28 Disember 2016 12:05 AM
Mohd. Faiz Subri
KUALA LUMPUR 27 Dis. – Calon anugerah Puskas, Mohd. Faiz Subri mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk memakai pakaian tradisional, baju Melayu di Zurich, 9 Januari depan kerana perlu menghormati kod pemakaian majlis anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu.
Kata Mohd. Faiz, biarpun sedikit kecewa tidak dapat memakai baju Melayu, namun dia tetap akan membawa pakaian tersebut ke Zurich dan berusaha mendapatkan pertimbangan terakhir penganjur ketika di sana bagi membolehkannya menyarung pakaian tradisional tersebut.
Tambah Mohd. Faiz, pihak FIFA menerusi jemputan rasmi telah memaklumkan kepadanya agar menyarung sut hitam pada majlis tersebut.
“Saya juga telah menempah suit yang ditaja oleh Kinslager dan kemungkinan besar akan memakai sut tersebut seperti yang diminta oleh penganjur berhubung kod pemakaian.
“Dalam masa sama saya juga akan membawa dua persalinan lengkap baju Melayu ke Zurich dan sekiranya dibenarkan untuk memakainya saya akan terus memakainya sekiranya tidak maka tiada apa yang boleh dilakukan selain menghormati permintaan penganjur FIFA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Faiz mengimpikan untuk hadir di Zurich dengan mengenakan baju Melayu andai mendapat kebenaran FIFA selain akan bertutur dalam bahasa kebangsaan sekiranya memenangi anugerah Puskas tersebut.
Ketika ini, Mohd. Faiz memberitahu persiapannya untuk majlis tersebut berjalan lancar dan memaklumkan akan bertolak ke Zurich pada 8 Januari 2017.
“Persiapan telah dibuat dan itu membuatkan saya lebih tenang sekali gus dapat memberikan fokus kepada persediaan bersama Pulau Pinang untuk menghadapi musim baharu,” kata Mohd. Faiz.
Pada 9 Januari ini, Mohd. Faiz akan bersaing dengan dua lagi calon iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela
sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tidak-dapat-pakai-baju-melayu-1.425095#sthash.2lycC7Rm.dpuf
No comments:
Post a Comment