Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
KIM SWEE berdepan cabaran
penambahan pemain yang cedera menjelang pertemuan dengan Palestin minggu depan.
KETUA jurulatih Harimau Malaya,
Datuk Ong Kim Swee tanpa berselindung memberitahu bahawa beliau berdepan
situasi sukar menjelang perlawanan menentang Palestin pada aksi kelayakan Piala
Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, 12 November ini.
Masakan tidak, Kim Swee
mendedahkan beliau terpaksa merombak barisan pemain pada saat-saat akhir
selepas Baddrol Bakhtiar, Mohd. Hafiz Kamal dan Gary Steven Robbat disahkan
tidak dapat menyertai pasukan kali ini ekoran urusan peribadi dan masalah
kecederaan.
Terbaharu, pengendali kelahiran
Melaka itu terpaksa menyisihkan pemain Pahang, Mohd. Azammuddin Akil dan pemain
pertahanan kiri Terengganu, Mohd. Zubir Azmi.
Ini kerana Azammuddin minta
pengecualian selepas menerima cahaya mata semalam, manakala Zubir masih lagi
dihimpit masalah kecederaan buku lali.
Situasi itu sekali gus memaksa
Kim Swee memanggil pemain sayap Harimau Muda B kelahiran Kelantan, Syahrul
Azwari Ibrahim bagi menggantikan tempat Azammuddin, sementara Fazly Mazlan dari
Johor Darul Takzim (Johor DT) buat posisi Zubir.
Sementara itu, penyerang
Kelantan, Ahmad Fakri Saarani yang berada dalam senarai menunggu mengisi
kekosongan yang ditinggalkan Baddrol, Ronny Harun (Sarawak) menggantikan Hafiz,
pemain baharu Redzuan Suhaidi (Pulau Pinang) akan menggantikan tempat Gary.
Begitupun, Kim Swee yang
membawa 23 pemain ke Jordan, tetap yakin dengan perancangan pasukan untuk
bertemu Palestin yang masih lagi diputuskan venue selepas Persekutuan Bola
Sepak Antarabangsa (FIFA) bertindak mengarahkan Palestin mengubah lokasi ekoran
tiada jaminan keselamatan kelmarin.
“Pemain Johor DT akan beraksi
menentang Perak malam ini (malam tadi). Jadi, saya sangat harap tiada lagi
pemain yang mengalami kecederaan saat akhir.
“Ini kerana sudah pasti pemain
akan keletihan kerana baharu mengharungi perlawanan Piala Malaysia tetapi kita
akan bergerak awal ke Jordan untuk membuat persiapan di sana.
“Di sana pemain boleh fokus
kepada proses pemulihan kecergasan dan latihan sebelum menentang Palestin,”
katanya.
Dalam perkembangan lain, Kim
Swee tetap memandang positif di sebalik menyaksikan kedudukan skuad negara
kekal di tangga ke-171 dalam ranking FIFA meskipun beliau berjaya meraih dua
kemenangan iaitu ke atas Laos 3-1 (perlawanan persahabatan) dan Timor Leste 1-0
dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Berdasarkan ranking terbaru
yang dikeluarkan itu Malaysia hanya meraih 16 mata untuk menjadikan 127 mata
keseluruhan.
“Apa yang penting kita menang
dua perlawanan walaupun masih kekal di tangga 171. Kalau kita seri atau kalah
pasti kedudukan ranking kita bertambah buruk.
“Kita masih ada dua lagi
perlawanan tahun ini (menentang Palestin dan Emiriyah Arab Bersatu), walaupun
ia lawan sukar tapi kita perlu cuba untuk meraih sebarang mata,” ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3qhwjBkw7
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment