Ad

Tuesday 20 December 2016

TLDM 66 tahun menabur jasa

ARKIB : 27/04/2000
 
ANGGOTA cawangan Komunikasi sedang bertugas di bilik operasi sewaktu kapal beroperasi di laut.

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyambut ulang tahun ke-66 penubuhannya hari ini (27 April) sudah pasti memberi banyak pengertian besar buat keselamatan negara. Dalam usia sematang dan setua ini, jasa dan sumbangan TLDM dalam menjaga keselamatan perairan negara jelas tidak ternilai harganya.

Segalanya bermula daripada pengorbanan, keberanian dan semangat segelintir anak watan dalam mempertahankan negara ini sebelum dan ketika Perang Dunia Kedua.

Walaupun ketika itu mereka berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Britain bagi menghadapi serangan tentera Jepun, penglibatan kecil anak Melayu ini terbukti menjadi titik tolak kepada tertubuhnya TLDM beberapa tahun kemudiannya.

Britain yang sebelum itu menghalang pembangunan ekonomi, pendidikan dan memandang rendah keupayaan orang Melayu, mula merasa terancam dan akhirnya mempelawa anak watan bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara ini daripada serangan Jepun.

Di celah-celah penghinaan penjajah Barat itulah anak Melayu bangkit menyahut cabaran dengan secara sukarela berkhidmat dan membentuk The Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR) pada tahun 1934.

Menyedari Jepun semakin hampir, Britain tambah cemas dan mereka bersetuju menubuhkan pasukan Royal Navy Malay Section bagi menambah bilangan anggota tentera lautnya pada tahun 1939.

Pasukan ini yang keseluruhannya dianggotai belia-belia Melayu berjaya meyakinkan kerajaan Britain sehingga mereka telah dinaikkan pangkat dan ditempatkan di bahagian-bahagian penting.

Malah bilangannya terus ditambah daripada 400 anggota pada tahun 1939 kepada 1,415 pada tahun 1941. Bagaimanapun jumlah itu berkurangan kepada 800 orang kerana ada yang telah tamat kontrak perkhidmatan sebelum perang tiba.

Sejarah tidak boleh melupakan penglibatan anak Melayu dalam Perang Dunia Kedua kerana ia menunjukkan mereka turut sama tenggelam dan bersemadi dalam perut laut ketika menangkis serangan Jepun.

Pada 14 Februari, 1942 misalnya, sembilan pesawat Jepun telah memusnahkan kapal HMS Vyner Brooke di mana 20 anggota Malay Navy turut terkorban.

Manakala kira-kira 25 anggota Malay Navy turut dibunuh oleh tentera Jepun di Tanjung Pagar selepas mereka menyerah diri. Tidak kurang yang dihantar menjadi buruh paksa di Siam, Burma dan Indonesia.

Banyak lagi kisah yang menceritakan sumbangan anak Melayu di mana ada yang terselamat dan ada pula yang terkorban sepanjang Jepun menyerang Tanah Melayu antara tahun 1941 hingga 1945.

Penglibatan dan penyertaan anak-anak Melayu yang mengasaskan tentera laut sebelum Merdeka tidak harus dinafikan. Sejarah tidak semestinya bermula dari suatu kekosongan tetapi bermula dengan suatu tradisi.

Penubuhan Malayan Naval Force (MNF) pada 24 Disember, 1948 selepas itu adalah lanjutan daripada pembubaran Royal Malay Navy pada Mac 1947.

Peperangan dengan Jepun tamat dan Britain kembali memerintah tetapi terpaksa pula berdepan dengan tentangan Parti Komunis Malaya (PKM) menyebabkan darurat diisytiharkan antara tahun 1948 hingga 1960.

Ketika itu peranan MNF ialah menjaga perairan Semenanjung bagi menghalang kegiatan penyeludupan senjata api kepada pengganas komunis.

Selain itu, tugas mereka ialah mengawal dan menjaga jalan masuk ke pelabuhan Singapura dan pelabuhan lain serta membersihkan periuk api peninggalan tentera Jepun.

Pada 29 Ogos, 1952, MNF dianugerahi gelaran 'Diraja' oleh Kerajaan Britain dan bertukar nama menjadi Tentera Laut Diraja Malaya (Royal Malayan Navy) tetapi segala pentadbirannya tetap diuruskan kerajaan Britain yang berpusat di Singapura.

Bagaimanapun apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957, Kerajaan Persekutuan yang diketuai Tunku Abdul Rahman berusaha mengambil alih TLDM daripada Britain.

Selepas perbincangan demi perbincangan diadakan, akhirnya pada 1 Julai, 1958, TLDM diserahkan secara rasmi kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Detik bersejarah itu membuka lembaran baru bagi TLDM yang mula memperkemaskan aset penting mereka seperti senjata, pangkalan dan kapal-kapal baru atas bantuan kerajaan Britain.

Bagaimanapun belum sempat TLDM meningkatkan kekuatan mereka, Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno telah mengisytiharkan konfrontasi ke atas negara ini kerana tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada 31 Ogos, 1963.

Dalam keadaan yang meruncing itu, TLDM sekali lagi tampil mempertahankan tanah air dengan mengawal perairan negara dan membantu pasukan tentera darat dalam gerakan mereka.

Tidak kurang ramai anggota TLDM terkorban ketika menghalang komando Indonesia memasuki negara ini seperti peristiwa KD Sri Selangor diserang berhampiran perairan Pulau St. John, kira-kira lima batu nautika dari Singapura pada 24 Julai, 1964.

Serangan itu telah meragut nyawa seorang anggota TLDM, Abdul Samad Suliman yang keberaniannya telah mendapat pujian pemimpin-pemimpin negara.

Pada 9 Januari, 1965, KD Sri Perak di bawah perintah Leftenan Hyde Smith telah berjaya menawan 15 tentera Indonesia dalam satu operasi di Selat Melaka.

Ia merupakan kejayaan terbesar bagi TLDM di sepanjang tempoh konfrontasi. Ini disusuli dengan penawanan empat lagi tentera Indonesia oleh KD Panglima dekat perairan Kukup, Pontian pada hari yang sama.

Sehingga bulan Jun 1965, sejumlah 467 anggota tentera Indonesia telah terbunuh, 150 cedera dan 610 berjaya ditawan termasuk oleh TLDM.

Jika tidak kerana kecekapan anggota TLDM menjaga perairan negara ketika itu, Malaysia pasti mudah diceroboh dan ditawan oleh Indonesia menerusi laut.

Apabila konfrontasi berakhir pada 11 Ogos, 1966, TLDM sekali lagi memberi sumbangan yang bermakna apabila bekerjasama membantu menghantar pulang 520 tawanan Indonesia dengan kapal K.M. Brantas.

Di sepanjang konfrontasi, TLDM terus berkembang pesat di samping menimba pengalaman kesan daripada pertelingkahan dan sengketa tersebut.

TLDM selepas itu terus diberi kepercayaan mengambil alih kuasa gerakan di perairan Sabah dan Sarawak daripada Tentera Laut Diraja Britain berkuat kuasa pada 4 September, 1966.

Sejarah besar tercatat dalam dekad 70-an apabila berlakunya zaman pembaharuan dan peralihan di mana TLDM buat kali pertama dikendalikan sepenuhnya oleh anak tempatan.

Peranan TLDM semakin mencabar selepas itu apatah lagi mahu membuktikan kemampuan rakyat negara ini dalam mengendalikan tentera lautnya sendiri.

Antara peranan yang dimainkan TLDM ketika itu ialah menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Laut Republik Indonesia dalam mengadakan rondaan bersama untuk menghadapi ancaman pengganas komunis, membanteras lanun dan mencegah penyeludupan.

Dalam dekad 80-an, tugas TLDM makin bertambah berikutan perisytiharan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) pada 25 April, 1980 yang berasaskan kepada Peta Baru Sempadan Perairan dan Pelantar Benua Tahun 1979.

Perisytiharan itu telah meluaskan lagi kawasan perairan yang mesti diawasi TLDM iaitu melibatkan kawasan seluas 208,225 batu persegi ketika itu.

Ini sekali gus menimbulkan konflik dengan negara-negara jiran kerana wujud tuntutan bertindih yang hanya boleh diselesaikan sama ada secara rundingan ataupun kekerasan.

Walau apa pun caranya, TLDM tetap memainkan peranan penting membantu menyelesaikan masalah itu di samping menguatkuasakan undang-undang di kawasan yang dituntut.

Sehingga ke hari ini, TLDM terus menjadi nadi utama kepada keselamatan perairan negara dengan penglibatan dalam beberapa konflik ZEE seperti perebutan Kepulauan Spratly, mengawal pelantar minyak dan pulau terumbu milik negara.

TLDM juga turut membantu agensi keselamatan yang lain dalam membanteras kemasukan pendatang tanpa izin, mengawasi kegiatan nelayan haram, pencemaran, kapal karam dan sebagainya.

Berbekalkan peranan itu, TLDM kini mewarisi tanggungjawab mengawasi perairan negara sepanjang 3,919 kilometer dari Pulau Langkawi ke Tawau di Sabah.

Di samping itu, TLDM juga mengawasi kawasan ZEE seluas 515,000 kilometer persegi serta perairan Sabah dan Sarawak sepanjang 1,020 kilometer.

Bermula daripada sebuah pasukan kecil dan sukarela, TLDM dalam usahanya meningkatkan lagi kekuatan telah membuat perancangan yang teratur demi menentukan negara dapat dipertahankan sekiranya berlaku pertelingkahan dengan kuasa asing.

Namun sumbangan berharga TLDM ketika Perang Dunia Kedua (1941-45), darurat (1948-1960) dan konfrontasi dengan Indonesia (1963-66) adalah detik yang perlu sentiasa diingati sampai bila-bila.

Sebagai pencetus semangat kepada penubuhan TLDM yang terus berdiri gagah hingga ke hari ini, tiga sumbangan tersebut akan diabadikan dalam panji-panji baru TLDM yang akan dianugerahkan oleh Yang di-pertuan Agong, Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Ini merupakan kali ketiga, TLDM dikurniakan Panji-Panji Diraja. Kali pertama ialah pada 12 Mac 1966 dan kali kedua pada 1 Julai, 1973.

Selaras dengan kehadiran alaf baru, pengurniaan panji-panji baru ini diharap akan dapat memperkukuhkan lagi tradisi dan sumbangan TLDM menyusuri cabaran di zaman teknologi maklumat dan serba canggih ini.

Alaf baru, panji-panji baru. Bagi warga TLDM, semangat dan azam juga kenalah baru. Selamat Menyambut Hari TLDM Ke-66.

Oleh: MOHD. TAUFEK RAZAK


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4TN4Is3JI © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment