Ad

Saturday 28 November 2015

Rekod kebal Johor DT di Larkin lebur

Oleh WAN NOR ZURAIHAH WAN ALI
 
JARINGAN Safiq (kiri) pada aksi menentang Felda United di Larkin malam tadi gagal membantu pasukannya meneruskan kemaraan pada kempen PialaMalaysia musim ini apabila mereka tewas 1-2.

REKOD kebal Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin lebur apabila skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu tewas 1-2 kepada Felda United pada aksi suku akhir kedua kempen Piala Malaysia 2015 malam tadi.

Kemenangan yang dicatat Felda United itu membolehkan mereka meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 2 Disember ini.

Untuk menambahkan lagi derita skuad kendalian Mario Gomez itu, kekalahan tersebut mengakhiri perjuangan mereka pada kempen Piala Malaysia apabila tewas dengan agregat 2-3.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lalu kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1.

Zah Rahman diangkat sebagai wira Felda United malam tadi selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75.

Sebelum itu, Felda United mendahului seawal minit keempat menerusi sepakan penalti Fernandes Augusto selepas pengadil menghadiahkan sepakan tersebut setelah bola terkena tangan pertahanan Johor DT, Hariss Harun dalam kotak penalti.

Walaupun ketinggalan 1-0, Johor DT tetap melancarkan asakan bertali arus dan usaha mereka berhasil pada minit ke-51 menerusi jaringan penyamaan Safiq Rahim.

Namun, misi tuan rumah untuk menambah jaringan terus menemui kebuntuan apabila dihukum dengan gol kedua Felda United menerusi Zah Rahman, dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

"Para pemain telah menjalankan tugas dengan baik pada perlawanan malam ini (malam tadi) dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghalang Johor DT meloloskan diri. Saya puas hati kerana matlamat kami untuk meneruskan kemaraan dapat direalisasikan. Kami akan pastikan Felda United terus melangkah jauh pada kempen Piala Malaysia musim ini," jelas jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim selepas perlawanan tersebut.

Mengiringi Felda United ke separuh akhir ialah Pahang yang mara dengan kelebihan agregat 4-3 selepas tewas 0-2 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.

Pada aksi pertama, Selasa lalu Pahang menang 4-1.

Turut mara ialah Kedah yang menang 3-1 ke atas PKNS FC di Selayang, sekali gus menyaksikan mereka memiliki kelebihan agregat 4-2 selepas seri 1-1 pada aksi pertama di Alor Setar, Selasa lalu.

Selangor yang mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Shah Alam malam tadi turut mara dengan kelebihan agregat 3-2.

Pada aksi pertama di Kuching, Selasa lalu, Selangor menang 2-1.

Pada aksi separuh akhir pertama 2 Disember nanti, Pahang akan menjadi tuan rumah kepada Selangor manakala Felda United akan menanti kunjungan Kedah di Selayang.

Artikel Penuh: SUMBER-http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3spkKVI4H Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment