CHANTURU (kiri) terpaksa melupakan sambutan Deepavali kerana memberi keutamaan kepada tugas dengan skuad negara di Jordan.
DEMI tanggungjawab terhadap
negara, penyerang skuad Harimau Malaya, S. Chanturu terpaksa mengorbankan
perayaan Deepavali yang di sambut masyarakat India di seluruh negara hari ini.
Pemain Johor Darul Takzim itu
kini berada di Jordan bagi menggalas cabaran negara pada kempen kelayakan Piala
Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Dia bertekad membantu skuad
Harimau Malaya meraih kemenangan ke atas Palestin, Khamis ini pada aksi keenam
peringkat Kumpulan A yang akan berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman.
Pemain yang berasal dari Kulim,
Kedah itu mengharapkan kemenangan kerana ia akan menjadi hadiah paling bermakna
buat dirinya sempena perayaan Deepavali tahun ini.
“Saya utamakan tugasan untuk
negara terlebih dulu walaupun berasa agak sedih kerana tidak dapat menyambut
Deepavali dengan keluarga tahun ini.
“Ini adalah amanah yang perlu
diselesaikan kerana kami membawa nama negara,” jelas Chanturu ketika ditemui
selepas sesi latihan skuad negara di Kompleks Sukan Amman, Jordan semalam.
Menurutnya, fokusnya kini hanya
tertumpu untuk membantu skuad negara meraih kemenangan ke atas Palestin pada
Khamis ini dan jika disenaraikan dalam kesebelasan utama, dia akan menggunakan
sepenuhnya peluang tersebut untuk menampilkan aksi terbaik.
“Saya sudah bersedia
sepenuhnya. Saya juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di
sini (Jordan). Buat masa ini saya harus melupakan sementara Deepavali bagi
memberi tumpuan kepada perlawanan penting menentang Palestin, Khamis ini.
“Misi kami adalah untuk menang
bagi mengubat kekecewaan selepas tewas 0-6 kepada pasukan yang sama pada aksi
pertama di Bukit Jalil, Jun lalu. Kami akan pastikan keputusan tersebut tidak
berulang.
“Saya juga mengambil kesempatan
ini untuk mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada ahli keluarga saya di
Kulim serta para penyokong Harimau Malaya,” jelas Chanturu.
SUMBE-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3r1w52ocf
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment