MOHAMMAD
ROZAIDI ZULKIFLI | 18
November 2015 12:22 AM
PEMAIN-PEMAIN Malaysia meraikan
jaringan Baddrol Bakhtiar (tiga dari kiri) dalam perlawanan kelayakan Piala
Dunia/Piala Asia menentang UAE di Stadium Shah Alam semalam. Malaysia kalah
2-1. UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya
ada sesuatu yang berjaya diselamatkan oleh Harimau Malaya di Stadium Shah Alam
yang kosong ketika bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan
Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 sungguh pun mereka tumpas 2-1 malam tadi.
Keputusan itu mengulangi
kejutan ketika mereka mengekori Arab Saudi 1-2 pada 8 September lalu di venue
sama sebelum perlawanan tersebut terpaksa dihentikan ekoran keganasan
penyokong, yang menyebabkan Saudi kemudiannya diberikan kemenangan percuma 3-0
oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) manakala Malaysia terpaksa
bermain di stadium kosong untuk satu perlawanan.
Meskipun kalah, anak didik
Datuk Ong Kim Swee berupaya menyekat hajat skuad Timur Tengah itu untuk
melakarkan kemenangan besar seperti dilakukan di Abu Dhabi pada 3 September
lalu yang menyaksikan skuad negara dibelasah 10-0.
Bermula sepak mula penguasaan
bola jelas didominasi pasukan yang menghuni tangga ke-67 ranking dunia itu
namun pasukan negara berjaya mencipta satu peluang keemasan untuk menghasilkan
gol pada minit ke-15 tetapi rembatan Ahmad Fakri Saarani tersasar.
Kubu Malaysia yang kental
bertahan akhirnya dibolosi pada minit ke-21 selepas kesilapan Azammudin Mohd.
Akil yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya sekali gus dihukum
pemain tengah UAE, Omar Abdul Rahman yang melakukan rembatan lencong cantik ke
penjuru kanan gawang gol negara untuk jaringan pertama pelawat.
Bagaimanapun barisan pertahanan
negara yang diketuai Aidil Zafuan Abdul Razak nyata berjaya mengekang asakan
jentera serangan pelawat daripada menambah jumlah jaringan sehingga tamat babak
pertama.
UAE menambah gol kedua menerusi
ketua pasukan Ahmed Khalil yang mudah memperdayakan penjaga gol negara Mohd.
Izham Tarmizi pada minit ke-52.
Tersentak dengan jaringan itu
skuad negara menyusun gerakan lebih kemas dan usaha itu berhasil apabila
berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-58 menerusi tandukan Baddrol
Bakhtiar yang menyambar sepakan bebas Shafiq Rahim ke hadapan gawang untuk
sekurang-kuranganya menyelamatkan maruah di gelanggang sendiri.
Anak didik Kim Swee akan
menutup tirai saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium
Putra Mohamed bin Fahd, Dammam pada 24 Mac tahun depan bagi perlawanan terakhir
Kumpulan A.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaya-selamat-maruah-1.159416#sthash.SzPrRzE5.dpuf
No comments:
Post a Comment