Ad

Tuesday, 17 November 2015

Nasib menyebelahi Harimau Malaya, tak dibelasah UAE

SELASA, 17 NOVEMBER 2015 @ 10:54 PM
Nasib menyebelahi Harimau Malaya, tak dibelasah UAE
Oleh Khairil S Iswan mkhairil@bharian.com.my
 
AHMAD Fakhri Saarani (tiga dari kanan) bersaing dengan pemain UAE, Amer Abdurahman perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam ini. - Foto Osman Adnan SHAH ALAM: Malaysia tidak lagi diratah dengan jaringan besar oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun perlawanan di sini bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019, malam tadi tetap berakhir dengan kekalahan 2-1 buat Harimau Malaya. Beraksi dalam Stadium Shah Alam yang kosong, Malaysia yang diakui fobia selepas beberapa kali tewas dengan jaringan besar termasuk kekalahan 10-0 pada perlawanan pertama di Abu Dhabi kepada lawan sama tampak lebih bersedia kali ini. Apa tidaknya, di sebalik penguasaan bola UAE pada awal permainan, tiada sebarang cubaan tepat ke gawang negara berjaya dilancarkan pelawat yang dikuatkan dengan kehadiran pemain berkualiti termasuk Omar Abdulrahman.

Begitupun, gawang negara yang dikawal baik Izham Tarmizi akhirnya bocor menerusi jaringan Omar pada minit ke-21 yang memanfaat sepenuhnya kesilapan pertahanan, Azamuddin Akil. Kesilapan Azammuddin menghantar bola kepada Omar membawa padah apabila pemain itu melepaskan sepakan lencong dari kiri luar kotak penalti menewaskan Izham. Gol Omar itu menjadi jaringan tunggal pada babak pertama sekalipun pelawat terus menguasai permainan.

Pada babak kedua, Omar terus menjadi duri dalam daging Malaysia apabila gerakannya berjaya disudahkan penyerang, Ahmed Khalil untuk gol kedua UAE pada minit ke-52. Tetapi gol itu tidak melemahkan semangat pemain Malaysia yang berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-58 menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar hasil sepakan percuma kapten, Safiq Rahim. Tiada jaringan berjaya diledakkan kedua-dua pasukan selepas itu sekalipun permainan tambah rancak. Apa yang pasti, permainan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee kali ini yang hanya memiliki masa kurang lima hari bagi mengembalikan motivasi pemainnya boleh dipuji selepas kekalahan 6-0 kepada Palestin, Khamis lalu.

Perlawanan di Stadium Shah Alam lengang tanpa kehadiran penyokong disebabkan hukuman Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas insiden kekecohan, September lalu. Pastinya, gawang Malaysia mungkin boleh bocor lebih daripada satu seandainya Izham tidak bertindak cemerlang dengan mematahkan beberapa cubaan berbahaya IAE.    


Perlawanan terakhir Malaysia pada kempen kelayakan kali ini adalah bertemu Arab Saudi dijadualkan pada Mac tahun depan. Untuk rekod, perlawanan di Shah Alam adalah perlawanan kompetetif terakhir Harimau Malaya bagi tahun ini. Kekalahan menyaksikan Malaysia kekal dengan kedudukan kedua tercorot dalam Kumpulan A selepas mengumpul empat mata.
sumber-Berita Haian online 17.11.2015

No comments:

Post a Comment