Ad

Saturday, 14 November 2015

Wow! kita ‘setaraf’ dengan Brazil


Oleh Asan Ahmad
KEKALAHAN 0-6 skuad bola sepak negara kepada Palestin pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan Khamis lalu bukannya keputusan yang luar biasa.

Ia keputusan yang sudah dijangka, malah ramai yang meramalkan Malaysia akan tewas lebih daripada enam gol pada perlawanan tersebut.

Malaysia sudah biasa dibelasah kerana para pemain yang mewakili skuad negara, termasuk mereka yang beraksi dalam liga tempatan baru nak belajar cara bermain bola sepak dengan betul.

Mereka masih mentah sebenarnya walaupun menerima habuan yang sangat lumayan beraksi dengan kelab masing-masing.

Buat masa ini, para pemain masih belum tahu bagaimana nak mengawal bola dengan betul, bagaimana nak membezakan gawang pasukan lawan dengan gawang sendiri serta bagaimana cara nak melakukan hantaran kepada rakan sepasukan dan sebagainya.

Dalam beberapa perlawanan yang mereka lalui sebelum ini, pemain negara lebih bijak mengawal bola untuk dihantar kepada pasukan lawan, sebab itu mereka jarang mendapat bola untuk mengatur gerak.

Mereka juga gemar berlari sekeliling padang tanpa hala tuju dan kadang-kadang, mereka lebih pantas daripada bola yang dikejar.

Sebab itulah mereka masih belum mampu mempamerkan gaya permainan yang menghiburkan berbanding Palestin, negara yang sentiasa dilanda pergolakan berbanding Malaysia.

Zaman dahulu, ketika bola sepak Malaysia berada di puncak, para pemainnya memiliki disiplin yang sangat tinggi. Mereka berkorban demi bola sepak.

Kalau tak dipilih mewakili negara, pemain berkenaan akan menangis dan kecewa.

Semangat seperti itulah yang sangat sukar dicari ketika ini dan tidak hairanlah kenapa mutu bola sepak kita semakin ketinggalan di belakang.

Apa pun, skuad kendalian jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee ini tidak perlu malu atas kekalahan kepada Palestin.

Mereka boleh ‘berbangga’ kerana pres­tasi mereka boleh dikatakan sama ‘taraf’ dengan ‘Brazil’ walaupun skuad negara kini berada di ranking ke-171 dunia.

‘Brazil’ pun kena belasah pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2014 lalu yang menyaksikan mereka tewas 1-7 kepada Jerman.

Jadi, ‘taraf’ pasukan negara bolehlah dikatakan sama dengan ‘Brazil’ yang menduduki ranking kelapan dunia.

Tetapi, walaupun ‘setaraf’, para pemain Brazil lebih bijak kerana mereka cepat belajar daripada kekalahan ­memalukan itu.

Pemain kita pula, semakin diajar, semakin teruk malah tidak mengambil inisiatif untuk belajar mengembangkan bakat yang ada.

Kalau beginilah lenggoknya, siapa pun yang akan menjadi jurulatih skuad negara nanti, dia tidak akan mampu membawa sebarang perubahan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membuka mata mereka seluas-luasnya sebelum membazir wang ringgit untuk membayar gaji ­jurulatih asing.

Perkara asas kita di peringkat akar umbi harus diperkuatkan terlebih dahulu daripada membazirkan dana membayar gaji jurulatih luar.

Masalah utama yang dihadapi FAM sekarang ialah tidak memiliki pemain yang betul-betul boleh diharapkan bersaing­ di pentas antarabangsa.

Dalam saingan liga tempatan pun amat payah untuk melihat nama baharu beraksi dengan pasukan masing-masing.

Saban tahun pemain yang sama sahaja beraksi, cuma yang berbeza ialah pasukan yang diwakili. Contohnya, musim ini pemain berkenaan beraksi untuk pasukan A dan musim berikutnya, pemain sama beraksi dengan pasukan B, jadi tiada muka baharu yang diketengahkan dan sebab itulah amat sukar untuk mencari bakat baharu yang boleh dike­tengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Kumpulan pemain yang sama beraksi cuma bezanya, mereka ini akan bertukar pasukan sebaik liga musim baharu bermula.

Ini membuktikan bahawa kita masih tidak menjalankan tugas dengan baik untuk mengukuhkan perkara pokok di peringkat akar umbi. Bakat di peringkat akar umbi tidak diberi pendedahan kerana pasukan lebih mengutamakan kejayaan daripada melahirkan pemain baharu yang lebih berdaya saing.

Jika beginilah gayanya, sampai bila pun bola sepak kita tidak akan ­melangkah ke hadapan berbanding Jepun ­mahupun Korea Selatan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3rW3YTCG9 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment