BARISAN pemain negara berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Jordan semalam selepas dibelasah
6-0 oleh Palestin pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di
Stadium Antarabangsa Amman kelmarin.
BOLA sepak Malaysia semakin
tenat ekoran kekalahan 0-6 kepada Palestin pada perlawanan keenam peringkat
Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium
Antarabangsa Amman, Jordan kelmarin.
Kekalahan tersebut boleh
dikatakan sudah menutup peluang Malaysia yang menduduki ranking ke-171 dunia
untuk meneruskan kemaraan pada dua kejohanan berprestij itu selepas mengalami
kekalahan demi kekalahan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.
Selepas meraih kemenangan 1-0
ke atas Timor Leste pada 3 Oktober lalu, ramai yang menganggap skuad kendalian
jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee itu akan berubah, tetapi masalah lama
nampaknya tetap berulang.
Tiada keistimewaan berlaku
kerana barisan pemainnya masih gagal menampilkan corak permainan bermutu
tinggi.
Ekoran kekalahan tersebut,
barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya tidak perlu memberi sebarang alasan
kerana apa yang pasti, mereka masih kurang bijak bermain bola sepak.
Alasan takut, fobia atau
tertekan sekadar mahu menutup kelemahan, lagi pun para peminat sukan No. 1
negara itu telah menyaksikan sendiri bagaimana pemain negara mudah
diperbudak-budakkan oleh Palestin yang menduduki ranking ke-129 dunia pada
perlawanan kelmarin.
Ekoran kekalahan tersebut, Kim
Swee menjelaskan bahawa anak-anak buahnya seakan-akan sudah hilang fokus
apabila bolos dua gol dalam tempoh seminit.
“Pemain macam ‘ketakutan’ untuk
bermain seperti biasa dan akibatnya mereka terlalu mudah kehilangan bola yang
dipergunakan sepenuhnya oleh Palestin untuk menguasai permainan.
“Kami sudah melakukan yang
terbaik, tetapi dua gol Palestin itu telah membunuh rentak permainan kami,”
jelas Kim Swee.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3rR9JRT7o
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment