MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 19 November 2015 12:09 AM
ONG KIM SWEE bersalaman dengan pemain-pemainnya selepas perlawanan menentang UAE dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam kelmarin. utusan/Farid Janudin
KUALA LUMPUR – Harimau Malaya menafikan tanggapan pihak yang menjangkakan satu lagi kekalahan besar apabila mereka sekadar tewas tipis 2-1 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam yang tanpa penonton kelmarin.
Walaupun tetap satu kekalahan namun anak buah Datuk Ong Kim Swee berjaya bangkit daripada kekalahan besar 6-0 kepada Palestin dalam tempoh kurang lima hari dan yang paling penting mereka berjaya menyekat hajat UAE untuk mengulangi kemenangan besar 10-0 yang dilakar sebelum ini di Abu Dhabi.
Malah, pihak lawan mereka kelmarin turut memuji persembahan Harimau Malaya yang dianggapnya telah menjadi sebuah pasukan berbeza berbanding yang mereka jinakkan dengan mudah sebelum ini.
Jurulatih sementara Harimau Malaya, Kim Swee mengakui UAE merupakan pasukan yang cukup kuat dan dibuktikan dengan kedudukan ke-67 dunia, dan skuadnya memerlukan strategi yang baik untuk cuba mempertahankan gawang skuadnya daripada dibolosi banyak gol.
Katanya, anak didiknya telah menunjukkan persefahaman yang sangat baik dalam mempertahankan gawang daripada dibolosi oleh pasukan pelawat yang mempunyai jentera serangan yang sangat baik.
“Saya tak cakap 100 peratus strategi kita berhasil tetapi kita menunjukkan kemampuan jika kita betul-betul berdisiplin ketika bertahan, jadi ini satu tugasan yang cukup mencabar setelah apa yang berlaku dan bermain dengan pasukan yang cukup baik dari segi serangan dan tewas dengan dua gol.
“Perkara mustahak sekarang pemain menunjukkan persefahaman semasa bertahan sebagai satu unit yang lebih berkesan hari ini (kelmarin). Kita tahu UAE merupakan pasukan yang cukup kuat dan sudah tentu kita cuba mempertahankan gawang kita dengan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.
Jaringan menarik Omar Abdulrahman pada minit ke-21 dan Ahmed Khalil pada minit ke-52 membantu pasukan negara Arab itu membawa pulang tiga mata berharga, manakala jaringan tunggal Harimau Malaya oleh Baddrol Bakhtiar yang menanduk bola sepakan bebas ketua pasukan Safiq Rahim pada minit ke-58.
Kim Swee, yang mengakui berasa janggal bermain di stadium kosong, berkata pemain perlu menunjukkan prestasi yang konsisten dalam setiap perlawanan, terutamanya apabila bermain menentang pasukan yang lebih kuat di tempat lawan.
“Keputusan-keputusan sebelum ini menyukarkan pemain untuk bermain dengan tekanan-tekanan daripada banyak pihak dan yang penting di sini kita perlu membina daripada apa yang kita telah lakukan untuk terus ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, pengendali UAE, Mahdi Ali memuji anak buahnya yang berjaya mencapai matlamat untuk meraih tiga mata meskipun terpaksa bergelut untuk melepasi tentangan Malaysia.
“Malaysia bermain dengan baik, walaupun ketinggalan mereka bangkit untuk terus memberikan persaingan sehinggakan berjaya menghasilkan satu gol tetapi apa yang penting misi kami ke sini untuk meraih kemenangan tercapai,” katanya.
Jurulatih itu turut merungut mengenai pegawai perlawanan, yang disangkanya dari Malaysia.
“Saya tidak faham bagaimana dalam pertemuan menentang skuad negara pegawai perlawanan boleh dipilih daripada negara tersebut...ianya tidak pernah lagi berlaku dalam mana-mana perlawanan sebelum ini. Itu menjadi tanda tanya saya,” katanya dalam nada tidak berpuas hati.
Bagaimanapun dakwaan Mahdi Ali itu salah kerana pegawai yang dimaksudkannya adalah dari China.
Malaysia kini menduduki tempat keempat dalam Kumpulan A selepas mengutip empat mata dari tujuh perlawanan, manakala pasukan Arab Saudi yang membenam Timor Leste 10-0 kelmarin terus menerajui kumpulan dengan 16 mata diikuti oleh UAE (13 mata) dan Palestin (9 mata) manakala Timor Leste menduduki tangga tercorot dengan dua mata.
Malaysia akan menamatkan kempen kelayakan ini dengan berkunjung ke Arab Saudi pada 24 Mac depan. Pertemuan pertama mereka sebelum ini dicemari oleh kekecohan penonton di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu, di mana Arab Saudi diberikan kemenangan 3-0 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Malaysia juga dikenakan hukuman bermain satu perlawanan di tempat sendiri tanpa penyokong.
Peluang Malaysia untuk meneruskan kemaraan dalam kelayakan Piala Dunia sudah tertutup terus namun masih mempunyai harapan untuk bermain dalam playoff Piala Asia.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/uae-anggap-harimau-8232-tunjuk-peningkatan-1.159847#sthash.oRF8ybC0.dpuf
No comments:
Post a Comment