran Christian Fuchs sebelum Vardy merembat rendah melepasi jangkauan penjaga gol United, David de Gea.

Ia sekali gus memecah rekod jaringan sebelum ini yang dikongsi Vardy bersama bekas penyerang United sendiri, Ruud van Nistelrooy. Van Nistelrooy pantas mengucapkan tahniah kepada Vardy dalam posting Twitter: "Syabas @vardy7! Anda kini nombor satu dan anda layak untuknya. #11inarow." Ia juga jaringan Vardy ke-14 dalam liga untuk musim ini yang menjadikan dia kini penjaring terbanyak liga. Bagaimanapun jaringan Vardy itu tidak lama apabila Bastian Schweinsteiger menanduk masuk untuk gol penyamaan United pada minit ke-46 selepas mendapat hantaran tendangan sudut Daley Blind. - AFP
SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/100824



Rekod kebal Johor DT di Larkin lebur

Oleh WAN NOR ZURAIHAH WAN ALI
 
JARINGAN Safiq (kiri) pada aksi menentang Felda United di Larkin malam tadi gagal membantu pasukannya meneruskan kemaraan pada kempen PialaMalaysia musim ini apabila mereka tewas 1-2.

REKOD kebal Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin lebur apabila skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu tewas 1-2 kepada Felda United pada aksi suku akhir kedua kempen Piala Malaysia 2015 malam tadi.

Kemenangan yang dicatat Felda United itu membolehkan mereka meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 2 Disember ini.

Untuk menambahkan lagi derita skuad kendalian Mario Gomez itu, kekalahan tersebut mengakhiri perjuangan mereka pada kempen Piala Malaysia apabila tewas dengan agregat 2-3.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lalu kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1.

Zah Rahman diangkat sebagai wira Felda United malam tadi selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75.

Sebelum itu, Felda United mendahului seawal minit keempat menerusi sepakan penalti Fernandes Augusto selepas pengadil menghadiahkan sepakan tersebut setelah bola terkena tangan pertahanan Johor DT, Hariss Harun dalam kotak penalti.

Walaupun ketinggalan 1-0, Johor DT tetap melancarkan asakan bertali arus dan usaha mereka berhasil pada minit ke-51 menerusi jaringan penyamaan Safiq Rahim.

Namun, misi tuan rumah untuk menambah jaringan terus menemui kebuntuan apabila dihukum dengan gol kedua Felda United menerusi Zah Rahman, dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

"Para pemain telah menjalankan tugas dengan baik pada perlawanan malam ini (malam tadi) dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghalang Johor DT meloloskan diri. Saya puas hati kerana matlamat kami untuk meneruskan kemaraan dapat direalisasikan. Kami akan pastikan Felda United terus melangkah jauh pada kempen Piala Malaysia musim ini," jelas jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim selepas perlawanan tersebut.

Mengiringi Felda United ke separuh akhir ialah Pahang yang mara dengan kelebihan agregat 4-3 selepas tewas 0-2 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.

Pada aksi pertama, Selasa lalu Pahang menang 4-1.

Turut mara ialah Kedah yang menang 3-1 ke atas PKNS FC di Selayang, sekali gus menyaksikan mereka memiliki kelebihan agregat 4-2 selepas seri 1-1 pada aksi pertama di Alor Setar, Selasa lalu.

Selangor yang mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Shah Alam malam tadi turut mara dengan kelebihan agregat 3-2.

Pada aksi pertama di Kuching, Selasa lalu, Selangor menang 2-1.

Pada aksi separuh akhir pertama 2 Disember nanti, Pahang akan menjadi tuan rumah kepada Selangor manakala Felda United akan menanti kunjungan Kedah di Selayang.

Artikel Penuh: SUMBER-http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3spkKVI4H Hakcipta terpelihara