Ad

Saturday 21 November 2015

Jangan kena libas

Oleh Rizar Mohd Noor
 rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tetap berwaspada dengan kebangkitan Sarawak apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi terakhir Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Larkin, malam ini.

Sarawak dilihat akan turun habis-habisan untuk cuba memburu sekurang-kurangnya keputusan seri bagi menempatkan diri di suku akhir bagi mengiringi Johor DT yang sudah layak selepas kekal di tangga teratas kumpulan.

Namun bagi ketua jurulatih Johor DT Mario Gomez, kemenangan tetap diburu untuk memastikan rekod tanpa kalah di laman sendiri tidak tercalar selain muncul satu-satunya pasukan tidak pernah tewas saingan piala berprestij itu.

“Kami tetap menghormati Sarawak walaupun mereka terpaksa bergelut untuk merebut tempat ke suku akhir. Kami tidak mahu memberi laluan mudah sebaliknya akan tetap memburu kemenangan di laman sendiri.

“Walaupun kita menjuarai Piala AFC, saya tidak mahu pemain terlalu selesa dan bersikap ambil mudah pada perlawanan itu kerana kemenangan amat penting untuk meningkatkan moral pemain sebagai persiapan suku akhir pertama nanti.

“Pada aksi menentang Sarawak itu Luciano Figueroa tidak diturunkan kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan tapi dia tampak semakin pulih dan mungkin diturunkan menentang FELDA United pada suku akhir pertama di Stadium Selayang nanti,” katanya.

Gomez juga memberitahu kapten Safiq Rahim direhatkan manakala kesemua pemain simpanan tampak sudah bersedia untuk diturunkan kerana menunjukkan komitmen tinggi ketika latihan.

Katanya, gandingan Mohd Amri Yahyah dan Safee Sali akan dipertaruhkan untuk mengemudi jentera serangan bagi memburu jaringan namun kedua-dua pemain itu perlu mengelak daripada mengalami kecederaan.

Beliau menambah Johor DT tidak boleh kehilangan pemain lagi selepas Junior Eldstal, Asraruddin Putra Omar, Mohd Fadhli Shas, Gary Steven Robbat dan Daudsu Jamaluddin masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Sebab itu saya tidak mahu ambil risiko menurunkan Luciano yang semakin pulih daripada kecederaan manakala Safiq dan Aidil Zafuan Abd Radzak juga mungkin direhatkan untuk persiapan aksi suku akhir nanti,” kata Gomez.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:32 AM
 
PEMAIN Sarawak Ronny Harun (kanan) antara tonggak utama Bujang Senang.

Sumber- Harian Metro 21.11.2015 

No comments:

Post a Comment