Ad

Saturday, 7 November 2015

‘Teong Kim tidak profesional’

KIM SWEE menyifatkan aksi menentang Palestin penting untuk meningkatkan prestasi pemain di peringkat antarabangsa.

BELUM sempat memulakan sesi latihan pertama di sini, skuad Harimau Malaya telah pun ‘diserang’ menje­lang aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 menentang Palestin di Stadium Antarabangsa Amman Khamis ini.

Ini kerana Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFPD), Lim Teong Kim membidas tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berusaha untuk menukar venue yang sebelum ini sepatutnya berlangsung di Hebron, Palestin adalah menjadi satu perkara ‘buang masa’.

Teong Kim memberitahu bahawa skuad negara tidak perlu bersusah payah semata-mata untuk menukar venue kerana peluang Harimau Malaya untuk beraksi di pentas Piala Asia 2019 sebenarnya telah tertutup.

Mengulas lanjut, Datuk Ong Kim Swee selaku pengendali sementara skuad kebangsaan, menegaskan kenyataan Teong Kim dianggap satu perkara tidak masuk akal selain menganggap skuad negara masih memiliki peluang untuk beraksi di kejohanan tertinggi pentas Asia tersebut.

“Ini bagi saya satu benda yang tidak ma­suk akal yang mana kita masih mempunyai peluang walaupun peluang itu tipis tetapi kita mempunyai tiga perlawanan lagi dan apa-apa boleh berlaku.

“Bukan mengatakan bahawa kita sudah layak tetapi dengan mengatakan perkara se­perti menukar venue adalah satu (perkara) buang masa, saya percaya ini perkara cukup sensitif.

“Pertama, isu keselamatan dan apabila kita membuat pertukaran venue adalah keselamatan untuk semua pemain dan pegawai. Sudah tentu juga apa yang dikatakan tentang ‘buang masa’, kita juga perlu tahu bahawa kita masih memiliki maruah untuk bermain dalam perlawanan kelayakan kita.

“Saya terkejut dengan apa yang dikatakan kerana pemain kita bersusah payah selepas mengharungi Piala Malaysia terus datang ke sini (Jordan) dengan satu tujuan,” katanya kepada pemberita sebaik mendarat di Amman semalam.

Sebelum ini, Malaysia sepatutnya dijadualkan menentang Palestin di Hebron tetapi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersetuju selepas surat rayuan ketiga daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diterima untuk mengubah lokasi ke Jordan sebagai gelanggang berkecuali.

Menurut jurulatih kelahiran Melaka tersebut, Teong Kim seharusnya lebih fokus dan peka dengan program sendiri berbanding mengkritik skuad kebangsaan tanpa sebarang usul.

Kim Swee mengakui beliau terkejut dengan kenyataan Teong Kim yang dilihat sengaja mahu membunuh semangat skuad kebangsaan sebelum turun menentang Palestin ming­gu depan.

“Bukan sahaja untuk memperbaiki prestasi tetapi untuk memperbaiki ran­king dan mengembalikan maruah yang tercalar. Apa yang dikatakan oleh pihak tertentu, saya berharap mereka memikirkan untuk membawa pasukan kebangsaan ke peringkat yang tinggi bukan mudah.

“Tetapi untuk membuat pembangunan daripada peringkat awal, mungkin mudah yang mana mereka hanya akan men­getahui sama ada projek mereka berjaya atau pun tidak selepas lima atau 10 tahun tetapi di peringkat kebangsaan, keputusan segera sangat mustahak,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3qqk1hKeH Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment