Ad

Thursday, 12 November 2015

Cabaran Amri

“Tiada masalah bagi saya.” Itu nada penuh keyakinan disuarakan penyerang Harimau Malaya Mohd Amri Yahyah yang dijangka bakal diberi tugas menggempur kubu Palestin bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman hari ini.

Pemain berusia 34 tahun itu masih menjadi watak penting kepada skuad kebangsaan dengan meledak gol tunggal kemenangan ke atas Timor Leste bulan lalu bagi saingan Kumpulan A untuk menyalakan semula peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 ketika misi ke Piala Dunia sudah tertutup.


Bagaimanapun, tugasnya kali ini lebih sukar apabila kemungkinan bakal bertindak sebagai penyerang tunggal tanpa gandingan penyerangnya Mohd Safee Sali yang digantung satu perlawanan.

“Bagi saya tak ada masalah jika diturunkan. Saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan. Terpulang kepada percaturan jurulatih dan sebagai pemain, kami kena tunjukkan di padang.

“Saya akan berusaha untuk menjaringkan gol. Saya juga berharap komitmen rakan-rakan semua untuk menjalankan tugas mencari kemenangan,” katanya.

Selain Amri yang kini mewakili Johor Darul Ta’zim (Johor DT), pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee mempunyai pilihan penyerang lain untuk diturunkan membabitkan pemain seperti Ahmad Hazwan Bakri, Ahmad Fakri Saarani dan S Chanturu.

Berdasarkan rekod Palestin yang membelasah Malaysia 6-0 pada pertemuan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil 16 Jun lalu serta tidak dibolosi ketika berdepan pasukan pilihan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, nyata sekali anak buah Kim Swee bakal berdepan tugasan sukar menembusi benteng skuad Lions of Canaan itu.

Justeru, Amri menuntut aksi terbaik semua pemain untuk berfikiran positif dalam aksi masing-masing di gelanggang berkecuali hari ini.

“Kita kena berhati-hati kerana mereka bukan pasukan seperti sebelum ini yang pernah kita main. Mereka mempunyai banyak pemain baru dan boleh buat pertukaran. Kami sudah tengok video Palestin ketika mereka mengikat Arab Saudi, jadi kami kena lebih fokus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:18 AM


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/92471#sthash.qdXzzzT6.dpuf

No comments:

Post a Comment