Ad

Sunday 4 December 2016

Faiz ke Zurich

Ketepikan cabaran Messi, Neymar untuk calon gol tercantik
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  03 Disember 2016 12:22 AM
 MOHD. FAIZ SUBRI (kiri) akan ke Zurich pada 9 Januari depan untuk mengetahui sama ada jaringannya te
MOHD. FAIZ SUBRI (kiri) akan ke Zurich pada 9 Januari depan untuk mengetahui sama ada jaringannya terpilih sebagai pemenang Anugerah Puskas.
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Bakal berkongsi pentas bersama beberapa bintang terkemuka dunia sudah pasti menjadi kenangan terindah kepada Mohd. Faiz Subri apabila jaringannya berjaya tersenarai dalam tiga calon akhir yang akan merebut Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.
Kejayaan itu turut melakar sejarah tersendiri apabila jaringan Faiz berjaya mengetepikan dua pencabar bertaraf bintang dunia iaitu Lionel Messi dan Neymar dalam 10 calon akhir.
Kini hanya tinggal dua pencabar yang perlu dihadapi Faiz di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan iaitu pemain dari Brazil, Marlone dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela yang turut terpilih ke dalam pengundian peringkat kedua.
“Alhamdulillah saya ber­syukur dengan rezeki yang diberikan ini. Saya rasa seperti bermimpi dan tidak menjangkakan saya dapat peluang seperti ini. Terima kasih kepada ibu bapa saya, rakan sepasukan di Pulau Pinang, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan seluruh rakyat Malaysia kerana sudi mengundi saya.
“Bagi saya ini bukan kejayaan saya seorang tetapi seluruh rakyat Malaysia terutamanya peminat bola sepak tempatan.
“Bakal berkongsi pentas bersama pemain terkemuka di dunia menjadi idaman bagi setiap pemain dan saya fikir ini merupakan satu penghargaan yang amat bermakna dalam hidup saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas mengenai kejayaannya mengetepikan dua bintang tersohor dunia Messi dan Neymar, Faiz berkata itu membuktikan peminat bola sepak mengiktiraf jaringan dan tidak memilih berdasarkan populariti.
“Bagi saya, kejayaan me­nge­tepikan Neymar dan Messi bukan menjadi keutamaan kerana apa yang penting adalah jaringan saya dipilih oleh peminat kerana mereka benar-benar menghargainya walaupun saya bukanlah pemain terkemuka dunia.
“Ini merupakan satu pengiktirafan yang hebat pernah saya terima. Saya berharap dengan kejayaan ini saya dapat mengembangkan lagi karier saya sebagai pemain bola sepak profesional malah turut memberi suntikan motivasi dalam bidang yang saya ceburi.
“Jika berpeluang, insya-Allah saya akan cuba melakukan jari­ngan seperti ini pada masa depan,” katanya lagi.
Jaringan Faiz dari jarak 30 meter menjadi viral di internet selepas ia melambung, melencong sebelum menerjah gawang ketika dia membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu.
Pemenang Anugerah Puskas 2016 bakal ditentukan dalam satu lagi proses undian yang dilakukan oleh peminat dan tarikh akhir untuk mengundi adalah 9 Januari.
Pemenang akan diumumkan bersama pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia Tahunan (Ballon d’Or) dalam Majlis Anugerah FIFA.
Setakat 10 malam ini, video jaringan Faiz sudah ditonton lebih daripada 1.3 juta manakala Marlone 900,000 dan Rodriguez 618,000. Undian boleh dibuat di http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/faiz-ke-zurich-1.415443#sthash.Tlc86thG.dpuf

No comments:

Post a Comment