Ad

Saturday 31 December 2016

PFAM BIDAS KENYATAAN ANNUAR

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
HAIRUDDIN

PRESIDEN Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini mempersoalkan tugas badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam memperjuangkan hak pemain khususnya melibatkan soal tunggakan gaji.

Sebagai rekod, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu menerusi entri Facebook pada 29 Disember lepas mengkritik PFAM yang hanya tahu memberi ulasan tetapi tidak pernah menjalankan tugas untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme pemain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Namun, Hairuddin yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan menjelaskan PFAM tidak berniat untuk mencampuri pengurusan persatuan bola sepak tetapi akan memberi ulasan sekiranya mereka menerima laporan daripada para pemain (ahli PFAM) yang meminta bantuan bagi menyelesaikan masalah mereka terutama melibatkan soal gaji.

“Kami telah mencari jalan penyelesaian tetapi tetap menemui jalan buntu kerana persatuan yang diwakili pemain terbabit seolah-olah tidak serius dalam usaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji. Situasi seperti ini amat mengecewakan kami.

“Jawapan yang selalu kami terima daripada persatuan yang mengalami masalah ini ialah ketiadaan dana, menunggu duit penaja dan lain-lain. Namun, ironinya pasukan-pasukan yang terus berhutang ini masih ligat merekrut pemain-pemain baharu sebagai persiapan menjelang aksi Liga M musim depan,” kata Hairuddin semalam.

Dalam perkembangan sama, bekas pemain kebangsaan yang berasal dari Terengganu itu turut berpendapat bahawa Annuar mencari jalan singkat dengan menyalahkan PFAM berbanding menyelesaikan masalah yang dialami oleh KAFA bersama bekas dan barisan pemainnya yang difahamkan masih belum menerima gaji untuk saingan musim lepas.

“Kami akui ada segelintir pemain yang menghadapi masalah tetapi secara keseluruhan mentaliti dan profesionalisme barisan pemain kini sudah semakin baik. Namun, situasi berbeza buat pihak pengurusan pasukan yang dilihat masih kurang profesional dan matang.

“Kami percaya persatuan masih berada di takuk lama kerana isu yang berlaku pula ialah isu yang sama setiap tahun. Malah, ketika kita ke arah penswastaan liga, kebanyakan pasukan masih belum bersedia untuk keluar daripada zon selesa dan yang menjadi mangsa ialah pemain,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Hairuddin juga menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sejak PFAM ditubuhkan lebih dua tahun lalu.

“Apa yang pasti, sebagai sebuah persatuan yang mewakili pemain, kami sememangnya mengambil serius perkara-perkara yang mendatangkan masalah kepada mereka (pemain). Bola sepak merupakan punca rezeki pemain dan kami akan terus berjuang demi keadilan,” ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4USyfmkOu Hakcipta terpelihara

STRUKTUR MASYARAKAT JAHILIAH II

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Struktur Masyarakat Jahiliah
ASPEK SOSIAL
Pembahagian Masyarakat.
Masyarakat Jahiliah dapat dibahagikan kepada dua golongan, iaitu masyarakat Badwi dan masyarakat Hadari.
Masyarakat Badwi
Masyarakat Badwi merujuk kepada masyarakat yang menetap diluar bandar seperti di kampung  dan kawasan pedalaman di bahagian tengah dan utara Tanah Arab.Mereka terdiri daripada keturunan yang tidak bercampur gaul dengan kaum lain. Mereka terdiri daripada satu suku atau keturunan yang dikenali sebagai kabilah dengan institusi sosial dan politik yang tersendiri.[1]

Masyarakat Badwi tinggal menetap di satu-satu kawasan dan sering berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain.Perpindahan tersebut berdasarkan kepada aktiviti kehidupan seperti menjalankan pertanian dan penternakan, mencari tempat perlindungan di padang pasir daripada bencana ribut pasir dan mencari kawasan yang bebas daripada ancaman kabilah-kabilah lain.

      Biasanya masyarakat Arab Badwi menetap sementarta di wadi dan oasis dalam khemah yang diperbuat daripada kulit binatang dan kulit kayu. Aktiviti kehidupan  yang utama ialah menternak binatang seperti unta dan kibas.

      Sifat masyarakat Arab Badwi ialah tahan lasak, berani, keras hati, semangat gotong-royong, pemurah, amanah dan mematuhi janji. Ibn Khaldun menyatakan ,”Mereka sentiasa membawa senjata dengan bersendirian di tengah-tengah padang pasir”. Situasi tersebut menggambarkan sifat keberanian yang ada pada diri masyarakat Arab Badwi.[2]

MASYARAKAT HADARI.
Masyarakat Hadari merujuk kepada masyarakat Arab yang menetap di bandar dan pinggir bandar di bahagian Selatan Tanah Arab berhampiran Laut Merah dan Laut Hindi. Mereka terdiri daripada golongan cerdik pandai dan berasal daripada golongan  keturunan bangsawan. Mereka mempunyai hubungan yang luas dengan kabilah atau suku Arab yang lain terutama dalam hubungan perdagangan.[3]

      Corak kehidupan masyarakat Hadari berbeza dengan masyarakat Badwi.  Mereka memiliki kemewahan , kesenangan hidup dan tinggal menetap. Selain daripada perdagangan, aktiviti kehidupan mereka juga bergantung kepada pertanian  dan pertukangan . Antara kawasan penenpatan utama masyarakat Hadari ialah Makkah dan Taif sebagai pusat perdagangan, Yathrib sebagai pusat pertanian dan Yaman sebagai pelabuhan bebas.

      Walau pun masyarakat jahiliah Badwi dan Hadari terdiri daripada beberapa suku kaum, tetapi mereka berasal daripada satu keturunan sahaj, iaitu keturunan semitik.[4]         

      Sistem masyarakat sebelum Islam sama ada masyarakat Badwi atau masyarakat Hadari adalah berdasarkan kabilah. Semua anggota kabilah berasal daripada satu keturunan darah dan mereka bersatu di bawah ketua yang dikenali sebagai “Sheikh”.

      Kehidupan masyarakat Arab Zaman Jahiliah diikat oleh semangat assabiah atau fanatik kekabilahan yang merupakan asas yang kuat dalam masyarakat mereka demi kepentingan individu dan kabilah mereka. Permusuhan dan peperangan sering tercetus antara satu kabilah dengan kabilah yang lain, terutamanya disebabkan oleh perebutan mata air atau kawasan padang rumput.Mereka juga mempunyai sikap membalas dendam yang membawa kepada peperangan  dan permusuhan yang berpanjangan  ekoran daripada semangat assabiah ini.[5]

      Keinginan kepada nama, kuasa, pengaruh dan harta benda menjadi lambang kemegahan kabilah menyebabkan mereka sanggup berperang sesama sendiri. Kadang kala hanya disebabkan seekor unta, peperangan boleh berlarutan selama berpuluh-puluh tahun. Sebagai contoh peperangan yang berlaku antara suku Bakr dan suku Taghlib yang berlangsung selama 40 tahun yang berpuncadaripada seekor unta.

      Pada Zaman Jahiliah, wanita tidak diberikan tempat atau kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat, malahan wanita dianggap membawa sial. Oleh itu, mereka sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup dan mereka lebih suka mempunyai ramai anak lelaki.

      Hal yang sama juga berlaku kepada golongan hamba kerana mereka dipandang hina dan mempunyai staus yang rendah pada pandangan masyarakat. Pada dasarnya, sistuasi sosial sebegini berlaku kerana masyarakat Arab berada dalam kegelapan daripada sebarang petunjuk agama yang benar dan mengalami keruntuhan akhlak menyebabkan mereka sering melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.[6]
   
ASPEK EKONOMI
      Keadaan geografi dan ketidakstabilan politik Semenanjung Tanah Arab tidak mengizinkan orang Arab mencipta kemajuan ekonomi  terutama masyarakat Badwi yang hidup secara berpindah-randah. Kegiatan ekonomi utama masyarakat Arab Badwi ialah menternak binatang secara nomad. Antara binatang yang diternak ialah unta,kambing dan biri-biri. Mereka hidup berpindah-randah untuk mencari kawasan rumput dan air bagi binatang ternakan mereka.

      Unta ialah binatang yang penting bagi masyarakat ini kerana unta dijadikan sebagai alat tunggangan dan alat mengangkut barang selain membekalkan susu, bulu dan belulang. Selain menternak binatang , terdapat sebahagian daripada mereka yang melakukan aktiviti bercucuk tanam di kawasan oasis.

      Selain itu terdapat juga sebahagian orang Arab Badwi yang menjalankan aktiviti rompakan dalam kalangan kafilah  pedagang yang merentasi padang pasir. Corak ekonomi masyarakat Badwi ini melambangkan kehidupan mereka yang primitif. [7]

            Sementara itu, penduduk di kota seperti Makkah dan Madinah pula kebanyakkannya bergantung pada perniagaan. Umpamanya orang Quraisy berniaga hingga ke Syam, Yaman, Habsyah dan Mesir. Aktiviti ekonomi yang lain sperti pertukangan dan kerja-kerja tangan termasuk tukang besi tidak mendapat perhatian utama bagi masyarakat Arab terutama masyarakat Badwi.

      Oleh hal yang demikian  jurang antara golongan kaya dengan golongan miskin amat luas sekalidan jelas menyebabkan berlakunya permusuhan  antara kedua-dua golongan ini. Permusuhan ini berlarutan hingga menimbulkan huru-hara dan pergaduhan yang mengakibatkan ekonomi gagal berkembang.[8]

ASPEK POLITIK
      Pada zaman jahiliah, tidak terdapat sebuah kerajaan yang mempunyai struktur pemerintahan yang teratur dan sistematik. Masyarakat Badwi hidup dalam kabilah yang merupakan satu kelompok masyarakat yang mempunyai sistem dan peraturan tersendiri. Pada mulanya mereka membentuk sebuah keluarga kecil yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak yang dikenali sebagai a’ilah. Oleh kerana mereka tinggal dalam khemah-khemah berdekatan dan berlaku interaksi sosial yang berdasarkan agama, bahasa dan keturunan , maka terbentuklah hayy. Penyatuan beberapa hayy yang juga berdasarkan interaksi, agama, bahasa dan keturunan maka terbentuk pula kabilah. Kabilah ialah penyatuan masyarakat melalui satu agama, bahasa dan keturunan.

      Setiap kabilah mempunyai institusi tersendiri dengan melantik seorang ketua yang dikenali sebagai syeikh bagi menerajui dan mengetuai pentadbiran dalam kabilah. Biasanya ketua dilantik daripada golongan bangsawan yang berwibawa tinggi dalam semuaaspek seperti berani, pintar, berilmu, dihormati dan sebagainya.[9]     

      Organisasi politik yang terdapat dalam masyaraka jahiliah sangat sederhana, iaitu berdasarkan kepada kekuasaan yang ada pada seseorang ketua. Dalam menjalankan pentadbiran ketua tidak mempunyai kuasa politik sepenuhnya kerana segala keputusan adalah berdasarkan kehendak bersama. Ketua hanya menjalankan tugas yang telah diputuskan. Dalam pada itu sistem politik masyarakat hadari lebih stabil jika dibandingkan dengan masyarakat Badwi.

      Dlam bidang perundangan, masyarakat jahiliah tidak mempunyai sistem perundangan yang sistematik. Hanya undang-undang membalas dendam san semangat kesukuan. Contohnya sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh sesuatu suku kepada suku yang lain, hukumannya ialah membalas dendam. Kelemahan dalam pentadbiran dan kedudukan politik masyarakat jahiliah tergugat kerana penjajahan kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi di Bahagian Utara dan Rom, Habsyah dan Parsi di Bahagian Selatan. Makkah tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa.[10]





[1] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd,2015),7.
[2] Ibid,7.
[3] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd,2015) 7.
[4] Ibid.
[5] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2015), 5.
[6]Ibid.
[7] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2014), 6.
[8] Ibid.
[9] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd,2015),9.
[10] Ibid.

Friday 30 December 2016

Sultan Kelantan Yang di-Pertuan Agong ke-15

 
Sultan Muhammad V melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

BERKUAT kuasa 13 Disember lalu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, 47, telah memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 89, untuk tempoh lima tahun selepas Tuanku Muhammad V dipilih dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas kali ke-243 di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2016.

Pemilihan tersebut diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan dihadiri semua sembilan orang raja Melayu. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ini merupakan kali kedua Sultan Kelantan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sebelum ini, nenda Tuanku Muhammad V, Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong keenam bermula 21 September 1975 hingga kemangkatan baginda pada 29 Mac 1979.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4UOYHgyv7 

Kalah debaran nikah

 
FAIZ sekeluarga berbesar hati akan ke Zurich.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my 
Kuala Lumpu: Mohd Faiz Subri yang tercalon dalam senarai tiga finalis akhir Anugerah Puskas FIFA 2016 mengakui cukup teruja menantikan tarikh 9 Januari depan yang hanya berbaki 10 hari.

Dia yang akan berangkat ke Zurich, Switzerland bersama ahli keluarganya dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Januari, jam 10.15 pagi dan pulang ke tanah air, 11 Januari, jam 3.15 petang.


Katanya, debaran menghadiri anugerah itu semakin memuncak dan berharap mampu dinobatkan pemenang sekali gus muncul pemain Asia pertama memenangi anugerah itu.

“Semakin dekat tarikh anugerah, hati saya makin berdebar. Rasanya lebih berdebar daripada majlis pernikahan dulu, mungkin sebab harapan yang terlalu tinggi diletakkan di bahu saya.

“Namun saya tidak letakkan sasaran tinggi kerana tercalon dalam tiga senarai akhir ini sudah cukup baik,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pada 2 Disember lalu, FIFA menerusi laman web rasminya www.fifa.com mengumumkan gol ajaib Faiz tersenarai antara tiga calon akhir untuk Anugerah Puskas bersama pemain kelab Corinthians dari Brazil, Marlone dan pemain wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Pemain Pulau Pinang itu tercalon melalui jaringan hasil tendangan percuma pada aksi Liga Super ketika pasukannya menentang Pahang di Stadium Bandaraya, Februari lalu.

Pada majlis itu nanti, Faiz bakal ditemani isteri Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan, lapan bulan.

Malah, pemergian mereka turut ditemani Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah dengan badan induk bola sepak negara itu sendiri menaja tiket penerbangan Faiz dan keluarganya.

Berkongsi persediaan keluarganya ke Zurich, Faiz mengakui bimbang mengenai cuaca sejuk di bumi Eropah ketika ini.

“Kami sekeluarga sudah mendapatkan baju sejuk bagi perjalanan ke sana. Maklumlah cuaca di sana tak sama dengan Malaysia, saya harap keadaan sejuk itu tidak menjejaskan kesihatan anak nanti,” katanya.

Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.

Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2009, anugerah bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun dimenangi beberapa bintang dunia. antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar Jr dan James Rodriguez.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:30 AM

Gugurnya legenda seni bangsa

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
dan HARYATI KARIM
KISAH seorang pejuang berakhir di medan peperangan, namun penamat dendangan seorang Biduan Negara bernama Tan Sri SM Salim yang menutup hubungan dengan dunia tepat pukul 5.45 petang semalam juga sebuah perjuangan paling dahsyat, biarpun menghembus nafas tenang di sisi isteri dan anak-anak.

Setelah 18 tahun melawan penyakit saraf yang dideritai, lima tahun bintang legenda itu mengisi sisa-sisa hari tuanya bertemankan kerusi roda sehinggalah semalam. Pentas yang selama ini menjadi saksi nadi perjuangannya bertukar menjadi perbaringan. Di situlah Allahyarham menghitung hari, siang berganti malam, minggu berakhir bulan, sehinggalah bertahun-tahun sepi daripada keriuhan dunia yang mengangkat namanya sebagai ikon seni dan budaya bangsa selama ini.

Bersenjatakan rentak Melayu dan lirik kata pedoman pelita zaman, beliau mengajar betapa indahnya menjadi bangsa Melayu menerusi lagu-lagu dendangannya seperti Pasir Roboh, Seri Siantan, Bunga Tanjung, Joget Kasih Bermula, Mohon Kasih, Selamat Tinggal Bungaku.

Lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling, Satu, Apa Dah Jadi, Pantun Budi, Cinta Dulu Cinta Sekarang dan Dulu Lain Sekarang Lain pula tidak ubah seperti nasihat daripada seorang bapa kepada anak-anak bangsa.

Pedoman

Biar seribu tahun waktu beredar, lagu-lagu beliau kekal menjadi khazanah bangsa, semerbak wangi di setiap penjuru jiwa selama-lamanya.

“Kita telah kehilangan seorang legenda. Artis muda harus menghargai orang seperti beliau. Arwah seorang yang suka berjenaka dan paling tidak boleh dilupakan sampai hari ini ialah kata-kata nasihatnya.

“Beliau menyatakan, setinggi mana kita pergi, akhirnya akan jatuh ke tanah jua. Oleh itu, sentiasalah merendah diri. Saya akan pegang nasihatnya sampai mati.

“Selepas berduet lagu Satu dan Putih Tetap Putih, kami selalu bertemu dan sama-sama menjayakan persembahan. Beliau seorang yang amat profesional. Ketika datang latihan, beliau sudah tahu tentang lagunya. Orangnya memang sangat berdisiplin tinggi, sangat baik dan sering melakar senyuman. Kalau artis lain lambat, beliau tidak pernah tarik muka,” beritahu Zainal hiba.
  
Gandingan bersama nama-nama hebat seperti Sheila Majid menjadikan SM Salim seorang penyanyi irama Melayu Asli yang merentasi zaman.

Bagi Zainal, kehilangan SM Salim tidak ubah seperti kehilangan seorang ayah.

“Saya masih terkejut kerana saya baru melawatnya pada waktu Asar (semalam). Tidak sampai dua jam pulang ke rumah, saya dihubungi Kosmo! tentang pemergian beliau,” tambah Zainal lagi.

Sepanjang hayatnya, sejak 1979, SM Salim pernah menzahirkan 14 buah album termasuk empat buah album kompilasi antaranya Bunga Ros, Apa Dah Jadi, 1, Nanti Dulu, Jeling Menjeling, Perjalanan Seni dan Sekarang Dah Jadi.

Menjadikan beliau seorang penghibur yang kekal relevan di hati khalayak, tidak sahaja lagu solo, duetnya bersama beberapa bintang terkenal seperti Datuk M. Nasir menerusi lagu Seloka Cak Kun Cak, Datuk Zainal Abidin (Satu dan Putih Tetap Putih), Datuk Sheila Majid (Entah Jadi Entahkan Tidak) dan Datuk Ramli Sarip (Selapis Kasih, Sedulang Rindu) telah mengangkat lagi pengaruh beliau sebagai ikon seni serta budaya bangsa.

Bagi Siti Nurhaliza, pemergian SM Salim merupakan kehilangan tokoh seni serba boleh buat industri muzik Malaysia. Beliau dianggap seperti bapa yang banyak memberi nasihat dan contoh yang baik. Ilmu beliau boleh dimanfaatkan artis generasi kini.

“Pengalaman berduet bersama beliau menerusi lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling serta Bergending Dong Gong merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Beliau seorang yang banyak memberi nasihat walaupun gemar menyelitkan lawak jenaka dalam persembahan mahupun di luar pentas. Beliau seorang yang sangat rajin memberi didikan yang baik untuk dicontohi,

“Saya sangat bersedih atas pemergian beliau dan mendoakan agar rohnya diangkat bersama golongan hamba yang beriman. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga beliau. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menziarah kerana ketika ini saya berada di Jakarta, Indonesia,” luah Siti ketika dihubungi Kosmo!
 SM Salim sewaktu bertugas sebagai juruhebah Radio Malaya

Jasa

Kisah SM Salim sebagai anak seni sejati bukan hanya diketahui oleh peminat dunia hiburan. Sewaktu muda beliau terpilih menjadi antara artis yang diundang untuk menghiburkan tentera dari pelbagai negara ketika tentera Malaysia berada di Congo bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1960.

Selepas kembali dari Congo bersama-sama dengan penggesek biola, Allahyarham Hamzah Dolmat dan pelawak, Ismail Bontak, beliau menerima pingat pertama Ahli Mangku Negara (AMN) daripada kerajaan.

Bersatu hati dengan penggiat seni lain untuk sama-sama memartabatkan industri muzik, beliau juga aktif dalam berpersatuan.

“Saya mengenali beliau sejak 1985. Waktu itu saya mengambil alih jawatan sebagai Presiden Persatuan Penyanyi-Penyanyi Tanah Air (Papita) dan beliau pula menyandang jawatan Timbalan Presiden. Jadi, hubungan kami agak rapat sebab saling bekerjasama.

“Kalau bercerita tentang karakter, beliau seorang periang, suka bercerita dan berjenaka. Beliau cukup dekat di hati saya sebab kami berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada 30 Julai, cuma tahun sahaja berbeza. Beliau tua 18 tahun daripada saya.

“Saya doakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” cerita A. Rahman tersayap pilu.

Menurut A. Rahman, sesuatu yang sangat istimewa tentang SM Salim, walaupun memperjuangkan lagu irama Malaysia, nyanyiannya unik berbanding penyanyi lain. Beliau boleh menyanyi seperti bercakap, contohnya menerusi lagu Cinta Dulu Cinta Sekarang dan Apa Dah Jadi.

“Beliau menyanyi tidak ikut tempo, boleh jadi lebih cepat atau lambat daripada muzik dan ada stail ghazal. Nyanyian beliau bagaimanapun tidak sumbang. Beliau menyanyi ikut rasa hati dan tidak semua orang boleh buat. Sukar untuk mencari ganti orang hebat sepertinya,” tambah penyanyi irama pop yeh yeh itu.

Melangkaui enam dekad menjadi bintang menghiasi langit seni tanah air, jasa SM Salim menyuntik nilai-nilai moden dalam lagu irama Melayu Asli, zapin dan ghazal amat disanjung tinggi.

Pengiktirafan

Pengaruh dan kejituan karya serta keperibadian SM Salim menjadikan beliau bukan sembarangan penghibur. Pencapaian tertinggi dalam hidupnya ialah dianugerahkan pingat Darjah Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2 Jun 2001 yang membawa gelaran Tan Sri. Beliau menjadi seniman kedua selepas Allahyarham P. Ramlee.

Karier seni pemilik nama penuh Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al-Mahros yang dilahirkan pada 30 Julai 1928 itu bermula apabila beliau bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya (sekarang RTM) secara sambilan semenjak 1957.

Ketika itu beliau dikenali dengan lagu-lagu Melayu klasik. Lewat 1950-an, beliau menganggotai kumpulan Irama Melayu sebelum menyertai Orkestra Puspati. Ketika itu, P. Ramlee sendiri turut menjadi insan yang banyak mempengaruhi kerjaya seninya.

Radio jugalah yang memperkenalkan siapa Allahyarham kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.

“Sejak berusia 10 tahun lagi, saya sudah kagum dengan kepetahan penyampaiannya yang ketika itu bertugas sebagai juruhebah radio. Dahulu tiada televisyen, jadi orang cuma dengar radio untuk hiburan. Beliau bukan setakat boleh menyanyi, tetapi melawak dan berpantun dengan baik.

“Saya juga berpeluang merakamkan lagu berjudul Lagu Zaman bersama arwah dan Usop Kopratasa. Dahulu, kami sering bertemu kerana berada bawah label sama iaitu Warner Music. Sewaktu rakaman kami tidak pernah ada masalah, memudahkan kerja semua orang, suka mengusik dan senang didekati. Gurauan beliau agak pedih tetapi mesra,” cerita Jamal.

Semalam, rembang petang Khamis telah menjadi langit mendung buat seluruh warga daerah seni tanah air.

Seluruh peminat tidak kira tua atau muda amat tahu, bahawa SM Salim merupakan seniman patah hati selama hayat seninya.

Bahkan ketika terlantar di rumah beberapa tahun lalu, beliau masih meluahkan kerinduan untuk menyanyi di atas pentas setiap kali diwawancara wartawan.

Semalam juga, hanya ungkapan terima kasih atas segala curahan ‘peringatan’ indah selama ini, yang mampu dibisikkan kepada arwah.

Kesempatan menziarahi beberapa jam sebelum Allahyarham berangkat ke negeri abadi pasti akan dikenang sepanjang hayat selama bergelar wartawan hiburan. Al-Fatihah.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4UL44dyPo Hakcipta terpelihara

Thursday 29 December 2016

KERETA HENRY GURNEY DITEMBAK KOMUNIS.

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Pada 1984 saya menyertai rombongan KAMSIS E, Universiti Kebangsaan Malaysia melawat Muzium Negara, Kuala Lumpur.Ini merupakan kali pertama saya menyerai lawatan KAMSIS E, sejak mula menetap di Kamsis tersebut pada bulan Jun 1984. Sebagai pelajar  sejarah tahun 1 di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, saya mengambil kesempatan untuk melihat dan mengkaji kesan Darurat 1948 sehingga menyebabkan Pesuruhjaya Tinggi Great Britain, Sir Henry Gurney diserang hendap dan ditembak mati pada 5 Oktober 1951.

Pada 5 Oktober 1951, bekas Pesuruhjaya Tinggi Great Britain, Sir Henry Gurney, isteri dan setiausahanya, Encik D.J Staples sedang dalam perjalanan Bukit Fraser untuk menghadiri suatu mesyuarat. Parti Komunis Gerila Malaya telah menyerang hendap Rolls Royce semasa tempoh Darurat Malaya. Sir Henry Gurney terbunuh sewaktu beliau keluar ke arah bedilan itu demi melindungi isteri dan setiausahanya. Walaupun, isteri dan setiausaha beliau terlepas tanpa kecederaan, namun terdapat kesan tembakan sebanyak 35 lubang peluru yang dikira pada Rolls Royce.[1]

      Kereta ini kemudiannya digunakan sebagai kenderaan Kerajaan Negeri oleh Almarhum Raja Tun Uda, Gabenor Pulau Pinang yang pertama pada 1 September 1957. Pada tahun 1967, Kerajaan Negeri memutuskan supaya kereta ini dipamerkan di muzium apabila sebuah kereta ‘Cadillac’ baru dibeli sebagai gantinya.Kereta ini adalah buatan model 1951 dengan RE8812 sebagai nombor enjinnya. Kereta ini berasal dari England dan dihadiahkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) pada  25 April 1979. Kereta ini yang sepatutnya didaftarkan dengan nombor P1.[2]






[1] http://www.penangmuseum.gov.my/museum/ms/museum/blog/rolls-royce
[2] Ibid.

Hj. Muhammad bin Mohd Said. 1888-1939

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
      Hj. Muhammad bin Mohd. Said (1888-1939). Beliau merupakan seorang ulamak, pentadbir, wartawan dan penulis. Beliau dilahirkan pada 30 Januari 1888 di Kampung Dalam Kubu, Kota Bharu, Kelantan. Nama sebenarnya ialah Haji Muhammad bin Muhammad Said Khatib. Beliau mendapat pendidikan awal dengan ayahnya seorang ulamak dan khatib sehingga beberapa kali khatam quran.Pada tahun 1902 beliau ke Mekah.

      Beliau juga sempat belajar di Mesir selama empat tahun. Beliau memnerima semangat baru daripada pengajaran Syed Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Beliau pulang ke Kelantan pada tahun 1914. Pada tahun 1915 besama-sama Dato’ Paduka Nik Mahmud Ismail dan Tok Kenali menubuhkan Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan beliau dilantik sebagai setiausaha.Dengan inisiatifnya dan sokongan kerajaan Kelantan, pada tahun 1917 Madrasah Muhammadiah dibina di bawah kendalian Majlis. Pada tahun yang sama Masjid Muhammadi dibina.

      Beliau menyandang jawatan Setiausaha Majlis dari tahun 1915 hingga tahun 1919 dan manjadi Pengarang Pengasuh 1919 hingga 1933 . Beliau menjadi daya penggerak dan pembina kepada pentadbiran organisasi tersebut. Pada 20 April 1918 beliau dikurniakan gelaran Datok Bentara jaya, manakala pada 15 April 1920 pula beliau dikurniakan gelaran Datok Laksamana. Pada tahun 1925 beliau dilantik menjadi Setiausaha kerajaan negeri Kelantan. Dalam bidang penulisan, beliau memakai nama samaran Hasyim Mohammad, Min Ain, Musyfa. Tulisan-tulisan Datok Laksamana banyak memperlihatkan pengaruh aliran reformasi yang ditimbanya sewaktu belajar di Mesir.

      Sebagai penulis dan wartawan yang kreatif. Pada tahun 1922 beliau menulis sebuah novel  bertajuk Kecurian Lima Milion Ringgit , iaitu penulis novel yang pertama di tanah Melayu. Antara karya lain yang pernah diterbitkan ialah Rampai-rampaian, Dua Penggal 1922, Al-Fawaid Al-Jammah, Al-Fawakih Al-Syhaiah, Al-Fawaid Al-Zahirah, Hijab Al-Absar dan Al-Thamarat Al-Mutalaah. Pada tahun 1933 Datok Laksamana meletak jawatan dan beliau meningal dunia pada 20 Mac 1939.
      Karya-karya  Hj. Mohammad bin Muhammad Said.
Pensejarahan sosial.
  1. Mohammad Said, “Tarikh Awal Surat khabar Dunia”, Bil.1, 11 Julai 1918, hlm.6-7.
  2. “Pelajaran Inggeris Di Madrasah Muhammadiah Dibuka Semula Setelah         
  3.  “Ulang Tahun Ketiga Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan”,
        Pengasuh, Bil.13, 2 Januari 1919, hlm.8.
  1. “Istiadat Perarakan Burung Petala Indera, hlm.8
  2. “Terbakar Besar Di Dalam Bandar Kota Bharu”, Bil.18, 17 Mac 1919, hlm.7.
  3.  __________. “Kehidupan Surat-Surat khabar Melayu dan Kemajuannya”, Pengasuh, Bil.51, 16 Julai 1920, hlm.7-8.
 Pensejarahan Riwayat Hidup Tokoh.
1. Hj. Mohammad Mohd. Said, “Sirah Yang Mempunyai Syariat Islamiah I”, Pengasuh, Bil.
 Pensejarahan Politik
  1. Hasyim Muhammad, “Peraturan Bagi Beberapa Perangai Raja-Raja”,
      Pengasuh, Bil.14, 18 Januari 1919, hlm.3-4.

Pensejarahan Kenegaraan.
1.  Muhammad bin Said, “Kemajuan Pada Peraturan Undang-Undang Kerajaan Inggeris”, Pengasuh, Bil.6, 21 September 1918, hlm. 3-5.

Pensejarahan Ekonomi.

Wednesday 28 December 2016

Hilang sebuah tanda sejarah

NORFARHIZA MOHD ATAR
24 DISEMBER 2016
Hilang sebuah tanda sejarah
Hilang sebuah tanda sejarah Rumah dan pejabat Perhilitan zaman kolonial British di Kampung Bukit Betong yang pernah didiami Theodore Rathbone Hubback kini hanya tinggal kenangan
BUKIT BETONG - Sebuah rumah tinggalan sejarah zaman kolonial British di Kampung Kelua, Bukit Betong, di sini, kini hanya tinggal kenangan.

Kediaman yang dibina di atas tanah persendirian itu telah dirobohkan berikutan pemilik tanah membina tapak semaian pokok kelapa sawit.

Ketua Kampung Bukit Betong, Badra Isa Abdul Hamid berkata, rumah lama tersebut pernah didiami Pegawai Pusat Konservasi dan Pemuliharaan Hidupan Liar kawasan Hulu Jelai, Theodore Rathbone Hubback.

Menurutnya, Hubback yang dilahirkan pada 1872 pernah tinggal dan menjadikan kediaman itu sebagai pejabat Perhilitan sehingga 1942.

“Tarikh sebenar kediaman tersebut dibina kita tidak pasti tapi ciri-ciri dan keunikan seni bina rumah lama tinggalan zaman British itu jelas menunjukkan ia ada nilai sejarah.

“Kalau ikutkan memang sayang nak robohkan kerana ia merupakan salah satu bangunan lama zaman British yang masih terpelihara. Namun kita tiada hak untuk halang pemilik tanah,” katanya, semalam.

Badra Isa berkata, bapanya, Allahyarham Abdul Hamid pernah bekerja sebagai tukang masak di kediaman tersebut sewaktu Hubback bertugas sebagai pegawai Perhilitan.

Menurutnya, suatu ketika dahulu kediaman itu antara paling besar dan luas di Kampung Bukit Betong.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 24 DISEMBER 2016

Tuesday 27 December 2016

Tidak dapat pakai baju Melayu

28 Disember 2016 12:05 AM
 Mohd. Faiz Subri
Mohd. Faiz Subri
KUALA LUMPUR 27 Dis. – Calon anugerah Puskas, Mohd. Faiz Subri mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk memakai pakaian tradisional, baju Melayu di Zurich, 9 Januari depan kerana perlu menghormati kod pemakaian majlis anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu.
Kata Mohd. Faiz, biarpun sedikit kecewa tidak dapat memakai baju Melayu, namun dia tetap akan membawa pakaian tersebut ke Zurich dan berusaha mendapatkan pertimba­ngan terakhir penganjur ketika di sana bagi membolehkannya menyarung pakaian tradisional tersebut.
Tambah Mohd. Faiz, pihak FIFA menerusi jemputan rasmi telah memaklumkan kepadanya agar menyarung sut hitam pada majlis tersebut.
“Saya juga telah menempah suit yang ditaja oleh Kinslager dan kemungkinan besar akan memakai sut tersebut seperti yang diminta oleh penganjur berhubung kod pemakaian.
“Dalam masa sama saya juga akan membawa dua persalinan lengkap baju Melayu ke Zurich dan sekiranya dibenarkan untuk memakainya saya akan terus memakainya sekiranya tidak maka tiada apa yang boleh dilakukan selain menghormati permintaan penganjur FIFA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Faiz mengimpikan untuk hadir di Zurich dengan mengenakan baju Melayu andai mendapat kebenaran FIFA selain akan bertutur dalam bahasa kebangsaan sekiranya memenangi anugerah Puskas tersebut.
Ketika ini, Mohd. Faiz memberitahu persiapannya untuk majlis tersebut berjalan lancar dan memaklumkan akan bertolak ke Zurich pada 8 Januari 2017.
“Persiapan telah dibuat dan itu membuatkan saya lebih tenang sekali gus dapat memberikan fokus kepada persediaan bersama Pulau Pinang untuk menghadapi musim baharu,” kata Mohd. Faiz.
Pada 9 Januari ini, Mohd. Faiz akan bersaing de­ngan dua lagi calon iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tidak-dapat-pakai-baju-melayu-1.425095#sthash.2lycC7Rm.dpuf

PENERBITAN AKHBAR SEMASA PENDUDUKAN JEPUN

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

      Semasa pendudukan Jepun (1941-1945), cuma10 buah akhbar sahaja diterbitkan.[1] Ini kerana Jepun menguasai penerbitan akhbar-akhbar Melayu dan menerbitkan akhbar-akhbar Jepun sendiri untuk menyiarkan propaganda menyokong Jepun.

     Kesatuan Melayu Muda pimpinan  Ibrahim Yaakob  telah  menggunakan  akhbar  Warta Malaya dan Majlis untuk menyalurkan perjuangan KMM.[2] Pihak Jepun memberi bantuan kewangan kepada Ibrahim Yaakob  untuk  membeli  akhbar  Warta Malaya yang menjadi alat untuk membangkitkan Semangat anti-British di Malaya.

      Akhbar yang selaras dengan kehendak Jepun sahaja boleh diterbitkan. Contohnya Majlis menerbitkan akhbar Perubahan Baru,manakala dipercetakan Utusan Melayu pula dikeluarkan Warta Malai. [3] Menurut Noriah,di Perak diterbitkan dua buah akhbar iaitu, Chahaya Timur dan Berita Perak. Di Pulau Pinang diterbitkan akhbar Penang Shimbun Sha dan Pancaran Matahari. Manakala di Kuala Lumpur diterbitkan akhbar Perubahan Baru dan  Berita Malai.[4]




              [1] Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an,hlm.31.
[2]KMM ditubuhkan oleh Ibrahim Yaakob pada Ogos 1938  dan berjuang untuk menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia.
              [3] ibid., hlm.31
              [4]ibid., hlm.33.