Ad

Wednesday, 4 November 2015

Perceraian pasangan Islam membimbangkan

ANGELINA SINYANG  |  04 November 2015 1:06 AM
KUCHING 3 Nov. - Kes perceraian di negeri ini terutama membabitkan pasangan beragama Islam agak membimbangkan apabila merekodkan statistik yang tinggi dalam tempoh 2010 hingga 2014.


FATIMAH ABDULLAH
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, statistik Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan terdapat 13,270 kes perceraian di negeri ini dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 8,215 kes melibatkan pasangan Islam manakala 5,055 kes membabitkan suami isteri bukan Islam.

“Selain kes perceraian yang tinggi, kita juga bimbang dengan rekod kes kehamilan remaja di negeri ini yang berada pada kedudukan kedua tertinggi di Malaysia.

“Walau bagaimanapun jika kita melihat kepada trend kehamilan remaja di negeri ini, ia menunjukkan penurunan pada 2014 dan 2015 berbanding 2013,” katanya ketika berucap merasmikan ‘Seminar Ketahui Hak Anda: Hak Wanita Dalam Perundangan’ di sini semalam.

Mengenai kes perceraian, beliau memberitahu, ada perceraian berpunca akibat keganasan rumah tangga tetapi malangnya mang­sa hanya membuat laporan selepas mereka didera secara fizikal.

“Kerajaan bersimpati terhadap nasib wanita dan telah meminda Akta Keganasan Rumahtangga 1994 pada 2012 dengan memperluaskan takrifan keganasan rumah tangga dengan memasukkan elemen penderaan psikologi dan kecederaan emosi sebagai salah satu bentuk keganasan.

“Walaupun langkah ini merupakan sesuatu yang positif, namun masih banyak lagi aspek perundangan dan prosedur lain berkaitan wanita yang perlu diperbaiki,” ujarnya.

SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 4.11.2015

No comments:

Post a Comment