R. Gopinathan juga dalam perjalanan ke Melaka United
NURSURAYA ZULKIFLI | 11 Disember 2016 12:12 AM
MELAKA 10 Dis. - Kapten Harimau Malaysia, Amri Yahyah semakin hampir untuk menyarung jersi Melaka United (MU) musim depan, namun keputusan muktamad hanya diketahui Isnin ini apabila rundingan akhir di antara kedua-dua pihak dijalankan.
Penyerang berusia 35 tahun itu yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Wak Am’ dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka sejak beberapa minggu lalu.
Malah, skuad Sang Kancil tidak pernah menyembunyikan minat untuk menggunakan khidmat penyerang berpengalaman tersebut, apatah lagi mereka bakal bersaing dalam Liga Super musim depan dan perlu menguatkan pasukan.
Namun, apa yang menjadi halangan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) untuk membawa Amri atau mana-mana pemain berstatus bintang selama ini adalah kurangnya dana untuk berbelanja besar.
Bagaimanapun pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, terdapat beberapa penaja yang menyatakan kesediaan untuk membantu MUSA membayar separuh daripada gaji Amri seandainya bekas bintang Selangor itu menyertai Melaka United.
"Ada pihak yang mewakili Amri telah bertemu saya untuk berbincang mengenai perkara ini dan saya telah bersetuju untuk berjumpa beliau bagi berbincang dengan lebih lanjut.
"Sudah tentu jika ada pemain berpengalaman dan berstatus bintang menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan, kita berasa gembira.
“Namun perkara ini juga perlu diteliti sedalamnya kerana ia melibatkan beberapa aspek. Melaka United mempunyai kekangan dari segi kewangan.
"Kita akan bincang dengan Amri dan keputusan mengenainya akan diketahui nanti selepas kata sepakat dicapai seterusnya barulah kita bincang lebih lanjut mengenai gaji," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas melawat projek Mural @ Learning Zone di Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.
Sebelum ini, desas-desus turut mengaitkan Amri akan pulang ke pangkuan Selangor dalam Liga Malaysia musim depan, namun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) difahamkan keberatan untuk memenuhi gajinya yang agak tinggi.
Mohd. Yusoff tidak mendedahkan berapa gaji yang ditawarkan kepada Amri untuk membolehkannya beraksi bersama skuad Sang Kancil, namun Mingguan Malaysia difahamkan gaji pemain kebangsaan itu mencecah RM100,000 sebulan di Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam pada itu, Mohd. Yusoff yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata, seorang lagi pemain berstatus bintang turut berada dalam radar Melaka United iaitu pemain sayap Selangor, R. Gopinathan.
Beliau berkata, Melaka United tidak mahu terlalu ghairah berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain ternama, namun seperti Amri kesediaan pihak penaja yang mahu membantu pasukan mendorong mereka menawarkan tempat kepada pemain-pemain tersebut.
"Walau apa pun kita akan lihat keputusan muktamad mereka nanti dan kita percaya kehadiran pemain-pemain ini jika dapat direalisasikan akan membantu Melaka United muncul antara pasukan terbaik terbaik.
“Kami mahu bersaing dalam kelompok atas," katanya lagi.
Tarikh lahir: 21 Januari, 1981
Tempat lahir: Tanjong Karang, Selangor
Posisi: Penyerang, tengah
Tinggi: 1.74 meter
Gaji bersama JDT: RM100,000 sebulan
Pasukan
2001-2013: Selangor
2014-2016: Johor Darul Ta’zim
MOHD. AMRI YAHYAH
SUMBER-- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-wak-am-8217-hampiri-mu-1.418576#sthash.rMFMtPm2.dpuf
No comments:
Post a Comment