Ad

Monday 5 December 2016

Faiz impi pakai baju Melayu

06 Disember 2016 12:13 AM
Mohd. Faiz Subri
Mohd. Faiz Subri
KUALA LUMPUR 5 Dis. – Andai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan pemain memakai pakaian tradisio­nal dalam majlis anugerah Puskas pada 9 Januari nanti, Mohd. Faiz Subri mengimpikan untuk hadir di Zurich dengan mengenakan baju Melayu.
Ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi detik bersejarah itu, pemain berusia 29 tahun tersebut mengakui, buat masa ini dia tidak pasti apa akan dipakai atau perlu dilakukan dalam maj­lis berkenaan kerana belum menerima maklumat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mahu pun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun kata Mohd. Faiz, sebagai rakyat Malaysia pertama tercalon dalam anugerah berprestij itu, dia sebolehnya mahu memperkenalkan Malaysia dengan memakai baju Melayu andai ia tidak melanggar kod etika pemakaian majlis berkenaan.
“Sehingga hari ini saya belum menerima sebarang maklumat mengenai apa yang perlu disediakan sebelum pergi ke sana (Zurich) jadi saya belum buat sebarang persediaan.
“Semestinya saya mahu membawa semua keluarga saya kerana ini merupakan peluang yang mungkin datang sekali dalam seumur hidup kita. Alhamdullilah...Ini salah satu rezeki Allah kepada saya.
“Jika anugerah Puskas menjadi milik saya nanti, kalau boleh saya mahu memberi ucapan dalam bahasa Melayu.
“Saya lebih bangga untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan. Tiada istilah malu untuk bertutur bahasa ibunda kerana saya rakyat Malaysia.
“Kalau kita tidak bangga de­ngan bahasa kita siapa lagi?. Seperti saya cakap sebelum ini, kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tapi kejayaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kebiasaannya calon atau pemenang anugerah FIFA akan hadir di majlis tersebut dengan mengenakan sut lengkap.
Namun berucap dalam bahasa ibunda apabila menerima hadiah kemenangan adalah perkara biasa.
Penyerang Argentina, Lionel Messi bertutur dalam bahasa Sepanyol ketika memberi ucapan selepas diumum sebagai pemenang Ballon d’Or 2015.
Pemenang Puskas 2015, Wendell Lira dari Brazil juga bertutur dalam bahasa ibunda ketika memberi ucapan dalam majlis berkenaan.
Mohd. Faiz akan bersaing de­ngan dua lagi calon iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/faiz-impi-pakai-baju-melayu-1.416760#sthash.Q99WK4d8.dpuf

No comments:

Post a Comment